9 Mac 2010

Pesara Maut Selepas Kereta Dinaiki Langgar Lembu Yang Terpelanting

Seorang pesara maut selepas kereta yang dinaikinya melanggar seekor lembu yang terpelanting ke lorong kiri lebuh raya akibat dilanggar sebuah kereta lain di KM 445 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Ipoh di sini pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata pesara berusia 55 tahun yang duduk di sebelah pemandu itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 pagi apabila sebuah kereta jenis BMW yang berada di lorong kanan laluan yang sama melanggar seekor lembu yang berada di tengah lebuh raya, menyebabkan kereta itu terbabas dan terbalik di tengah lebuh raya.

"Lembu itu pula terpelanting ke lorong kiri menyebabkan kereta yang dinaiki pesara itu gagal mengelak lalu melanggar lembu tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda jenis Frontier yang dinaiki tiga lelaki yang melalui lorong kanan juga tidak dapat mengawal kenderaan lalu melanggar kereta BMW itu.

Abdul Rahim berkata pemandu BMW dan penumpang pacuan empat roda itu hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Mayat pesara itu sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, manakala rakannya yang cedera dihantar ke sebuah hospital swasta di ibu negara," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat PLUS Expressways Berhad Khalilah Mohd Talha ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sebelum ini sudah mengambil pelbagai langkah bagi mengelak kejadian haiwan ternakan memasuki kawasan lebuhraya, antaranya termasuk memasang pagar di lokasi-lokasi yang dikenal pasti berhampiran kawasan ternakan.

"Selain itu pemeriksaan pagar di sepanjang lebuh raya turut dilakukan secara berterusan oleh pasukan PLUSRonda dan PROPEL bagi memastikan tiada pagar-pagar yang dirosakkan," katanya.

Beliau berkata pihak PLUS juga akan mengadakan sesi dialog bersama penduduk kampung yang tinggal berdekatan dengan lebuhraya bagi mendidik serta mendapatkan kerjasama mereka agar tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran berhampiran kawasan lebuh raya serta tidak merosakkan pagar-pagar yang dipasang. -- BERNAMA



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO langgar hak asasi rakyat, macam rakyat adalah lembu

Idham berkata...

sebenarnya lembu tu yg salah, bukan UMNO!