5 Mei 2010

3 MP, ADUN Pakatan Dibebaskan Drp Tuduhan Serta Perhimpunan Haram

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk dua ahli parlimen dan seorang ADUN Pakatan Rakyat daripada tuduhan menyertai satu perhimpunan haram di Parlimen pada tahun 2007.

Mereka ialah ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali, 53; ahli parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, 54, dan ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, 63.

Tujuh lagi yang turut dilepas dan dibebaskan ialah ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, 40, dan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd, 49; Ang Hiok Gak, 53; Mohammad Sabri Sapiai, 44; Hashim Awang, 41; Azira Ariffin, 36, dan Mohd Badilah Muda, 35.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di jalan susur keluar bangunan Parlimen pukul 11 pagi 11 Disember, 2007.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama yang membawa hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anslem Charles Fernandis gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, Fathiyah berkata 13 saksi memberi keterangan bahawa ada orang awam berada di susur keluar tetapi tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang menunjukkan wujudnya satu perhimpunan. - Bernama -Gambar:BH

Tiada ulasan: