9 Mac 2010

Yayasan Reformis Bakal Ditubuhkan. Tahniah KEADILAN Daripada Seorang Pejuang Siber

Satu majlis dialog di antara aktivis reformis bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah diadakan baru-baru ini. Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ikon reformasi dan perjuangan rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perjumpaan yang berlangsung hampir empat jam di kediaman rasmi Menteri Besar itu dihadiri seramai 150 anggota. Semuanya menjurus kepada ‘bicara hati’ pejuang jalanan yang sekian lama memperjudikan nasib mereka menentang kezaliman rejim Umno-BN yang berterusan menzalimi Anwar bermula konspirasi pertama pada 1998 sehingga sejarah hitam itu kini berulang kembali.

Malah ada di kalangan mereka terpaksa melalui perjalanan hidup getir setelah diberhentikan kerja oleh majikan kerana menentang keadilan yang diperjuangkan aktivis ini.

Sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan di atas usaha dan perjuangan mereka selama ini, Kerajaan Selangor mengambil inisiatif membantu membela nasib kelompok ini.

Khalid dalam ucapannya berkata, adalah menjadi hasrat beliau untuk membantu golongan reformis. Namun beliau dapati sebelum ini kelompok reformis seperti bercakaran dan berpecah sesama sendiri.

Pada majlis itu juga, Khalid mengumumkan sebuah yayasan khas akan ditubuhkan bagi membantu aktivis menambahbaik serta memantapkan lagi pergerakan mereka selain membantu meringankan beban keluarga aktivis yang menghadapi krisis kewangan.

Bagi peringkat permulaan, dianggarkan suntikan dana bernilai RM100 ribu diperuntukkan untuk membantu reformis ini menjalani latihan dan kemahiran dalam bidang keusahawanan.

Tidak ketinggalan, untuk menyelaras dan memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan, kerajaan negeri juga berhasrat menyediakan kediaman khas untuk kegunaan sekretariat yang bakal dibentuk dalam tempoh terdekat ini.

Hasrat murni kerajaan Selangor ini disambut dengan baik namun waspada oleh reformis seperti Nasir Isa, 52.

"Kita tidak mahu terlalu mengharap. Ia belum dibentuk secara rasmi. Baru peringkat cadangan. Apapun usaha Tan Sri Khalid membantu kami golongan reformis amatlah dihargai. Setelah bermacam-macam detik sukar yang kami tempuhi sejak lebih 10 tahun lalu malah sehingga ke hari ini perjuangan kami tak pernah padam untuk menegakkan keadilan. Ini prinsip perjuangan kami.

"Apapun, sidang dialog yang diadakan seumpama ini amatlah dialu-alukan. Pelbagai masalah yang hadapi reformis seperti hilang sumber pencarian serta kematian isteri mahupun suami dapat dibangkitkan dalam sesi perbincangan. Kami mahu ada pemimpin yang bersikap terbuka untuk mendengar masalah kami dan mencari jalan penyelesaiannya.

Badaruddin Ismail, 64, beliau turut meletakkan harapan yayasan itu akan menjadi realiti.

"Bagaimanapun, kotmitmen yang dibuat MB mendapat pandangan positif di kalangan reformis. Saya juga berharap dengan penubuhan sekretariat rasmi ini dapat memperkukuhkan lagi perjuangan aktivis seperti kami," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor mengucapkan penghargaan kepada semua pejuang reformis yang kekal memberi sokongan padu kepadanya serta parti.

Katanya, beliau bersama Khalid akan membantu reformis serta menghidupkan semula sejarah pembentukan gerakan reformasi sebelum ini.

Ulasan GB

Pertama GB ucapkan tahniah kerana satu Yayasan Reformis bakal ditubuhkan. Yang kedua berterima kasih kepada kerajaan Selangor kerana menaja Yayasan tersebut.

GB tak dimaklumkan terlebih awal tentang adanya pertemuan para reformis bersama DSAI dan MB Selangor. Kalau tahu hendak juga bersama rakan-rakan. Almaklum - perjuangan alam siber sebermula dengan penangkapan DSAI dahulu begitu banyak meninggalkan kesan sejarah di dalam hidup GB.

Parti yang GB dokongi, PAS, tidak mengiktirafkan sumbangan para reformis. Mereka terlebih syok dengan pembahagian ghanimah sesama sendiri selepas menang pada PRU10 dahulu. Pejuang siber dilupakan terus. Mereka jadi YB-YB kerana hasil usaha mereka sendiri, dakwa mereka. GB perlu akur dan terima kenyataan itu. Kerana nanti ada yang menempelak mana keikhlasanmu di dalam perjuangan jika nak diungkit sumbanganmu di dalam perjuangan. Allah itu sifatNya tidak pernah lupa, tidak pernah lalai. Terhukumlah mereka yang melupakan reformis jalanan dan reformis siber seperti GB ini. Allah telah mewajibkan diriNya bersifat kasih sayang terutama kepada mereka yang telah menggerakkan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Masih ada yang mengharagai jasa para reformis, sekalipun bukan dari parti GB sendiri.

GB sekadar ingin tumpang senyum dan gembira dengan rakan-rakan di dalam KEADILAN. Lagipun baton GB di alam siber dahulu pernah diserahkan kepada seorang ahli KEADILAN yang kemudian berjaya menjadi seorang MP.

Baca kisah selanjutnya di Dari Mahazalim Ke Greenboc

6 ulasan:

john berkata...

salam...

memang tak boleh nafi..dan memang gb berhak menerima pengiktirafan jika gb adalah mahazalim. SERIUS!! di masa itu buka saje internet mahazalim lah webnya. kadang2 bangkit nostalgia ketika...anyway gb so far u still mantain as no.1..keep up the good work!..

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin2 PAS hanya membantu mereka yang mengampu dan mereka yang berada di sekeliling mereka sahaja.

Tanpa Nama berkata...

GB (mahazalim) wira pejuang siber. Sekalipun dilupakan, namun perjuangannya kini diikuti oleh puluhan malah ratusan blogger.

ALI MAIDIN berkata...

Kita alu-alukan derma semua pihak sebagai dana tambahan membela bekas reformis ni...Isthar no akaun Yayasan ini segera.

Tanpa Nama berkata...

Syabas... seeloknya diperbesarkan saiz yayasan tu.

Siswa berkata...

Tahniah!