10 Dis 2010

3 Maut Kereta Terhumban Dalam Gaung

Tiga maut kereta masuk gaung

KERETA dinaiki tiga lelaki terhumban ke dalam gaung di KM 124.6 di Lebuhraya Utara-Selatan berdekatan Pagoh, semalam.

BATU PAHAT: Tiga lelaki maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas ke kiri jalan sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 15 meter menyebabkan kereta itu remuk teruk dengan keempat-empat tayarnya ke atas, dalam kejadian di Kilometer 124.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Pagoh, dekat sini semalam.


Mangsa, Sulaiman Besah, 46, beralamat di Bukit Antarabangsa, Ampang; Mohd Ranoorsyam Ab Razak, 27, berasal dari Tumpat, Kelantan dan seorang lagi dikenali sebagai Md Fu'at Ahmad, 53, dari Petaling Jaya, Selangor.

Sulaiman yang baru kembali mengerjakan ibadat haji pada 1 Disember lalu, ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maju Nusa Sdn Bhd iaitu syarikat berkaitan perunding teknologi maklumat dan komunikasi yang beribu pejabat di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian yang berlaku ketika hujan lebat menyebabkan jalan licin sehingga mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika menuruni bukit di lebuh raya itu.

Sebuah jentera Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Yong Peng dihantar ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing dan terpaksa mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaannya.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata kejadian berlaku ketika menuruni bukit, kereta berkenaan dipercayai gagal dikawal menyebabkannya terbabas ke kiri jalan.
“Bagaimanapun kereta hitam berkenaan kemudian melanggar besi penghadang jalan sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam antara 10 meter hingga 15 meter menyebabkan kereta itu remuk teruk dan ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, “ katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh anggota keluarga mereka. -BH

Tiada ulasan: