8 Jan 2011

Isu SUK Selangor: Khalid Nafi Bekas SUK, KSN Maklum Pelantikan Khusrin

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Datuk Ramli Mahmud dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan memaklumkan kepadanya mengenai pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, berkata sebaliknya KSN
telah menyerahkan senarai nama calon SUK kepada Sultan Selangor melalui Ramli tanpa memaklumkannya kepada Abdul Khalid.


"Menteri Besar menegaskan bahawa beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke istana sebelum 17 Disember 2010 dan cara ini ternyata tidak menepati prosedur serta membelakangkan Menteri Besar selain mengetepikan amalan telus dan profesional.

"Begitu juga maklumat dari KSN diserahkan kepada Ramli dan beliau tidak memanjangkan kepada Menteri Besar," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Semalam, Ramli dalam satu kenyataan berkata beliau telah menyenaraikan lapan nama yang layak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan SUK dan senarai nama itu telah dipersembahkan kepada Sultan Selangor serta salinannya turut diberikan kepada Menteri Besar dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kira-kira tiga bulan sebelum beliau bersara.

Faekah berkata perkara itu terbongkar apabila pada 21 Disember lalu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang beliau hantar kepada Ramli berkenaan perkenan Sultan Selangor melantik Mohd Khusrin sebagai SUK.

Beliau berkata antara 10 hingga 21 Disember lalu, Ramli telah menghadiri dua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dua mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan majlis persaraan beliau tetapi dalam kelima-lima pertemuan itu Ramli tidak pernah menyebut bahawa Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada Mohd Khusrin.

"Justeru, kenyataan KSN dan Ramli bahawa Menteri Besar telah dimaklumkan sebelum 21 Disember ternyata salah. Tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Ramli," katanya.

Sehubungan itu, Faekah berkata Menteri Besar berharap KSN dan amnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan sanggup bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik dalam masa terdekat.

"Tidaklah perlu memanjangkan perkara ini dengan menimbulkan isu lain kononnya Menteri Besar terlewat menghantar nama dan sebagainya. Menteri Besar percaya hanya dengan bertindak secara profesional serta jujur pada amalan, isu ini boleh diselesaikan," katanya. - BERNAMA


Ramli: Saya serah senarai calon SUK pada MB
Jimadie Shah Othman
Jan 7, 11
3:30pm
Kongsi 65
Bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud menafikan beliau menyerahkan cadangan penggantinya kepada Sultan Selangor tanpa memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

NONE"Senarai ini telah disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor, diserahkan kepada YAB menteri besar dan saya meminta beliau berbincang dengan DYMM Sultan.

"Dan satu salinan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk pemilihan bagi memastikan SUK Selangor orang Selangor dan mempunyai pengalaman bekerja di Selangor bagi mengetahui adat kerja," katanya.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Ramli berkata, beliau tidak terlibat langsung dalam menentukan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor.

Berikut kenyataan penuhnya berhubung kontroversi pelantikan bekas pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor itu:

Saya tidak terlibat langsung dalam menentukan Dato' Kushrin sebagai SUK Selangor. Saya hanya terlibat dalam menyenaraikan calon-calon yang layak dipertimbangkan berdasarkan seniority (kekananan) dan saya percaya pada seniority.

Sebanyak lapan nama layak dipertimbangkan dan Dato' Kushrin adalah calon kelima berdasarkan kekananan.

Senarai ini telah disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor, diserahkan kepada YAB menteri besar dan saya meminta beliau berbincang dengan DYMM Sultan.

Dan satu salinan kepada JPA untuk pemilihan bagi memastikan SUK Selangor orang Selangor dan mempunyai pengalaman bekerja di Selangor bagi mengetahui adat kerja. Senarai telah diserahkan lebih daripada tiga bulan sebelum persaraan saya.

Mereka semua pegawai saya dan saya tiada preference kerana saya tiada personal interest (kepentingan peribadi).

JPA telah menyenaraipendek tiga nama dan minta disembahkan kepada DYMM Sultan seperti yang dititahkan, berdasarkan integiriti, kredibeliti dan pengalaman. Nama Dato' Khushrin yang teratas dan dua nama lain.

Saya telah bertanyakan senarai negeri beberapa kali daripada (exco Selangor) Dato' Hasan (Ali). Kali pertama dimaklumkan belum selesai wawancara Dato' Nordin yang bercuti dan sekali lagi dimaklumkan telah diserahkan kepada YAB Menteri Besar.

Saya perpendapat perkara ini akan di bawa untuk berbincang sendiri dengan DYMM Sultan Selangor. Saya telah kemukakan tiga calon JPA kepada DYMM Sultan Selangor.

Dan DYMM Sultan telah perkenan Dato' Kushrin melalui surat kepada saya yang disalinkan keapda YAB MB. Saya telah memanjangkannya kepada JPA dan perkara ini masih embargo sehingga pengumuman dibuat oleh JPA.

Saya didakwa tidak memaklumkan kepada EXCO kerana saya kira kalau hendak pecahkan rahsia biarlah YAB menteri besar sebab beliau juga mendapat salian surat kerana sebagai YAB MB beliau biasanya kebal, manakala jika saya yang memaklumkannya dan keadaan jadi macam sekarang sudah tentu saya akan dipersalahkan dan boleh didakwa di bawah akta rahsia rasmi.

Keadaan yang senyap menyebabkan saya beranggapan perkara ini telah dibincangkan oleh beliau dgn DYMM Tuanku dan tiada masalah.

Manakala pengarah JAIS tiada masalah, kalau calon saya adalah Dato' Asmawi berdasarkan kekananan, the most senior (yang paling kanan).

YAB menteri besar menulis memo meminta Tuan Haji Marzuki, saya sembahkan kepada DYMM Tuanku sebagai ketua agama Islam dan Baginda telah perkenan.

Saya berpendapat keadaan disebabkan communication brokedown (kegagalan komunikasi) dan juga lack of communiction (kurang komunikasi) di pihak saya dengan YAB menteri besar yang menyebabkan banyak sangat assumption (andaian) digunakan. -mk



Tiada ulasan: