15 Jan 2011

Lebih 100 Pengunjung Kuil Maut Dalam Tragedi Di Sabarimala

Chennai: Lebih 100 orang dikhuatiri maut, manakala berpuluh lagi cedera dalam satu rempuhan di Sabarimala, sebuah tempat suci bagi penganut agama Hindu di Kerala, malam tadi.

Media India melaporkan bahawa tragedi itu berpunca daripada satu kemalangan jalan raya yang berlaku ketika orang ramai yang pulang daripada mengunjungi tempat suci berkenaan di sebuah kawasan hutan dan berbukit-bukau dikenali sebagai Pulmedu.

"Kami difahamkan, akibat keadaan gelap, beberapa kenderaan telah terbalik atau merempuh orang ramai. Ini menyebabkan beberapa orang terjatuh serta dihempap sebuah kenderaan dan seterusnya mencetuskan suasana kelam-kabut.

"Kami sudah temui semua mayat. Kawasan berkenaan diselimuti kabus tebal," kata Ketua Pengarah Polis Kerala Jacob Punnoose, yang dipetik Press Trust of India (PTI).

Kebanyakan mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada kira-kira jam 10 malam itu dipercayai berasal dari Tamil Nadu.

Belum ada kepastian sama ada warga asing turut menjadi mangsa dalam tragedi itu dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti identiti mereka yang terbunuh.

Kira-kira 200,000 orang membanjiri Sabrimala bersempena perayaan "Makar Sankaranti" yang disambut setiap tahun di seluruh India.

Tragedi sama berlaku pada 14 Januari 1999 yang meragut lebih kurang 53 nyawa di negeri berkenaan. - BERNAMA

Tiada ulasan: