17 Nov 2010

Zulfa Dicari Polis Bantu Siasatan, Seorang Kerani Mati Ditikam

Kerani maut diserang dua lelaki

Gambar: Zulfa Ismail dicari polis untuk bantu siasatan

SHAH ALAM: Seorang kerani di sebuah pusat pengajian tinggi di sini terbunuh selepas diserang dua lelaki bersenjatakan pisau celoret ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya di Kampung Padang Jawa, dekat sini, malam Ahad lalu.

Rashidi Mohd Saman, 27, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pagi semalam, akibat cedera parah di perut, tangan kiri, kepala, dagu dan belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata Rashidi sebelum itu diselamatkan anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian di Jalan Muhibah, Kampung Padang Jawa, untuk dikejarkan ke HTAR sebaik menerima panggilan daripada orang awam.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Rashidi dikatakan baru menghantar teman wanitanya, seorang pencuci warga Indonesia di pusat pengajian tinggi sama, apabila dihampiri dua lelaki dipercayai warga Indonesia, dengan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bagaimanapun berjaya melarikan diri selepas menyerang mangsa.

"Mangsa berada dalam keadaan koma sehingga meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi tadi (semalam).

Polis mengklasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya pada sidang media di sini.

Sehubungan itu, Noor Azam berkata, polis kini mencari seorang wanita warga Indonesia, Zulfa Ismail, 20, bagi membantu siasatan berikutan wanita itu bersama anaknya yang berusia empat tahun menghilangkan diri selepas kejadian.

Katanya, wanita itu mempunyai suami yang dipercayai masih berada di negara ini.

Noor Azam berkata, selepas kejadian, wanita yang berasal dari Malang, Indonesia itu yang baru bekerja selama dua bulan sebagai pencuci, tidak hadir ke tempat kerjanya.

Katanya, sebelum ini, wanita berkenaan menetap di kawasan setinggan di Kampung Padang Jawa dan Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jenayah makin meningkat biar lagi BN perintah malaysia

Tanpa Nama berkata...

hari-hari ada jenayah, bagaimana rakyat nak selamat, hanya pemimpin negara yang selamat