4 Nov 2010

Bangunan PAS Terbakar, Berapa Juta Lagi Wang Jemaah Mahu Dibakar?

Operasi Pejabat Agung PAS terganggu beberapa hari

KUALA LUMPUR 4 Nov: Operasi dan sebarang kerja rasmi di Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur tidak dapat dijalankan seperti biasa hari ini malah dijangka terganggu beberapa hari, ekoran kebakaran yang berlaku di tingkat 1 bangunan pejabat itu sekitar jam 8.30 pagi tadi.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, anggota-anggota bomba dan penyelamat sedang bertungkus lumus berusaha mengeluarkan asap tebal yang menyelubungi seluruh ruang tingkat 1 hingga ke tingkat bawah bangunan pejabat itu, sekali gus menghalang kakitangan dan sesiapa sahaja memasukinya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, kebakaran tersebut sudah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan berjaya dikawal dari merebak ke seluruh bangunan sejak hampir jam 9 pagi tadi oleh anggota-anggota bomba dari Balai Bomba Chaw Kit dan Sentul yang bergegas ke tempat kejadian dengan dua buah keretanya, sekitar 15 minit setelah dihubungi.

Seorang kakitangan Pejabat Agung PAS yang juga Pegawai Pendaftar Pertubuhan, Taufik Ramli ketika ditemui di tempat kejadian menjelaskan, kebakaran tersebut berlaku di tingkat satu di tempat beliau bertugas yang menempatkan bahagian pentadbiran pejabat itu sekitar jam 8.30 pagi, 10 minit setelah beliau tiba di pejabat.

Ketika itu, di tingkat tersebut turut terdapat 4 orang rakan-rakan sekerjanya yang lain. Secara tiba-tiba, beliau dan rakan-rakannya yang lain terdengar bunyi letupan di bahagian dapur di tingkat itu.

“Kami bergegas menuju ke ruang dapur di tempat bunyi letupan itu. Sebaik pintu ruangan dapur itu dibuka, kami melihat percikan api pada soket-soket yang berada di kawasan itu lalu diiringi asap yang berkepul-kepul.

“Saya segera turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan alat pemadam api. Tetapi sebaik sahaja saya tiba di tempat kejadian dan membuka penutup alat itu untuk digunakan, asap dan api sudah semakin menebal dan marak menyebabkan saya dan rakan-rakan yang lain sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi, melainkan turun dan keluar dengan segera ke luar bangunan untuk menyelamatkan diri,” jelasnya.

Pengawal keselamatan di pejabat itu yang juga orang yang paling awal mengesan kejadian tersebut, Meor Shamsul Mat Isa menjelaskan, beliau menyedari kejadian itu sebaik tiba di tingkat 1 untuk melaksanakan suatu urusan.

“Saya naik ke tingkat 1 sekitar jam 8.30 pagi. Sebaik saya tiba, saya terdengar satu letupan dan dari pengamatan saya, letupan itu berlaku di dapur. Selepas itu saya nampak api menyala lalu terus marak, sehingga memaksa kami keluar beramai-ramai dari bangunan untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Manakala rakannya, Mohd Sharbi Kamarulzaman, Pembantu Tadbir di bahagian pentadbiran pejabat itu pula menjelaskan, sebelum mereka ke luar dari bangunan itu, mereka terlebih dahulu memaklumkan kejadian itu kepada rakan-rakan sekerja yang lain yang berada di semua tingkat bangunan itu untuk sama-sama menyelamatkan diri.

“Kejadian ini merupakan kejadian yang pertama berlaku di pejabat kami. Walaupun ia hanya kebakaran kecil kerana berjaya dipadamkan dengan segera oleh anggota bomba, tetapi ia meninggalkan kesan buruk kepada kami. Ia amat menyedihkan, tetapi kami terpaksa menerimanya dengan redha,” ujar beliau.

Kesedihan kakitangan di pejabat itu turut diluahkan oleh rakan-rakannya yang lain kerana kejadian itu bukan sekadar mengganggu urusan pentadbiran pejabat tersebut, tetapi juga berlaku ketika PAS sedang bertarung di DUN Galas hari ini.

Pegawai bomba yang ditemui pula menjelaskan, punca sebenar kejadian belum dapat dipastikan. Segalanya akan dianalisa dengan teliti terlebih dahulu sebelum dimaklumkan. Begitu juga dengan jumlah kerugian yang juga belum dapat dipastikan lagi.

Namun sehingga jam 1 tengah hari ini, kesemua kakitangan di pejabat itu masih belum dibenarkan memasuki pejabat tersebut bagi mengelakkan sesak nafas.

