24 Dis 2010

PRK Tenang: Penamaan 22 Jan Undi 30 Jan - Bukti SPR Double Standard

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Dis lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari yang sama.

"Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pemilih biasa, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, " katanya.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan, bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta.


PAS: Kita sedia kenal siapa SPR

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.

Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.

"Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini.

"Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari.

Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak.

Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN.

"Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi.

Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya.

"Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon. -harakahdaily


2 ulasan:

tungkaran hati berkata...

Biasanya jika kita tidak mempercayai orang lain; orang lain juga tidak mempercayai kita!

Tanpa Nama berkata...

Selagi UMNO dan Barisan Nasional tidak dijadikan sebagai pembangkang... SPR akan menjadi baruah sepanjang hayat.