21 Dis 2010

Kes Pembunuhan Adik Siti Mazni: Remaja Lelaki Dan Bapa Tiri Direman

2 lagi direman kes bunuh Siti Mazni

Gambar: Siti Mazni, pelajar Tkn 2 yang dibunuh kejam di kebun kelapa sawit minggu lalu

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah kebun sawit di Parit Ju Darat, Tongkang Pechah dekat Batu Pahat, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, remaja lelaki berusia 14 tahun ditahan pada jam 6.15 petang kelmarin di Kampung Parit Singgahan, Seri Medan manakala ayah tirinya, seorang buruh berusia 44 tahun ditahan kira-kira dua jam kemudian di Kampung Tongkang Pechah.

“Remaja dan bapa tirinya kini ditahan reman bermula hari ini (semalam) sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Sehingga hari ini (semalam) polis sudah menahan lima suspek berusia 14 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan kes ini. Tiga daripada suspek remaja itu masih bersekolah manakala seorang lagi keciciran sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, semalam.

Jumaat lalu, mayat pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Putra, Tongkang Pechah Siti Mazni Abdul Rahman, 14 tahun, ditemui tersembunyi di bawah timbunan daun kelapa sawit pada kira-kira jam 5 petang dengan satu kesan tikaman di badan di sebuah kebun sawit di Parit Ju Darat, kira-kira 100 meter dari rumahnya di Tongkang Pechah, Batu Pahat.

Mangsa dipercayai mati dua hari sebelumnya akibat ditikam menggunakan pisau kira-kira 100 meter dari rumahnya sebelum diheret sejauh 50 meter ke dalam kebun dan disembunyikan di bawah timbunan daun kelapa sawit.

Siti Mazni dilaporkan hilang selepas berjumpa rakannya pada Rabu lalu apabila beliau tidak pulang ke rumah selepas memberitahu neneknya Mailiah Idris, 62, beliau keluar untuk berjumpa rakannya.

Dua remaja berusia 15 dan 16 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes itu selepas seorang daripada suspek membuat laporan berhubung kejadian dengan mendakwa beliau menyaksikan rakannya membunuh mangsa di kebun itu.

Berita Berkaitan

Pelajar Tkn 2 Dibunuh Di Kebun Kelapa Sawit

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Percayalah, Allah sedang mencabar kita sejauh mana keberkesanan undang-undang ciptaan manusia berbanding Undang-undang ciptaanNya...

Dan akan banyak lagi kes-kes bunuh akan berlaku dan meningkat...

Sesungguh manusia itu sentiasa dalam keadaan lalai...

SubhanalLah...