17 Okt 2010

Konvensyen UMNO Terengganu Tak Mampu Damaikan Kem Bertelagah

Kemaman – Walaupun media perdana memutarkan pelbagai kenyataan publisiti yang cuba meyakinkan rakyat bahawa Umno Terengganu telah pulih, namun keadaan sebenarnya tidak.

Penganjuran konvensyen Umno Terengganu tidak akan memulihkan perbalahan dikalangan pemimpin Umno kerana perjuangan Umno bukan atas nama Islam.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat (gambar) menyifatkan putaran media perdana tidak akan dapat menutup cerita perbalahan yang sudah berakar umbi dan menjadi buah mulut rakyat.

“Pemuda Umno sebelum ini pernah menganjurkan konvensyen, pertemuan demi pertemuan yang dilaksanakan untuk cuba mendamaikan dua kem Umno yang berbalah, semua tidak berjaya,”katanya ketika dihubungi Buletinonline.

Menurutnya tidak ada ubat yang mujarab bagi mengubati hati-hati pemimpin Umno ‘yang sakit’ kecuali kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Sebaliknya, kata beliau, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, tidak percaya dengan perkara tersebut.

”Hisham hanya percaya Umno adalah segala-galanya, sebab itu beliau berkata hanya Umno yang akan menentukan ‘hidup mati’ orang Melayu,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam mengulas kenyataan Hishamuddin yang berucap dalam Konvensyen Umno semalam, dipetik akhbar media perdana sebagai berkata;

"Inilah harapan dan realiti saya kerana UMNO dilahirkan untuk perjuangan Melayu. Hari ini saya merayu, berpecahnya UMNO maka berkecailah Melayu, mati UMNO maka berkuburlah Melayu. Berjanjilah, kita akan berjuang bagi menyahut seruan bangsa dan agama”.

Oleh itu, Haji Hanafiah menyeru supaya ahli-ahli Umno kembali ke pangkal jalan dengan mengambil Islam sebagai penyelesai segala masalah, meletakkan Islam dihadapan dan menyerah kepada Allah.

”Mesti dibuang.dasar perjuangan kebangsaan yang mementingkan periuk nasi, yang mengenepikan erti persaudaraan Islam yang tulin,

"selagi Umno menolak Islam, tunggulah saat kejatuhan dan kehancurannya”jelas Haji Hanafiah yang juga Pengerusi MTD Dun Chukai.

Justeru, katanya, rakyat di merata pelusok, di kedai-kedai, pejabat-pejabat, kampong dan bandar sudah tidak sabar menunggu tarikh pilihanraya umum ke-13, untuk menukarkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional kepada kerajaan Pakatan Rakyat. -buletinonline


Ahmad Said dakwa Umno T'gganu kini bersatu

Umpama "biduk lalu, kiambang bertaut," itulah ungkapan yang digunakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi menggambarkan hubungan pemimpin Umno di negeri itu ketika ini.

Beliau berkata semangat perpaduan di kalangan golongan terbabit semakin pulih dan dirasai, termasuk wakil rakyat dan pemimpin parti apabila terdapat kesungguhan untuk bersatu, walaupun hubungan di antara mereka sebelum ini agak tegang.

"Saya harap masalah dulu dapat dilupakan. Bak kata orang, biduk lalu, kiambang bertaut. Kita sebagai pemimpin dan orang politik, perlu berjiwa besar.

"Jangan mudah berkecil hati, berasa hati atau berjauh hati, dan dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Terengganu 2010 hari ini.

Konvensyen yang dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi, disertai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap parti serta jemputan khas.

Ahmad berkata konvensyen yang pertama kali diadakan di Terengganu sejak Pilihan Raya Umum 2008 itu, boleh dijadikan sebagai persediaan Umno negeri bagi mengikuti pemilihan parti di Kuala Lumpur Selasa depan, dan bekalan ketika menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya amat berpuas hati dengan persiapan dan resolusi yang dikemukakan perwakilan dari bahagian-bahagian yang bertujuan untuk mengukuhkan perjalanan dan kepimpinan Umno di Terengganu.

"Saya harap pemimpin di Terengganu, khususnya wakil rakyat, menjadikan harapan perwakilan ini sebagai, dan peluang untuk, muhasabah diri dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Sementara itu, sebanyak 19 resolusi dicapai dalam konvensyen yang bertujuan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, satu deklarasi, dinamakan Deklarasi Primula 2010, turut diputuskan serta diserahkan kepada Ahmad dan Hishammuddin, yang merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu.- Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pengalaman saya semasa bertugas di Johor Bahru sekitar awal 80han dulu. Seorang kawan saya orang Johor pernah mengatakan kepada saya bahawa kalau UMNO/BN tak perintah Malaysia, maka susahlah cari makan. Maknanya kalau pembangkang/parti lain yang memerintah tak boleh mencari rezeki. Begitulah pandangan sempit kawan saya itu. Maaf,tanggapan ini bukan pandangan keseluruhan rakyat Johor. Cuba tengok dan berfikir sedikit bila PAS memerintah Kelantan, adakah rakyat susah cari makan? Bidang perniagaan begitu rancak sekali kerana kebanjiran pelancong terdiri juga daripada orang Johor.