23 Nov 2010

6,133 Penjawat Awam Bermasalah, Prestasi Rendah

6133 Penjawat Awam Bermasalah, Prestasi Rendah Tahun Lepas

PUTRAJAYA: Jumlah penjawat awam yang bermasalah dan berprestasi rendah meningkat kepada 6,133 orang pada tahun lepas berbanding 5,344 atau 0.84 peratus pada 2008, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata antara masalah yang dihadapi adalah disiplin, hubungan interpersonal, psikologi, prestasi rendah serta kesihatan kronik seperti penyakit jantung, kanser dan kencing manis.

"Masalah disiplin, kesihatan dan prestasi rendah merupakan tiga masalah paling utama," katanya semasa berucap merasmikan majlis pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) kali keenam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakan pembimbing membantu pihak pengurusan sumber manusia dalam mengatasi masalah yang timbul selain mempamerkan diri mereka sebagai model contoh kepada rakan sekerja yang lain dengan mengamalkan nilai-nilai positif dan menunjukkan tatalaku yang boleh dicontohi.

"Ahli psikologi berpendapat rakan sekerja akan berasa lebih selesa berbincang dengan rakan sekerja berbanding dengan pegawai atasan mereka. Selain itu teguran daripada seorang rakan lebih mudah diterima berbanding teguran ketua yang mudah disalah tafsir sebagai hukuman lisan," katanya.

Abu Bakar berkata elemen 'buddy system' (sistem sahabat) perlu dimasukkan ke dalam modul pasca AKRAB dan seterusnnya menggerakkan sistem sahabat kepada ahli AKRAB secara lebih tersusun dan komprehensif.

"Misalnya seorang AKRAB akan segera menghubungi rakan 'buddy'nya jika didapati rakan 'buddy'nya itu sedang menghadapi masalah kesihatan atau kewangan yang boleh menjejaskan tugas-tugas hariannya dan bantuan segera akan dihulurkan kepada rakan tersebut semampunya," katanya.

Pada majlis itu, 1,027 pegawai ditauliahkan sebagai rakan pembimbing perkhidmatan awam menjadikan jumlahnya bertambah kepada 3,583 orang sejak ia dilaksanakan pada 2005.

Anugerah AKRAB Utama bagi kategori individu diterima oleh Pauzan Ahmad dari Jabatan Perkhidmatan Awam manakala SME Corp Malaysia menerima Anugerah AKRAB Gemilang untuk kategori organisasi dengan masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Abu Bakar percaya peningkatan bilangan keahlian AKRAB yang ditauliahkan setiap tahun mampu memberikan impak yang besar terutama dalam membantu pihak pengurusan sumber manusia meningkatkan pembangunan modal insan yang berdaya saing dan berpretasi tinggi di agensi masing-masing. - BERNAMA

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau guna kriteria di kilang Jepun, peratusan itu mungkin meningkat kepada 84%

bonus berkata...

hehehe dah lama tak merasa bonus!! itu la pasal. hehehe

Cumi Manzui berkata...

Kalau takat 6000 saja, tak pa sangat. Yang AKU takut ialah ini bukan angka sebenar. Angka sebenar lebih besar lagi ..... tak caya, tanya Najib.

Tanpa Nama berkata...

Kaki tangan awam ni tak boleh dipersalahkan sebab depa ikut contoh pak-pak menteri.Berapa ramai pak-pak menteri kaki rasuah,kaki penyeleweng,salah guna kuasa,langgar peraturan dan undang-undang - mana ada "kepimpinan melalui teladan",cakap tak serupa bikin.Kalau ketam nak ajar anak-anaknya jalan lurus,inilah akibatnya.

Tanpa Nama berkata...

Itu yang kedapatan, mana lagi kes yang menggunakan kedudukan suami yg jd pengarah sana, penolong pengarah sini utk buat sesuka hati kat sekolah, suka-suka hati ambik cuti CRK, suka suka hati keluar masuk kerja dan yang paling tidak baiknya suka suka hati tak masuk kelas, tidak mengajar. Guru Besar hendak ambik tindakan pun takut. Guru guru lain makan hati lah kalau melapor, nnt kena sound balik. Tolonglah intai-intai kes camni.