16 Okt 2010

Peneroka Dakwa Ditipu & Dipermainkan Pengurusan FELDA

Peneroka di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu mendakwa mereka ditipu dan dipermainkan pihak pengurusan Felda di sini berhubung pengeluaran kayu getah bagi persiapan tanam semula.

Bekas Ketua UMNO Cawangan Felda Lawin Selatan, Abu Mansur Ahmad, 52, berkata, tender bagi melaksanakan projek itu sudah dikeluarkan pada awal April lalu.

Menurutnya, boleh dikatakan sepanjang proses persetujuan tender pengeluaran kayu getah antara pemaju, pihak pengurusan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lawin Selatan adalah bercorak paksaan ke atas semua peneroka.

“Walaupun pihak pemaju berusaha untuk mencari kontraktor yang mampu memberikan tawaran harga tinggi, namun tidak dipersetujui oleh pihak pengurusan, sebaliknya kami dipaksa untuk bersetuju dengan kontraktor yang dipilih pihaknya dengan hanya menawarkan harga lebih rendah.

“Harga yang ditawarkan kepada kami adalah RM2,395 untuk sehektar dan kami juga diarahkan supaya tidak membangkitkan sebarang masalah berhubung pengeluaran kayu getah ini dalam mana-mana mesyuarat bersama Pihak Pengurusan Felda Lawin Selatan dan JKKR Felda Lawin Selatan,” katanya ketika ditemui di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu, semalam.

Abu Mansur berkata, mereka terpaksa bersetuju terutama bila pihak pengurusan berjanji bahawa peneroka boleh mengusahakan kebun getah masing-masing dan mengeluarkan hasil seperti biasa sehingga kerja-kerja pengeluaran kayu getah sampai ke kawasan mereka.

Menurutnya, selain itu, peneroka turut mendakwa mereka tidak menerima duit hasil kebun getah sepertimana yang sepatutnya.

“Apa yang dijanjikan kepada kami adalah tanah milik peneroka akan diberikan pajakan pada kadar RM1,400 sebulan untuk setiap satu lot bersama duit sara hidup sepanjang kerja-kerja pengeluaran kayu getah itu dijalankan.

“Namun sehingga kini, kami hanya menerima duit sara hidup sahaja, manakala sembilan peneroka lain langsung tidak mendapat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata, beliau pernah membincangkan perkara ini dengan pihak pemaju dan dipersetujui bahawa nilai yang ditawarkan adalah rendah di mana pihak pemaju kemudiannya memberi insentif tambahan sebanyak RM236,000 kepada peneroka.

Bagaimanapun, Abu Mansur berkata, insentif tambahan ini disalah erti oleh pihak pengurusan yang menganggap ia sebagai duit pajakan dan memaksa peneroka mengikuti syarat dalam surat perjanjian tidak bertarikh sebelum menerima wang masing-masing.

“Pembayaran itu dikeluarkan pada 27 September lalu dan berhubung surat perjanjian itu, ia sebenarnya tidak bertarikh dan dikeluarkan tanpa terlebih dahulu melalui sebarang perbincangan atau mesyuarat bersama kami.

“Ketika mengusahakan sendiri kebun masing-masing, kami mampu mengeluarkan hasil lebih RM2,000 sebulan, namun setelah diberi pajakan, ternyata hasil yang diterima berkurangan apabila hanya menerima sekitar RM1,000 lebih sahaja,” katanya.:

Cuba ubah syarat perjanjian

Manakala:, bekas Pengerusi JKKR Felda Lawin Selatan, Jumari Ismail, 57, berkata, terdapat percubaan untuk mengubah salah satu syarat Perjanjian Tuntutan/Pampasan Bayaran Kayu Getah tanpa terlebih dahulu membatalkan perjanjian asal.

Menurutnya, perkara ini disedari melalui satu sesi perbincangan dalam satu mesyuarat bersama pemaju dan berasa syarat yang hendak diubah adalah syarat ketiga dalam perjanjian itu.

“Lebih mencurigakan apabila surat perjanjian asal hanya ditandatangani satu pihak sahaja sementara JKKR Felda Lawin Selatan sebagai pihak kedua dan Pengurus Felda Lawin Selatan selaku saksi tidak menurunkan tandatangan,” katanya.

Jumari berkata, dalam mesyuarat itu juga, pihak berkenaan bersetuju untuk memberikan tempoh dua minggu kepada peneroka untuk menjalankan kerja menoreh dan mengeluarkan hasil seperti biasa bermula 1 Oktober lalu.

Beliau berkata, langkah itu diberikan sementara menunggu kerja-kerja mengeluarkan kayu getah dimulakan oleh pihak pemaju.

“Pihak pemaju juga sebenarnya masih dalam proses perbincangan dengan JKKR Felda Lawin Selatan dan pihak pengurusan termasuk mesyuarat khas yang diadakan pada 8 Oktober lalu, namun tidak menemui sebarang keputusan.

“Saya bagaimanapun tidak dijemput bersama walaupun saya sepatutnya ada dalam mesyuarat selaku salah seorang ahli tertinggi Jawatankuasa Bertindak Penanaman Semula Getah di Felda Lawin Selatan Peringkat Satu,” katanya.

Katanya, perjumpaan yang diadakan pada sebelah pagi itu sepatutnya lanjutan kepada mesyuarat yang tertangguh tanpa sebarang keputusan pada 8 Oktober lalu, namun ditukar tujuannya secara tiba-tiba.

“Sepatutnya ia adalah mesyuarat bersama bagi mencari penyelesaian dan memberi penerangan berhubung masalah pengeluaran kayu getah ini, tetapi ditukarkan kepada sesi taklimat oleh pihak perbankan serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja,” katanya.

Beliau berkata, berlaku sedikit kekecohan pada pertemuan itu dan semua peneroka Felda akhirnya bertindak meninggalkan Dewan Komuniti Felda Lawin Selatan.

“Antara punca kemarahan peneroka adalah arahan yang mengatakan mereka perlu menghentikan segala kerja dan tidak boleh mengeluarkan hasil tidak sepertimana yang dipersetujui pada peringkat awal," katanya.:

Harga tawaran berbeza

Sementara: itu, seorang peneroka, Ahmad Abd Latef, 60, berkata, dia tidak berpuas hati dengan harga yang berbeza daripada tawaran asal.

Menurutnya, harga yang mereka terima adalah lebih murah daripada harga asal.

“Bukan hanya tentang harga tawaran, saya dan rakan-rakan turut tidak merasa puas hati tentang perjalanan perbincangan sejak peringkat awal lagi apabila semua yang dijanjikan tidak terlaksana,” katanya.

Ahmad berkata, pada perbincangan awal, mereka dijanjikan untuk mendapatkan kadar harga tawaran lebih tinggi.

Katanya, dia juga tidak puas hati apabila pihak pengurusan Felda Lawin Selatan memaksa peneroka bersetuju dengan harga yang diperoleh sepertimana pada hari ini.

“Sedangkan pada peringkat perbincangan bersama peneroka, Pengerusi JKKR Lawin Selatan memberi keyakinan kepada kami bahawa pihaknya akan berunding dengan pemaju untuk dapatkan harga lebih tinggi.

"Namun hingga kini, tidak ada sebarang keputusan dibuat dan dimaklumkan kepada kami,” katanya. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mudah2an peneroka felda semakin menyedari yang selama ini mereka telah ditipu... dan pada PRU akan datang tak akan pilih lagi umno bee end...