20 Jan 2011

[Bergambar] Kanak-kanak Hilang Selama 18 Jam Ditemui Di Ladang Getah

Slim River: Suara tangisan Nor Aishah Umairah Zamzanuri yang sayup-sayup kedengaran dari jauh berjaya menemukan semula kanak-kanak berusia 22 bulan itu selepas hilang secara misteri selama kira-kira 18 jam dari rumah neneknya di Kampung Lintah, Kampung Ulu Slim, di sini, pagi semalam.

Sepanjang kehilangannya sejak jam 12 tengah hari kelmarin, keluarga terutama ibu, Nor Awani Abdul Wahid, 28, dan bapanya, Zamzanuri Salleh, 28, berada dalam keadaan cemas mengenangkan nasib yang mungkin menimpa anak tunggal mereka itu.

Namun, semuanya terlerai apabila kanak-kanak itu yang dijaga neneknya, manakala ibu bapanya tinggal dan bekerja di Ipoh, ditemui semula selepas Orang Asli terdengar tangisannya di ladang getah berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah neneknya pada kira-kira jam 7.30 pagi.

Penemuan itu bagaimanapun menimbulkan pelbagai tanya tanda dan diselubungi misteri kerana kanak-kanak itu gagal dikesan sebelum itu, walaupun gerakan mencarinya secara besar-besaran dilakukan sejak kelmarin oleh lebih 70 penduduk termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, polis serta anggota bomba dan penyelamat yang turut menggunakan anjing pengesan.

Lebih pelik, Nor Aishah Umairah hanya mengalami sedikit calar di kaki dan kesan gigitan nyamuk, walaupun hilang hampir dua hari termasuk bersendirian di dalam hutan pada waktu malam, selain dipercayai tidak menjamah makanan atau minum susu sejak pagi hari kehilangannya.

Zamzanuri yang juga ahli perniagaan berkata, anaknya itu berjaya ditemui semula oleh dua Orang Asli yang kebetulan melalui kawasan ladang getah itu apabila terdengar suara tangisan anaknya, sebelum menghubungi rakan mereka di kampung supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

"Selepas menerima maklumat itu, saya bersama anggota pihak berkuasa bergegas ke lokasi yang dimaksudkan dan apabila tiba di situ saya melihat anak saya sedang berdiri di dalam lopak air di paras antara lutut dan buku lali, manakala badannya berlumuran lumpur kecuali bahagian kepala yang kekal bersih.

"Sebaik dipanggil datuknya (Abdul Wahid Nordin, 52), Aishah mendepakan tangan untuk diambil. Ketika itu, anak saya kelihatan sedikit lesu kerana semalaman tidak minum susu dan mungkin tidak tidur," katanya ketika ditemui di Hospital Slim River (HSR) di sini, semalam.

Gambar ehsan Bernama:







Tiada ulasan: