15 Dis 2010

Penangan Wikileaks: Sivarasa & Azmin Diarah Keluar Dewan

Ahli parlimen Pakatan Rakyat R Sivarasa (PKR-Subang) diarahkan keluar Dewan Rakyat sehingga esok kerana didakwa mengengkari arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sivarasa, yang bangkit pada akhir sesi soalan mempersoalkan tindakan speaker yang menolak usul yang dikemukakannya semalam meminta perbahasan diadakan bagi membincangkan pendedahan oleh WikiLeaks berhubung dakwaan diplomat Singapura yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razah dengan kematian warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu dan juga memalit Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 'perangkap seks'.

Menurut Pandikar, kebimbangan yang ditimbulkan oleh Sivarasa adalah tidak berasas dan mengarahkannya untuk duduk. Namun apabila ahli parlimen itu terus berhujah dan enggan duduk, Pandikar mengarahkan beliau digantung sehingga esok.

Anwar (PKR-Permatang Pauh), kemudian bangkit dan mempertahankan Sivarasa bersama Azmin Ali (PKR-Gombak). Ini menimbulkan pertikaman lidah yang hangat antara speaker dan juga ahli parlimen Pakatan Rakyat yang juga mula campur tangan.

Pandikar kemudian mengarahkan Azmin pula supaya keluar dewan sehingga jam 2.30 petang ini.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, kemudiannya, Anwar berkata keputusan menggantung ahli parlimen Pakatan Rakyat tanpa notis melambangkan parlimen tidak menuruti sebarang peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat.

Justeru beliau menyifatkan Speaker seolah-olah tidak berpendirian teguh dengan membiarkan prosedur parlimen diperalatkan oleh kuasa majoriti.

"Saya lihat prosedur parlimen dipermainkan hanya semata-mata kerana kuasa majoriti. Kita berhujah panjang bagaimanpun, diketepikan begitu.

Keangkuhan Barisan Nasional

"Jadi sebab itu kita menyatakan kekesalan dan membantah keras persetujuan Speaker membenarkan hujah. Memang kita tahu keangkuhan Barisan Nasional menggunakan kuasa mereka tetapi menggunakan saluran Speaker yang mempertahankan dengan peraturan padahal prinsip membela diri tidak berlaku," katanya.

Menurut Anwar, Pandikar tidak mampu mengawal dewan di kala berlakunya pertikaman lidah antara beliau dan pemimpin BN.

"Kalau Speaker tidak dapat mengawal, sepatutnya beliau berundur dan beri laluan kepada timbalan beliau," katanya.

Pada sidang media yang sama, ahli parlimen Rasah, Anthony Loke mendakwa wujudnya pakatan di antara Speaker Dewan Rakyat dan pemimpin BN untuk mengurangkan majoriti Pakatan Rakyat bagi memberi laluan mudah kerajaan untuk mengubal sebarang usul yang diperuntukkan dalam parlimen.

Loke berkata sekiranya parlimen meneruskan usaha menggantung lebih ramai ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat, maka persidangan parlimen akan datang akan memberi kuasa mutlak kepada mereka melakukan sebarang usul tanpa mendapat tentangan daripada pihak pembangkang.

"Seolah-olah ada agenda tersendiri kerana speaker membiarkan Barisan Nasional membuat keputusan ke atas ahli parlimen Pakatan Rakyat. Kedudukan Pakatan Rakyat akan kurang daripada dua pertiga kerana ramai ahli parlimen digantung. Peluang ini akan digunakan sepenuhnya oleh Umno-BN," kata Loke.

Taktik dapatkan majoriti 2/3

Sementara itu, Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga berkata kerajaan cuba mendapatkan majoriti dua pertiga di parlimen dengan menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Dengan menggantung empat MP Pakatan, BN akan mendapat sokongan daripada lima MP Bebas bagi mendapat majoriti dua pertiga, katanya yang juga ahli parlimen Bukit Gantang.

Menurut Nizar, BN dijangka menggunakan jalan pintu belakang itu bagi meluluskan persempadan semula kawasan pilihan raya bagi memastikan ia memihak kepada mereka.

"Mereka boleh buat persempadanan semula, (dan) tambah beberapa kerusi baru untuk Sabah dan Sarawak.” -mk

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ape komen gb pasal respon anwar smalam di wangsa maju?
die cabar kuan yew bawa bukti ke mahkamah..

Tanpa Nama berkata...

Speaker ni sesuai jadi penjual ubat dim kaki lima.

Unknown berkata...

anon 4:49 bertanya

ape komen gb pasal respon anwar smalam di wangsa maju? die cabar kuan yew bawa bukti ke mahkamah..

PKR sendiri mengakui melalui kenyataan Setiausaha Agongnya bahawa Wikileaks itu adalah pendapat dan pandangan peribadi. Ia adalah persepsi.

Jika demikian apa halnya pula nak bawa ke mahkamah.

Mengapa merasa pedas jika tak termakan cili?

Lihat seperti yang GB katakan sebelum ini:

Ahmedinejad yang sekalipun Raja Arab Saudi menyatakan bahawa Amerika perlu mengebom Iran untuk menghentikan program nuklearnya dengan berkata: “Potong saja kepala ular itu”, namun bagi Presiden Iran ia tidak lansung gusar atau ambil berat terhadap pendedahan Wiikileaks tersebut, malah ia sekadar menganggapnya perang psikologis melawan Iran.

Malah hubungan Raja Arab Saudi dan Ahmedinejad terus intim sekalipun cuba digoyahkan dengan pendedahan maklumat di Wikileaks.

Mengapa hal yang sama tidak boleh berlaku diantara Anwar dan Lee Kuan Yew? Presiden Singapura itu hanya berpesepsi, bukan menuduh, begitu juga Wikileaks.

Dan persepsi itu boleh diperbetulkan jika Anwar tidak berkonfrontasi dgnnya.

Itu sebab GB lihat dari dulu Anwar sudah gagal. Contoh nyata, sebelum 16 September, telah digendangkan begitu hebat kononnya ada ahli parlimen BN akan melompat ke PKR, apa pasal mahu kasi heboh sehingga perencanaan itu dipintas oleh Najib dengan berkesudahan PR kehilangan negeri Perak?

Strategi politik apakah itu?