18 Okt 2010

TGNA : UMNO Pinggirkan Roh Agama Dalam Pemerintahan

Skudai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa pemerintahan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlalu sekular dan berorientasikan semangat perkauman yang sempit.

Nik Abdul Aziz mendakwa, akibat meminggirkan roh agama dalam pentadbiran menyebabkan berlakunya penindasan, rampasan hak dan ketidakadilan kepada rakyat.

“Pemimpin BN tidak nampak asas dosa dan pahala mengikut acuan Islam. Oleh kerana itu mereka menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyekat kebebasan bersuara kepada pembangkang dengan tidak memberikan permit (berceramah),” katanya pada forum anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang diadakan di Taman Universiti, di sini, semalam.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, bersandarkan faktor tersebut, Pas mengambil keputusan menjadikan strategi menggunakan ilmu ketika berhadapan dengan UMNO dan BN.

“Pas akan tetap lawan UMNO tetapi dengan ilmu. Sebab itu saya suka dan setuju jika dijemput untuk memberikan ceramah dan forum seperti ini.

“Sebagai contoh setiap hari Jumaat, umat Islam semua akan ke masjid untuk mendengar ceramah, ertinya Islam mementingkan ilmu,” katanya.

Nik Abdul Aziz turut menyelar penularan aktiviti rasuah politik sebelum dan menjelang musim pilihan raya yang dianggap sebagai cara terkutuk memenangi hati rakyat.

Menjawab soalan adakah Pas bersedia berkongsi pemerintahan negara dengan kaum lain khususnya Cina sekiranya diberi mandat oleh rakyat, Nik Abdul Aziz berkata, Pas sentiasa bersikap terbuka dalam pemerintahannya terutama sepanjang 20 tahun mentadbir Kelantan.

“Berapa ramai rakyat Cina di Kelantan yang memeluk Islam, sila ke Kelantan dan tanyalah mereka,” katanya. -SH

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pemimpin UMNO hanya mempergunakan golongan agama untuk kepentingan mereka saja

Tanpa Nama berkata...

puak2 ustaz yang dok dalam umno memang bangang depa tak tau yang depa diperalatkan saja oleh umno.