18 Okt 2010

4 Maut Dalam Dua Kemalangan Berasingan

Dua pelajar perempuan maut

Kemaman – Dua pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan maut apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 119, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat pekan Kemasek kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku apabila sebuah motosikal dinaiki mangsa, Nur Amalina Saimin dan rakan karibnya, Nur Ain Abdul Rahim yang kedua-duanya berusia 17 tahun dirempuh sebuah kereta jenis Proton Persona ketika berhenti di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat memberitahu, akibat rempuhan itu kedua-dua pelajar tersebut tercampak beberapa meter di atas jalan raya.

“Nur Amalina maut di tempat kejadian kerana kecederaan teruk di kepala dan badan manakala Nur Ain yang membonceng motosikal itu pula meninggal dunia di Hospital Kemaman,” katanya.

Beliau yang ditemui di pejabatnya dekat sini semalam memberitahu, pemandu kenderaan berusia 49 tahun dan dua penumpang di dalam kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka melalui Perumahan Rantau Petronas menghala ke pusat beli-belah yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurut ibu Nur Ain, Aminah Ibrahim, 54, sebelum kejadian, anaknya meminta kebenaran untuk pergi ke rumah seorang lagi kawannya di Kampung Baru Kemasek kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka bagi menziarah ibu rakannya yang akan mengerjakan haji. -kosmo


Lagi drebar rentung: Van terbakar bertembung kereta

Butterworth: “Jeritan meminta tolong masih terngiang-ngiang di telinga saya walaupun kejadian itu sudah lebih sejam berlalu,” kata saksi membantu mengeluarkan wanita yang terbakar selepas van dinaiki bersama suaminya terbakar sejurus kemalangan di Jalan Bagan Lalang dekat sini, semalam.

Dia yang enggan nama disiarkan berkata, dia menunggang motosikal untuk ke tempat kerja sebelum mendapati sebuah van terbakar ketika melalui Jalan Bagan Lalang kira-kira jam 6.40 pagi.

“Sebaik tiba, saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong dari van terbakar.

“Walaupun api sedang marak, saya cuba membantu mengeluarkannya dari van berkenaan tetapi tidak sempat menyelamatkan pemandu van yang turut disambar api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia meletakkan wanita berkenaan yang melecur teruk di tepi jalan dan menutupnya dengan kain berikutan pakaiannya hangus.

“Saya masih terdengar jeritan pemandu van yang meminta tolong walaupun sudah lebih sejam. Saya terkilan tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.

Van berkenaan dinaiki suami isteri berusia 25 tahun, Lim Kui Thang dan Loh Geik Ting, dari Taman Bagan Lalang dalam perjalanan ke Taman Chai Leng, Prai untuk berniaga. Van dinaiki mereka bertembung Perodua Viva dipandu pekerja industri, A Mogan, 26, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Lim rentung dalam van manakala Loh dilaporkan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Butterworth, Zulkifli Harun, berkata enam anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 6.46 pagi.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati bahagian depan van sedang terbakar tetapi berjaya mengawal api dua minit kemudian.

“Pemandu van didapati rentung dan kami mengeluarkan mayat pemandu Perodua Viva yang cedera parah di kepala,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Superintendan Mohd Shukri Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut mengenai kemalangan itu masih dijalankan.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. -hmetro


2 ulasan:

tomskut berkata...

Salam GB,

Kebanyakan kemalangan sekarang ini berlaku, kereta akan semstinya terbakar. Saya rasa kena report kemungkinan minyak RON 95 akan buat minyak cepat terbakar bila berlaku sahaja kemalangan kecil.

Kejadian 5 orang mati membawa kereta honda city kerana kereta terbakar, walhal, saksi mengatakan 4 penumpang masa itu hidup lagi. tetapi terbakar hidup2 kerana kereta terbakar.

kepada siapa kita nak adu bende macam ini, sebab kawan saya yang bekerja sebagai chemical engineering pon mengatakan peratusan tinggi kereta terbakar kerana minyak tersebut...

Saya harap GB boleh war war kan kes minyak ini...

٠BerokBand٠ berkata...

adik aku ! :'(