1 Okt 2010

Apa Ada Dengan Mustaffa Kamil Ayub?

Mustaffa Kamil sah tanding kerusi timbalan presiden PKR

Mustaffa Kamil Ayub mengumumkan keputusan bertanding jawatan timbalan presiden PKR pada sidang media petang ini.

KUALA LUMPUR, 1 Okt — Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub dengan meletakkan tema “Kesinambungan Perjuangan”, hari ini secara rasmi menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden parti itu.

Dengan keputusan itu pemilihan jawatan nombor dua PKR akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim dan Mustaffa.

“Saya dengan rasa rendah diri menawarkan diri untuk kerusi timbalan presiden,” kata beliau pada sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini petang ini.

“Saya yakin, kesinambungan perjuangan perlu untuk meneruskan sumbangan yang bagi saya cukup besar oleh timbalan presiden Senator Dr Syed Husin Ali.

“Saya berharap anggota-anggota parti boleh membantu saya memperkukuh kepimpinan parti bersama Saudara Anwar dan Dr Wan Azizah,” katanya lagi.

Dari segi pencalonan, Azmin dan Zaid berada di depan berbanding Mustaffa.

Mustaffa mempunyai 23 pencalonan setakat sementara 34 cabang akan mengadakan mesyuarat tahunan esok dan luas - pusingan terakhir daripada tiga minggu.

Pemilihan pucuk kepimpinan akan bermula secara berperingkat mulai minggu ketiga dan keputusan akan diumumkan pada Kongres PKR November ini.

Mengenai pencalonan, Mustaffa berkata mengakui dua calon lain di depan, tetapi menjelaskan beliau yakin dengan kebijaksanaan ahli-ahli membuat pengundian terbaik.

“Bercakap mengenai pencalonan, pada tahun 2007 saya menduduki tempat keenam dari segi pencalonan tetapi dari segi undi terbanyak, saya muncul tempat ketiga.

“Jadi percaya pada kebijaksanaan pengundi dalam membuat keputusan. Saya kalah di Pasir Salak, tetapi mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan presiden,” kata yang beliau yang pernah tewas dalam pemilihan jawatan timbalan ketua Angkatan Muda Keadilan PKR pada 2001.

“Saya tahu mereka ada kekuatan, mereka juga kelemahan. Saya pun ada kekuatan dan saya pun ada kelemahan. Saya yakin ahli-ahli akan membuat keputusan yang bijak,” katanya lagi.

Pada 2004 beliau memenangi pemilihan jawatan naib presiden dan dikekalkan tiga tahun lalu.

Mustaffa, 48, berkata beliau akan mengunjungi Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Syed Husin petang ini untuk menyatakan secara peribadi keputusannya mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Ditanya ada beliau akan berusaha mendapat sokongan kumpulan Syed Husin, Mustaffa secara berseloroh berkata, “saya mahukan sokongan beliau, sokongan semua pemimpin dan ahli parti.”

Beliau menemui kedua-dua mereka selepas sidang media yang turut dihadiri sekitar 200 penyokongnya yang turut melaungkan “lawan tetap lawan” dan “Hidup Mustaffa, Hidup PKR.”

Mustaffa yang tewas pemilihan ketua bahagian Pasir Salak minggu lalu berkata, dalam kempen kali ini beliau tidak mahu bertanding atas semangat “berpuak”.

“Saya ajak semua kita angkat politik nilai, saya pohon teman-teman dalam parti, bantu saya untuk sama-sama kita angkat nilai moderat, inklusif, sederhana, kasih sayang, perpaduan parti, semak dan imbang dalam parti sempena pemilihan kali ini,” katanya lagi.

Pengerusi PKR Perak ini berkata sekiranya diberikan amanah memikul jawatan timbalan presiden beliau akan memperkukuhkan politik ini sebagai satu kesinambungan perjuangan PKR.

Ketika ditanya sama ada kemungkinan akan berkompromi dan menarik diri daripada bertanding kelak, Mustaffa berkata, keputusannya hari ini adalah muktamad.

