3 Okt 2010

Galas: PAS Sudah Tetapkan Untuk Bertanding

PAS tetap tanding di Galas, soal Ku Li tak sentuh

KUALA LUMPUR, 3 Okt — PAS membuat keputusan muktamad akan meletakan calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong selepas penyandangnya dari parti itu meninggal dunia Isnin lalu.

Pendirian ini dicapai pada mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat PAS di sini, petang tadi.

PAS juga melantik Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Fatah Harun sebagai pengarah operasi manakala Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman sebagai pengarah strategi.

“Mesyuarat tadi ada membincangkan soal pilihan raya kecil Galas, kami sudah mengambil keputusan akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Galas,” kata Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun kata beliau, mesyuarat hari ini tidak menyentuh soal cakap-cakap bahawa Umno-BN akan menurunkan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di Galas.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 Oktober lepas akibat barah usus.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh pilihan raya kecil Rabu ini.

Mahfuz juga berkata pihaknya juga tidak membincangkan soal calon pada mesyuarat hari ini.

“Lagipun kawasan Gua Musang dan negeri belum membincangkan soal calon, ia belum diangkat ke peringkat negeri.

“Perkara itu akan dibincangkan selepas kemudian. Tarikh pelancaran jentera dan pengumuman nama calon akan diputuskan oleh jawatankuasa jentera pilihan raya yang dibentuk,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mengesahkan isu soal calon tidak disentuh hari ini.

Mengenai saranan kemungkinan Tengku Razaleigh akan diturunkan oleh Umno-BN, Tuan Ibrahim menjelaskan pihaknya juga tidak menyentuh soalan itu, lagi pun Ahli Parlimen Gua Musang itu sendiri tidak mengatakan apa-apa.

“Kami hanya bincang soal pembentukan jawatankuasa operasi dan induk... soal Ku Li bukan agenda mesyuarat,” katanya lagi.

Kata Tuan Ibrahim, satu mesyuarat khas akan diadakan kemudian untuk membincangkan soal calon khususnya selepas tarikh pilihan raya kecil diputuskan. -TMI

Tiada ulasan: