13 Dis 2010

Pemilihan DAP Pulau Pinang, Phee Bersama 4 ADUN Lain Tewas

Phee, empat Adun tewas pemilihan DAP Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 12 Dis − Pemimpin veteran negeri Phee Boon Poh dan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tewas mengejut pada pemilihan 15 anggota jawatankuasa DAP Pulau Pinang hari ini.

Kekalahan Phee, yang juga exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, dianggap mengejut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang paling rajin turun padang dalam melaksanakan tugasnya.

Pada pemilihan di Dome, Kompleks Tun Abdul Razak di sini, Phee, yang juga Adun Sungai Puyu, memperoleh 173 undi, iaitu kurang enam undi daripada Gooi Seong Kin yang menduduki tempat terakhir dalam barisan jawatankuasa itu.

Empat lagi Adun yang tewas ialah Lau Keng Ee (Pengkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong), Koid Teng Guan (Sungai Pinang) dan A. Tanahsekharan (Bagan Dalam).

Ketika ditemui selepas keputusan diumumkan, Phee kelihatan tenang dan berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh 466 perwakilan itu dan menganggap ia sebagai titik tolak bagi dirinya untuk berjuang dengan lebih gigih demi parti.

“Saya menerima kekalahan itu dengan hati terbuka. Mungkin saya belum cukup bagus, sebab itu perwakilan tidak mengundi saya,” katanya.

Pada pemilihan itu, Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, yang juga anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh, memperoleh undi terbanyak dengan 348 undi.

Keputusan rasmi pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang:

1. Jagdeep Singh Deo − 348 undi
2. Law Heng Kiang − 321
3. Chow Kon Yeow − 312
4. Chong Eng − 261
5. Lim Hock Seng − 257
6. Ng Wei Aik − 256
7. Wong Hon Wai − 250
8. Koay Teng Hai - 245
9. Lim Hui Ying - 241
10. Prof Dr P. Ramasamy - 240
11. Teh Yee Cheu - 219
12. D Harvinder Singh - 215
13. R.S.N Rayer - 190
14. Lay Hock Peng - 185
15. Gooi Seong Kin - 179

Pengerusi DAP Pulau Pinang: Chow Kon Yeow
Timbalan Pengerusi: Prof Dr P. Ramasamy
Naib Pengerusi: Jagdeep Singh Deo/Lim Hock Seng
Setiausaha: Ng Wei Aik
Penolong Setiausaha: Lim Hui Ying
Bendahari: Wong Hon Wai − Bernama


Pertama kali doa dibaca di konvensyen DAP

Konvensyen DAP Pulau Pinang 2010 yang berakhir semalam menempa sejarah tersendiri apabila bacaan doa berkumandang buat pertama kalinya dalam sebuah persidangan parti yang berusia 44 tahun itu di Pulau Pinang, yang selama ini diuar-uarkan sebagai parti cauvinis perkauman.

Bacaan doa selama lebih kurang empat minit itu dipimpinkan oleh Yang Dipertua PAS Tanjung, Yaacob Omar yang turut menegaskan bahawa Islam adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira kaum, fahaman politik mahupun darjat.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum membaca doa tersebut, Yaacob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak untuk membaca doa dalam majlis yang kebanyakannya dihadiri oleh bukan Islam kerana ajaran Islam itu membawa kebaikan kepada semua yang mengamalkannya.

Bacaan doa tersebut berkumandang sejurus selepas hampir 650 perwakilan yang menyertai konvensyen itu selesai menyanyikan lagu Negaraku, Lagu negeri Pulau Pinang dan lagu rasmi parti, demikian menurut kenyataan pejabat ketua menteri Pulau Pinang.

Puluhan ahli DAP berbangsa Melayu yang hadir di konvensyen sehari itu menadah tangan mengaminkan doa berkenaan di samping beberapa ahli PAS Pulau Pinang yang turut hadir sebagai tanda sokongan atas perjuangan bersama dalam Pakatan Rakyat.

Bacaan doa bagi memohon kesejahteraan para peserta persidangan tersebut selain meminta pertolongan dan rahmat Allah Taala agar memberkati majlis dan perjuangan parti berkenaan adalah sesuatu yang asing bagi mana-mana DAP sebelum ini.

DAP sering dituduh cauvinis kaum kerana bilangan keanggotaannya yang lebih memihak kepada masyarakat Cina dan dakwaan cuba untuk meminggirkan orang Melayu serta India di negara ini.

Konvensyen kali ini turut menyaksikan lapan calon Melayu daripada keseluruhan 88 calon yang bertanding untuk merebut 15 kerusi Jawatankuasa DAP Pulau Pinang dalam pemilihan dwi-tahunan itu, namun kesemua lapan calon itu kalah.

Namun, jawatankuasa DAP negeri memutuskan untuk melantik calon tunggal Melayu, Zulkifli Mohd. Noor untuk menganggotai jawatankuasa itu bagi penggal 2010 hingga 2012.

Selain Zulkifli, antara calon-calon Melayu yang bertanding ialah Kamarulzaman Mohd. Sharif, Mohd. Razali Abdul Rahim, Nurul Baizura Ismati, Yusof Mohamad, Rozaini Abdul Kadir dan Suhaimi Chee Mugther. -mk


Tiada ulasan: