13 Dis 2010

[Bergambar] Kes Bunuh: Mayat Lelaki Dengan Kesan 2 Tembakan Ditemui

Mayat Lelaki Dengan Kesan Dua Tembakan Ditemui Di Lebuh Raya KL-Karak

BENTONG: Mayat seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui dengan dua kesan tembakan di kepala dan belakang badannya, di Km 46.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Rosli Abdul Rahman berkata polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 3 petang oleh seorang pemandu bas.

"Pemandu terbabit kebetulan sedang mendapatkan bantuan kecemasan berikutan basnya yang rosak dan ternampak mayat lelaki itu terdampar di tepi lebuh raya berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini.

Beliau berkata mayat itu ditemui berpakaian lengkap dengan kemeja-T dan berseluar jeans dalam keadaan terbaring di tepi lebuh raya berkenaan.

Tidak ada pengenalan diri ditemui namun mayat itu mempunyai tatu harimau di bahagian dada dan belakang badannya, kata Rosli.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu berusia dalam lingkungan 30an dan dipercayai mati akibat ditembak dalam tempoh antara 24 dan 36 jam lepas.

Polis juga percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain memandangkan tidak ada kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-BERNAMA




3 ulasan:

non baling berkata...

Ada tatu harimau kat dada dan belakang ? Fuh saheh ganas tu.... tapi harimau mana boleh tepis peluru. Insaflah mereka yang ada tatu bahawa mati itu pasti !

Tanpa Nama berkata...

Ibrahim Libya kena berapa tembakan kerajaan UMNO?

Tanpa Nama berkata...

i pn org pntai daLam tgk muka dia mcm kenaL tp x sure La..