16 Okt 2010

Banyak Hotel Dikesani Guna Ramuan Tidak Halal

Kuantan - Beberapa hotel di daerah Cameron Highlands yang memohon logo halal tidak prihatin dengan penggunaan bahan masakan di premis mereka kerana masih menggunakan bahan tidak halal.

Penolong Pengarah Pengurusan Halal, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Noridzuan bin Abdul Manan berkata, pemantauan Jawatankuasa Kajian Makanan Dan Barang Gunaan Orang Islam Pahang ke beberapa hotel di daerah itu mendapati tahap kesedaran dan keprihatinan pihak pengusaha hotel terhadap standard halal perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, walaupun kesedaran untuk mendapat sijil halal adalah tinggi tetapi kefahaman terhadap standard halal kurang memuaskan.

“Lebih mengejutkan ada dapur hotel yang menggunakan produk terutama sos salad yang jelas mengandungi alkohol dan tidak dibenarkan penggunaannya sama sekali bagi maksud persijilan halal,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, pihak jawatankuasa halal mengingatkan pengusaha hotel mengenai garis panduan yang wajib dipatuhi jika mereka berhasrat memohon sijil halal.

Katanya, memang ada pelbagai pilihan sos yang digunakan sebagai ramuan sajian tetapi pihak hotel perlu menukar produk yang tiada perakuan halal kepada produk yang diperakui halal dan suci.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada masalah untuk mendapatkan jenama yang mempunyai sijil halal di negara ini kerana banyak pilihan yang terdapat di pasaran.

“Kita nasihatkan supaya pengurusan hotel perlu bijak memilih produk yang tidak dikilangkan di Malaysia seperti bahan-bahan di dalam tin serta ramuan yang digunakan untuk penyediaan masakan barat,” katanya.

Lawatan pemeriksaan dan pemantauan disertai 14 pegawai Jaip, Jabatan Kesihatan Cameron Highlands, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Cameron Highlands dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Daerah Raub.

Sementara itu, Noridzuan kesal kerana ada pengusaha hotel yang masih keliru mengenai status persijilan yang dibenarkan Jaip dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Masih ada pengurusan hotel yang keliru mengenai status sijil halal dari pihak swasta sedangkan sijil berkenaan tidak sah.

Menurutnya, di antara aspek utama yang perlu dicapai oleh pihak hotel ialah memastikan semua bahan atau ramuan yang digunakan di dalam penyediaan semua masakan dan minuman diperakui halal oleh badan yang diiktiraf. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kiranya anda biasa bercampur dan rapat berkawan dengan orang bukan Islam, terutama dari kaum cina, lapaz seperti ini selalu akan anda dengari:

‘ I respect him ... lah ... five glass no problem one....’
‘ I saw haji pun makan, don’t worry ... ini tak ada babi ... boleh makan punya ...’

Ini timbul atas salah faham mereka kerana masih ramai orang Melayu yang dimestikan berugama islam itu bersikap megah dengan kehebatan mereka menonggak. Dan kupiah haji itu juga bukan sahaja di pakai oleh pak Haji dan yang warak.
Adakah barangan berbungkus yang tidak bertanda halal itu sebenarnya haram?. Dan hanya meminum arak di khalak ramai sahaja yang dilihat berdosa ?. Atau ianya hanya haram dalam undang-undang negara Malaysia sahaja ?. Pak ketua sebenarnya tahu di mana kalau nak tengok, nak cari dan nak tangkap peminum arak berbanga Melayu ini. Jika judi casino di Genting boleh dicegah masuk, mengapa tidak tempat yang menghidangkan makanan tidak halal ?. Atau sekurang-kurangnya BAR di hotel-hotel. Pun tak-kan berani masuk kerana takut najis terpalit di jeket ?.

Alhamdulillah, kini ada PAS yang mahu berjinak dengan orang-orang bukan Islam. Sambil berparti dan berpolitik, boleh juga mereka berdakwah. Semuga akhlak yang murni pemimpin boleh dijadikan contoh. Boleh juga dibisikkan bahawa yang haram itu bukan sahaja barangnya, bekasnya juga wajib disamak.

Jika setakat bungkusan Mee dan bahan perasa yang tak bertanda Halal sahaja kami tak heran, mungkin dah banyak kita telan. Atau kerana masih mahu berselindung disebalik ‘yang memasak dan yang menjual itulah yang berdosa ...!’. Lagi pun siapa pula yang mampu makan mee goreng dan teh tarik di hotel ?.