9 Mac 2010

3 Beradik Rentung Dalam Kebakaran Di Bukit Mertajam

Tiga beradik rentung dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka dan empat rumah lain di Kampung Kecil, Jalan Betek di sini awal pagi Selasa.

Mayat kanak-kanak perempuan Ooi Koay Yin Ying, 12, serta adik perempuannya Ooi Koay Sew Nee, 11, dan adik lelakinya Ooi Koay Peng Teik, 9, ditemui berhampiran antara satu sama lain.

Kebakaran pada pukul 5.40 pagi itu berlaku ketika murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keow Kuang itu sedang tidur dalam bilik di tingkat atas rumah mereka.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Wan Azmi Ahmad berkata lima lagi adik beradik kanak-kanak malang itu serta ibu dan bapa mereka cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Bukit Mertajam.

"Kebakaran itu membabitkan lima rumah kampung yang terletak agak rapat," katanya.

Wan Azmi berkata 17 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Bandar Perda dan Balai Bomba Bukit Mertajam mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, kakak mangsa, Ooi Koay Ching Ching, 15, yang ditemui di Hospital Bukit Mertajam berkata ketika kejadian beliau tidur bersama ketiga-tiga adiknya yang meninggal dunia itu.

"Ketika itu api marak dah saya terpaksa menyelamatkan diri. Saya menjerit supaya adik-adik saya lari bersama saya tetapi mereka tidak mahu ikut kerana terlalu takut," katanya.

Beliau yang kelihatan masih terkejut dengan kejadian itu, berkata ketika itu kesemua anggota keluarganya sedang tidur di tingkat atas rumah berkenaan.-- BERNAMA



Tiada ulasan: