18 Jul 2010

Penubuhan Friends Of Pakatan - Selangkah Lagi Ke Putrajaya

Friends Of Pakatan Petanda Rakyat Malaysia Mahu Kerajaan Pusat Baru

Sokongan memberangsang kepada penubuhan 'Friends of Pakatan' (FPR) di kotaraya London 4 Julai lalu membuktikan usaha melebarkan jaringan sokongan Pakatan Rakyat di terima baik rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Majlis pelancaran yang diadakan Conway Hall di Holborn 4 Julai lalu telah menarik minat lebih 200 rakyat Malaysia dan warga tempatan yang melahirkan impian untuk mewujudkan kerajaan Pakatan Rakyat yang adil, demokratik dan telus.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilyah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Pengerusi Protem FPR, Brian Morais dalam ucapan aluan beliau berkata pembentukan Pakatan Rakyat menandakan permulaan satu era baru di mana rakyat mengambil kembali kuasa daripada golongan ahli politik Umno-BN yang gagal berkhidmat untuk rakyat.

Sambil merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia kemungkinan menjadi muflis pada tahun 2019 akibat hutang negara yang kini mencecah 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Morais menyeru rakyat Malaysia agar kembali ke tanahair dan mengundi kerajaan baru yang bertanggungjawab sebelum terlambat.

"Antara agenda FPR ialah penubuhan tabung kempen pilihan raya Pakatan Rakyat, mengadakan penyelidikan mengenai perubahan dalam polisi bantuan, menggalakkan debat berkenaan penswastaan agensi kesihatan dan mewujudkan kaedah pengundian luar negara bagi rakyat Malaysia," tambah Morais lagi.

Penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin (RPK) menyindir dengan menyatakan Malaysia sebenarnya idea dan moral.

"Malaysia telah bertukar kepada sebuah masyarakat yang mementingkan kebendaan, menara tertinggi, jambatan terpanjang dan hutang terbesar!" kata beliau.

RPK juga mencabar Umno-BN menaikkan gaji anggota polis sabagai satu cara membanteras rasuah yang telah menjadi budaya kehidupan di Malaysia.

"Kerajaan Umno-BN telah cuba untuk mencetuskan kembali peristiwa hitam 13 Mei 1969 di Kampung Baru dengan menembak penyokong Hindraf yang berarak dalam keadaan aman dengan gas pemedih mata pada tahun 2007.

"Masyarakat Melayu yang sebaliknya telah memberikan perlindungan kepada peserta Hindraf yang cedera dan ini membuktikan rakyat Malaysia telah bersatu sebagai bangsa Malaysia yang sebenar dan menunjukkan politik berkaum 'aparthied' ini perlu dihentikan," tegas beliau lagi.

Dr Tan pula menyentuh mengenai kewajipan menghapuskan politik wang dan menjanjikan ketelusan di dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kualiti pendidikan juga perlu ditingkatkan dengan mengambil lebih tenaga pekerja yang berkelayakan, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu dibebaskan daripada belenggu politik Umno-BN," kata beliau.

Dalam ucapannya, Zaid berkata rakyat Malaysia perlu berkorban atas nama kebebasan jika mahu melepaskan diri dari belenggu rejim seperti kerajaan fasis Umno-BN yang kini berbuat sesuka hati tanpa menghiraukan kesannya kepada rakyat dan negara.

"Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan akan bersikap telus dan membuat perubahan kepada kerajaan, tetapi BN tak akan berbuat begitu kerana terdapat banyak isu yang mereka sembunyikan.

"Pilihan raya akan datang akan memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat kerana, suara hati rakyat bersama kita," kata Zaid.

Dr Hatta berkata, dalam perjalanan beliau London dan semasa transit selama lima jam di Dubai, beliau sempat bertemu dengan 20 warga Malaysia dan berpeluang berbincang kemungkinan menubuhkan cabang FPR di Ghana.

"Walaupun PAS san DAP mempunyai beberapa percanggahan pendapat dan ideologi, tetapi kami sanggup mengorbankan perkara kecil bagi kebajikan dan perjuangan rakyat yang pada pendapat kami bersama, lebih penting. Maka ini hanya pengorbanan kecil untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Nurul Izzah menyatakan beliau gembira melihat semangat rakyat Malaysia di luar negara menuntut perubahan kerajaan pada PRU akan datang.

"Walaupun saya pada mulanya tidak disokong untuk melawat London kerana khuatir hanya akan merugikan sumber, tetapi saya bertekad atas kepercayaan warga Malaysia, tak kira di Malaysia mahupun yang berada di negeri orang, berhak mengetahui apa yang berlaku di megara sendiri dan dengan ini mampu membuat keputusan yang bijak.

"Selepas mendengar komen hadirin, saya percaya usaha saya hari ini tidak sia-sia. Saya juga ingin memohon, jika boleh kembali ke Malaysia dan buang undi anda pada pilihan raya akan datang," jelas Nurul Izzah.

Majlis diakhiri dengan sesi soaljawab yang penuh semangat berhubung isu dan politik semasa tanahair. -SK

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

berjuanglah wahai para pemimpin PR demi negara bangsa dan agama,kami dibaah akan memberi sokongan yg tak berbelah bagi kepada anda semua.