15 Okt 2010

Memadaikah Penjara 7 Tahun Untuk Pembakar Dan Pembuang Abu Mayat Sosilawati?

Kes Sosilawati: Dua lagi didakwa, dipenjara selepas mengaku salah

BANTING, 15 Okt — Dua lagi suspek dihadapkan di mahkamah hari ini dan kedua-duanya mengaku bersalah berhubung tuduhan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.

Pertuduhan dalam Bahasa Tamil ke atas U. Suresh dan K. Sarawanan dibacakan kira-kira 11.15 pagi tadi di Mahkamah Majistret di sini.

Hukuman dijatuhkan selepas kedua-dua Suresh, 26, dan Sarawanan, 19, mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghapuskan bukti bagi kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain.

Kedua-dua suspek yang juga pekerja ladang milik seorang peguam terbabit, yang didakwa kelmarin, dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Mereka merupakan antara lapan orang yang ditahan antara 9 dan 12 September lalu bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lepas.

Kelmarin, peguam N. Patmanabhan, pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 19; R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44.

Sarawanan diwakili oleh peguam Roslie Sulle manakala Muhammad Naguib Abdul Malik bertindak sebagai peguam Suresh.

Hurman menetapkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap kedua-dua suspek bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Empat pertuduhan dibacakan terhadap kedua-dua mereka, namun Hurman memutuskan hukuman tersebut berjalan serentak.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka membakar dan membuang abu mayat Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil.

Sarawanan dituduh membakar manakala Suresh pula membuang abu mayat keempat-empat mangsa.

Kedua-dua suspek merupakan pekerja kepada Patmanabhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Berikut adalah kronologi kes itu yang menggemparkan masyarakat:

* 5 Sept: Sosilawati dan tiga lagi terdiri daripada pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang selepas seminggu keluar rumah ke Banting atas urusan pembelian tanah.

* 6 Sept: Dua buah kereta mewah dipercayai milik Sosilawati dan peguamnya ditemui oleh orang awam di dua lokasi berbeza di Subang Jaya.

* 7 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memaklumkan polis mempunyai beberapa maklumat penting berhubung kes itu.

* 10 Sept: Lima suspek ditahan di sebuah ladang di Banting.

* 11 Sept : Seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya yang juga seorang peguam turut ditahan bagi membantu siasatan. Media melaporkan polis menjumpai bukti bahawa Sosilawati dan tiga lain menjadi mangsa pembunuhan kejam di Ladang Gadong, Jalan Tanjung Sepat, Morib dan siasatan lanjut mendapati selepas dibunuh mayat mereka dibakar manakala abunya dicampakkan ke sebatang sungai berhampiran.

* 12 Sept: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Bakri Zinin mengesahkan lapan suspek termasuk peguam yang menjadi suspek utama ditahan.

* 14 Sept: Polis menggeledah pejabat firma guaman milik suspek utama di Banting bagi mencari bukti termasuk kes penipuan manakala waris keempat-empat mangsa menjalani ujian DAN di Hospital Kuala Lumpur.

* 15 Sept: Unit Forensik Polis menemui beberapa lagi objek, dipercayai bukti penting kes di Sungai Panchau, Banting.

* 16 Sept: Polis berkata selain kes bunuh, suspek utama turut disiasat berkaitan kehilangan dua lelaki lain, msing-masing warga negara India dan warga tempatan.

* 18 Sept: Tempoh tahanan reman suspek utama bersama adiknya dan seorang lagi lelaki dilanjutkan.

* 19 Sept: Pengasas Kosmetik Aveer, Sarina Jaafar ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang tetapi polis mengesahkan tiada kaitan dengan kematian Sosilawati.

* 21 Sept: Unit penyelam Pasukan Gerakan Marin menemui satu objek seakan-akan gelang emas milik seorang daripada mangsa bunuh di kawasan kunci air Kampung Sungai Lang, Banting. Kertas siasatan kes diserah kepada Pejabat Peguam Negara.

* 22 Sept: Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes dan meminta polis menjalankan siasatan lanjut.

* 23 Sept: Tempoh tahanan reman lima suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain disambung untuk seminggu lagi.

* 24 Sept: Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mendakwa menerima dua aduan berhubung kehilangan anggota keluarga di Banting, Selangor yang dipercayai berkaitan suspek utama kes.

* 26 Sept: Mahkamah Majistret Sepang membenarkan tahanan reman terhadap tiga suspek termasuk peguam dua beradik sehingga 1 Oktober.

* 1 Okt: Mahkamah Majistret Teluk Datok, Banting membenarkan tahanan reman terhadap lima suspek dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati disambung sehingga 8 Okt.

* 8 Okt: Polis mendapat perintah mahkamah untuk melanjutkan tempoh reman tiga suspek berhubung kes ahli perniagaan yang dilaporkan hilang baru-baru ini sehingga 13 Okt.

* 11 Okt: Peguam dua beradik dan seorang suspek kes memfailkan permohonan supaya perintah lanjutan tahanan reman terhadap mereka yang diperoleh pihak polis, disemak semula.

* 12 Okt: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan yang dikemukakan oleh dua peguam adik-beradik berhubung perintah lanjutan tahanan reman. -tmi

Ulasan GB

Apa pendapat tuan-tuan tentang hukuman yang dikenakan oleh hakim keatas kedua-dua yang telah mengaku bersalah, membakar dan membuang abu mayat ini?

Apakah memadai penjara 7 tahun?

Apakah peguam ini peguam yang dilantik oleh tertuduh sendiri atau peguam yang diunjukkan oleh pihak berkenaan kepada tertuduh?

Apakah peguam itu berkata kepada tertuduh "you plead for guilty, I plead for leniency?"

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

2 orang ini akan jadi saksi pendakwa kpd suspek utama nanti.

Wak Parjoe berkata...

Ye wak setuju karo 4.25

Waris berkata...

Lebih sikit je dari yg anwar kena. Mcm cerita kartun la malaysia ni...

Tanpa Nama berkata...

7 tahun!!! Potong sana,potong sini,akan jadi 4-5 tahun aje.Kalau begini,akan ramai nanti akan jadi tukang bakar mayat,tukang buang abu mayat dan juga tukang bom mayat.Lihat kepada kes yang simpan dan jual binatang diPulau Pinang.Hukumnya cuma penjara 6 bulan dan denda RM190,000. Denda ni celah gigi aje buat pesalah yang kaya raya.Yang buang bayi pun kena penjara 3-4 tahun aje.Tak heiranlah begitu banyak bayi yang dibuang setiap hari.

Tanpa Nama berkata...

selagi BN perintah malaysia jenayah berleluasa, macm rasuah juga...SPRM pejam mata?

Tanpa Nama berkata...

pa pulak kena mengena dgn BN , ini kes jenayah jgn pulak di politikkan

Tanpa Nama berkata...

Orang2 mcm ni patut kena hukuman yg setimpal,7 tahun mana blh...suspek Utama dgn adiknya patut sama2 kena tindakan Hukum Gantung sampai mati mana blh adiknya blh terlepas sebab dia pun ada kena mengena dgn kes kehilangan Muthuraja....Setahu saya adik dia ni Master Mind utk abangnya, skrg dah bebas ni byklah lagi Jenayah yg boleh dia buat...