10 Feb 2010

Norsaidi Seorang Sahaja Masuk UMNO

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin kedudukan parti itu di Wilayah Persekutuan tidak akan terjejas walaupun bendaharinya memutuskan untuk kembali ke pangkuan Umno malam tadi.

Setiausaha PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin berkata Norasidi Salim yang menyertai semula Umno tidak sampai 24 jam selepas meletakkan jawatannya sebagai bendahari tidak sama sekali akan menggugat parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Norasidi Salim bukan pemimpin utama PKR Wilayah, dia hanya menyertai kami selepas pilihan raya umum lalu dua tahun lalu, selepas PKR dan Pakatan Rakyat mencatat kejayaan besar di Wilayah.

“Jadi langkah beliau tidak akan mendatangkan kesan besar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Sepanjang tempoh bersama PKR pun beliau tidak memberi apa-apa sumbangan kepada parti. Jadi kami tidak percaya ia akan menjejaskan kedudukan kami, Pakatan di sini,” kata beliau sambil menafikan 100 ahli PKR Bandar Tun Razak keluar parti bersama Norasidi.

“Laporan mengatakan 100 orang ahli dari bahagian Bandar Tun Razak keluar PKR adalah tidak benar. Berdasarkan maklumat yang ada pada saya, hanya Norasidi seorang sahaja ada jawatan dalam PKR Wilayah Persekutuan dan keluar parti,” katanya.

Laporan hari ini menyebut turut keluar bersama Norasidi ialah empat lagi anggota PKR iaitu Timbalan Ketua Bahagian PKR Putrajaya Azmi Hassan, Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan Ishak Hamzah, anggota jawatankuasa PKR Putrajaya Daud Ahmad dan penggerak reformis 1999-2008 Mohd Solleh Ibrahim.

Oleh itu, Azman menjelaskan, laporan bahawa Ishak adalah ketua penerangan juga tidak benar. “Ishak dan Azmi cuma ahli biasa, mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti,” katanya. Malah semalam Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Azmin juga menyifatkan Norasidi sebagai tidak relevan.

Semalam, Norasidi berkata keputusan itu diambil dengan rela hati tanpa desakan daripada mana-mana pihak. “Ia dibuat setelah difikirkan dengan masak-masak kedudukan kami dalam PKR dan menghalusi perjuangan parti.

“Apa yang kami dapati PKR tidak ada perjuangan membela rakyat yang jelas, malahan setiap tindak tanduk kepimpinan parti diselubungi oleh agenda persendirian,” kata beliau selepas menyerahkan borang keanggotaan kepada Timbalan Presiden Umno, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu di dalam perkembangan berasingan, Sinar Harian melaporkan seramai 128 ahli UMNO menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu majlis penyerahan borang keahlian di Kampung Paku, Tanah Merah malam kelmarin.

Daripada jumlah berkenaan, 80 merupakan penduduk di Kampung Paku manakala selebihnya merupakan penduduk di Kampung Peralla dan Ladang Kerilla.

Penyerahan borang terbabit diserahkan oleh bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Kampung Paku, Zainal Abidin Matmin kepada Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Kelantan merangkap Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail.

Zainal Abidin berkata, selama dia memegang jawatan sebagai PPM berlaku ketidakadilan yang amat ketara dan atas rasa ingin menegakkan keadilan, dia akhirnya tekad untuk meninggalkan UMNO.

“Sepanjang tujuh tahun berkhidmat sebagai PPM, saya rasa teraniayai dan penghijrahan ini saya lakukan atas kerelaan hati. Saya mengharapkan agar lebih ramai lagi penduduk di sini bersama kami menegakkan keadilan dan menyertai Pakatan Rakyat (PR) tidak kira sama ada PKR atau pun Pas yang mempunyai matlamat dan perjuangan yang sama,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Sementara itu, Saifuddin berkata, dengan penyerahan borang terbabit menunjukkan bahawa kepercayaan masyarakat kepada PR semakin utuh.

“Penyertaan seramai 128 ahli malam ini (kelmarin) dalam PKR menunjukkan peningkatan ahli dalam parti sebanyak 360,000 orang di seluruh Malaysia.

“Dengan pertambahan jumlah ini, kita yakin dapat mencapai sasaran 500,000 ahli dalam PKR pada pertengahan tahun ini atas respons positif yang diterima,” katanya pada majlis ceramah Pakatan Rakyat ‘Kemasukan Ahli UMNO dalam Pakatan Rakyat’ di Kampung Paku di sini malam kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani dan ADUN Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa.

Katanya, PKR kini dalam persiapan untuk mengadakan Mesyuarat Agung pada 1 hingga 3 Mac ini dan kongres pada bulan Mei bagi mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke -13 akan datang.


8 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

buat apa nak simpan barua UMNO

Tanpa Nama berkata...

biasa la..dah keluar kes liwat ramai la yang tak bole pakai mnyangkut kat UMNO balik.. hehehe...ni ada hikmah..nak tunjuk sapa yang spesis setia dan betul2 komited ngn PR>.sapa yang memang hampeh UMNO je.. hehe

Tanpa Nama berkata...

teruskan perjuangan tanpa musuh dalam selimut

Tanpa Nama berkata...

makin ramai orang muda sokong pakatan kerana meluat dengan pemerintahan najib

Tanpa Nama berkata...

masih terbawa2 dgn perangai UMNO..biarlah dia pergi...rekod sebagai CEO dulu pun tak berapa elok untuk didedahkan disini..tapi yang dah lalu biarlah berlalu..UMNO parti yang sesuai untuk orang yang chauvanist....berjuang utk kepentingan diri...heran apabila publisiti berlebihan pula bila nak keluar PKR

Tanpa Nama berkata...

UMNO jangan harap kau nak dapat Wilayah Persekutuan KL dari pembangkang walau 1000 orang PKR masuk UMNO. anak-anak KL dah sedekat tahu segala sembelit UMNO yg Rasuah dan gila kuasa.

Tanpa Nama berkata...

Siapa percaya kes liwat sama la juga dengan percaya kes wanita Mogolia. Ini semua gimik politik malaysia saje lah. satu kata najib telibat kes bunuh alatantuya dan satu pihak kata anwar terlibat kes liwat saiful. aku memang 100% tak percaya kedua-duanya. apalah UMNO dengan pembangkang ni duduk diam-diam sudahlah PRU 13 tinggal 2 tahun lagi sampai masa undilah. belajar tinggi-tinggi otak letak kat lutut. yang aku heran tu Mahkamah, Polis, SPRM dan sebagainya ikutsama terpengaruh. aku rasa Malaysia ni belum ada kelas untuk capai negara membangun lagi, pemikiran masih tahap kampung. masing-masing belagak dengan PHD. memanglah PHD, tapi PHD tahap malaysia la. walaupun ambil kat luar negeri, mereka yang uji tu bagi markah kesian je. he..he.. aku tanak tengok lagi..bye.

Tanpa Nama berkata...

Bila mamat ni belah dari PR jadi berita besar-besaran. Tapi bila ada yang blah dari UMNO atau sekutunya lalu joint PR tak ada berita. Ramai pula tu. Tapi biarlah depa heboh. PR bergerak macam penyu. Senyap-senyap tapi telor beribu.