Anggota-anggota bomba dan penyelamat juga masih belum dapat memastikan bila asap itu berjaya dikelurkan sepenuhnya dari seluruh bangunan itu.

Bangunan Pejabat Agung PAS itu mula diduduki pada tahun 2007. Bangunan itu secara asasnya dibeli dengan harga RM6.1 juta yang asalnya dimiliki oleh Kwong Yik Bank dan kemudiannya dibeli oleh 'merger bank' iaitu Rashid Hussin Bank (RHB) Berhad.

Oleh kerana bangunan itu (selepas dimiliki oleh RHB) adalah bangunan pangkalan data bagi bank tersebut, struktur pejabatnya terpaksa diubah selepas PAS memilikinya. Akhirnya selepas pengubahsuaian membabitkan kos bernilai RM1.9 juta, kobernilai RM1.9 juta, kos keseluruhannya mencecah RM8 juta.

Bangunan itu menempatkan pejabat pentadbiran yang terletak di tingkat 1, surau di tingkat menzanie, kedai sebbaneka di tingkat bawah serta bilik mesyuarat utama di tingkat 5.

Ulasan GB

Pengurusan bangunan PAS tidak berpengetahuan dan tidak amanah. Sikap acuh tak acuh menyebabkan ribuan ringgit hangus. Cukup memalukan dan menyedihkan.

Perlu diingat, wang berjuta ringgit untuk membeli dan menyelenggara bangunan PAS tersebut sebahagiannya datang dari ahli-ahli jemaah juga melalui sumbangan derma dan yuran keahlian.

Tetapi lantaran tiadanya sikap akauntabiliti dan responsibiliti para petugas dan perkerja di bangunan tersebut, maka terjadilah tragedi kebakaran yang menyebabkan kos peyelenggaraan juga meningkat.

Mujur dan bersyukur ke hadhrat Ilahi kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.


Namun ia perlu membuka mata setiap pimpinan tertinggi PAS amnya, dan khususnya mereka yang dipertanggungjwabkan untuk menyelia dan mengurus bangunan berkenaan agar pisang tidak berbuah dua kali, peristiwa dan kebodohan yang sama jangan diulangi. Jangan sampai nyawa sudah melayang baru hendak dicarikan penyelesaian.

GB telah mengulas kes kebakaran ini di SINI.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

....kenapa emo sangat. Sifat tidak bertenang ni perlu dikawal.

Tanpa Nama berkata...

sebab GB ni membela ahli-ahli PAS yang daif, yang terdiri dari pekerja kilang, pekebun, penoreh, pesawah dan lain.

bukan yb-yb telah senang lenang tetapi tidor.

remy berkata...

mungkin anon 6.29 tu ingat orang senang cari duit. emo itu kdg kala penting untuk meletakkan hak kena pada tempatnya.

TGNA sendiri ada masa dia emo, menangis di hadapan Tuhan kerana tidak mahu kezaliman bermaharaja lela.

Orang yg jiwanya halus dan bercahaya biasanya akan mempunyai emosi yang lebih. Hanya orang yg hatinya mati dan zulmat yang tidak marah akan kejadian yang menghanguskan wang hasil jerih payah ahli jemaah tersebut.

Waris berkata...

Masalahnya ialah mereka tidak menjadikan Islam itu ad-din atau cara hidup. Pada mereka Islam hanya boleh dilihat secara luaran. Bukankah aspek keselamatan itu sebahagian dari cara hidup Islam? Berapa ramai ustaz2 yg menitikberatkan segala yg baik sbg satu cara hidup? Sebab itulah Islam tidak berkembang maju. Segala kemajuan dimulakan oleh bukan Islam. Jgn hanya pandai berceramah tetapi praktikal tidak dilaksanakan. Bila ada yg menasihatkan ustaz2 dgn cara begini maka kami semua akan dicop sbg liberal sebab kami tidak berkopiah dan berserban. Berubahlah wahai umat Islam... gunakanlan akal fikiran anugerah Allah yg tiada tolok bandingnya. Jadilah umat Islam yg elok akidahnya serta bijaksana dlm mengharungi kehidupan. Jgn ditolak golongan liberal dan profesional kerana mereka ada akal yg mantap utk pembangunan ummah. Jika kami dari golongan liberal ini tersasar dlm melaksanakan hukum Allah maka tegurlah kami. Jgn pandang serong pd cara pemakaian dan kehidupan kami. Bimbing kami jika kami salah.