“Tidak tidak... ini keputusan muktamad, saya tidak akan tarik diri,” katanya lagi.

Mustaffa juga berkata sebagai calon beliau tidak menolak kemungkinan juga Umno akan “jadikan lagi beg tinju untuk mencalar imej parti masa depan ini.”

“Tetapi saya yakin PKR dan kematangan kita mampu menangani semua cabaran ini,” katanya lagi.

Ulasan GB

Tahniah Mustaffa kerana mengambil langkah berani.

Apabila GB selalu menyebut "perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan" maka sudah tentu Mustaffa sendiri tidak asing mendengar perkataan itu.

Mustaffa bakal menggalas tugas besar untuk merubah PKR dengan satu pewarnaan yang lebih holistik. Setidak-tidaknya itu harapan sebahagian besar ahli-ahli PKR jika mahu parti dipimpin oleh tokoh yang boleh menjadi role-model.

Pengalaman Mustaffa yang luas di dalam gerakan Islam dan karisma kepimpinannya mampu menjadikan beliau seorang yang boleh menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biodata:

Anak kelahiran Pasir Salak ini mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Kg Gajah dan kemudiannya di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah sebelum melanjutkan pengajian tingginya di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.

Memperolehi ijazah sarjana muda sains dengan kepujian pada tahun 1987 sebelum meneruskan pengajian di peringkat diploma pendidikan di UIA pada tahun 1989 dan kemudiannya diploma kewangan Islam pada tahun 1994.

Beliau adalah seorang aktivis mahasiswa dan pernah menjadi Yang Di Pertua PMUKM sesi 1984/85.

Beliau pernah menjadi Presiden paling lama untuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) iaitu dari sessi 1986/87 sehinggalah 1989/90.

Menjadi Pengarah Persidangan antarabangsa ke-7,IIFSO pada tahun 1988

Mustafa Pengerusi Persatuan Pelajar Islam Asia Tenggara(PEPIAT).

Pada tahun 1989, beliau menyertai keluarga staf UIA dan dilantik ke jawatan Ketua Jabatan Latihan Kepimpinan sehinggalah beliau meninggalkan kerusi tersebut pada tahun 1995 untuk menyertai dunia politik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Beliau pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Pada masa yang sama beliau mengetuai Majlis Kerjasama Belia Asean dan memegang jawatan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia dari tahun 1994 hingga 1998.

Sepanjang perkhidmatannya dalam pergerakan belia, Mustaffa telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja di Jepun, Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Maldives.

Beliau juga aktif menulis. Antara hasil tulisannya ialah Generasi Muda; Penyemarak Kecemerlangan Alaf Baru dan Youth Renaissance - Partners in Development.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa Ada Dengan Mustaffa Kamil Ayub? Kenapa la tajuknya provokatif sgt.. Biarlah dia nak bertanding. Kalah pun apa salahnya. Kata demokrasi. Zaid dengan Azmin je ke yang boleh bertanding...?

Tanpa Nama berkata...

Jika ikut pada artikel saudara GB, mungkin Mustaffa Kamil adalah calon terbaik untuk Timbalan Presiden. Cumanya promosi untuk beliau perlu diperhebat kerana namanya jarang kedengaran. Kekalahan di Pasir Salak mungkin satu isu yang akan digunakan untuk menjatuhkan sokongan terhadap beliau.

Pengalikubur berkata...

Pemilhan yang cukup demokratik.Inilah apayang dikatakan kuasa di tangan Rakyat.PAS dan UMNO harus melaksanakan sedemikian.Biar Ahli yang tentukan.Ini akan mengelakan dari terjadinya kroni,Nepotisma dan Rasuah.PAS harus sedar sejak peninggalan Ustaz Fadzil Nor banyak perubahan Nagatif yang belaku dan ini tidak membawa apa apa perubahan apabila saf pimpinan di tentukan oleh perwakilan.Maka lahir lah pimpinan seperti,Hasan Ali,Stopa Ali,Nazaruddin dan lebih terok lagi Azizan Razak sekarang MB Kedah.Hartap pimpinan Pas dapat buat perubahan