25 Mac 2010

Tarik Diri Kes Altantuya: Kenyataan Zulkulim Dipersoal

Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin (gambar) berkata beliau akan berjumpa dan meminta maaf kepada individu tertentu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjadi mangsa fitnah melibatkannya.

“Saya dah jumpa, dah cerita dan minta maaf kepada orang tertentu yang kena fitnah disebabkan duti yang telah saya laksanakan. Alhamdulillah diterima baik.

“Ada juga akan datang yang saya akan jumpa beberapa orang tertentu yang kita telah aibkan atau fitnahkan yang saya terlibat...(Perdana Menteri) saya akan jumpalah, kalau dia nak jumpa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau sebelum itu membuat pendedahan mendakwa ditawarkan ganjaran besar untuk mengaitkan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu ketika membahas usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Zulkifli juga mendedahkan bahawa beliau telah mengaitkan anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan kes pembunuhan sekitar tahun 2004.

Katanya beliau bersedia untuk disoal siasat tetapi tidak akan membuat laporan polis mengenai perkara itu kerana ingin menyelesaikannya sendiri.

“Sebab bila kita buat laporan polis, nanti benda tu jadi ‘public’ dan ada orang yang akan aib... ada mangsa-mangsa ini tak mahu diaibkan. Jadi pendekatan Islam ialah jangan aibkan orang tapi selesaikan masalah itu,” katanya.

Ditanya mengenai jenis ganjaran besar yang ditawarkan kepadanya, Zulkifli berkata: “Tawaran boleh dalam pelbagai bentuk, tak semestinya duit...macam-macamlah.”

Beliau juga enggan mendedahkan pihak yang membuat tawaran berkenaan di luar dewan dan akan mendedahkannya jika diberi peluang pada masa depan.

“Kita ada etika, benda yang kita tak cakap dalam Parlimen, kita tak cakap di luar (Parlimen).

“Saya juga tak bercadang nak dedahkan macam Datuk Zahrain (Anggota Parlimen Bayan Baru), mungkin dia berasa dia perlu dedahkan, saya kira peringkat ini tak perlulah saya nak dedahkan,” katanya.

Minggu lepas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang menjadi wakil Bebas selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat pendedahan mendakwa Anwar berbohong kononnya Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera merestui rancangan 16 Sept 2008 untuk Anwar mengambil alih kuasa pemerintahan negara.

Mengenai perasaannya selepas membuat pendedahan tersebut, Zulkifli berkata: “Boleh tidur aman la, malahan saya rasa satu beban dah lepas, terutama yang pasal PM dan Nazri.” — Bernama


Kes Altantuya : Mengapa Peguam Azilah Hadri Tarik Diri ?

Suara Keadilan (Julai 2007)

Mungkin kita mendapat 'clue' setelah membaca salinan asal pengakuan Sirul Azhar sewaktu disoal-siasat oleh Polis dalam 'posting' sebelum ini. Tidak dinafikan seluruh rakyat Malaysia maupun antarabangsa menyakini kes pembunuhan Altantuya ini melibatkan TPM, Najib Razak dan Rosmah.

Walaupun penafian dibuat oleh mereka berdua, namun segala 'event' yang berlaku berhubung kes ini termasuk rekod kemasukan Altantuya ke Malaysia dipadam oleh pihak imigresen, perbicaraan yang dilihat mengikut 'skrip', pertukaran hakim dan pendakwaraya semasa 'prosiding' sedang berjalan dan pelbagai lagi situasi yang menampakkan penglibatan individu berprofil tinggi dalam negara.

Rakyat Malaysia tidak pernah lupa dengan peristiwa pemecatan DSAI dalam tahun 1998 dulu. Bagaimana dakwaan yang dibuat terhadapnya serta perjalanan perbicaraan yang jelas mengikut skrip dan barisan hakim yang rasuah telah menyebabkan sistem kehakiman dalam negara musnah sama-sekali. Negara mengamalkan 'Law Of The Jungle'.

Salah satu indikator yang menunjukkan wujudnya penglibatan individu atasan dalam kes Altantuya ini apabila peguam Cif Inspektor Azilah Hadri 'terpaksa' menarik diri dengan tiba-tiba. YB Zulkifli Nordin (salah seorang peguam Anwar) telah menarik diri sebagai peguambela Azilah atas sebab-sebab tertentu.

Berikut adalah wawancara Suara Keadilan (Julai 2007) dengan beliau berhubung penarikan diri tersebut ;

SK : Bagaimana saudara boleh terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya?

Ketika kes ini mula terdedah dan tertuduh pertama iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri sudah ditahan, sepupu beliau yang juga merupakan seorang pelajar yang sedang membuat chambering di sebuah firma guaman datang berjumpa dan meminta saya mengambil kes ini.

Selepas diperkenalkan, saya dan keluarga Azilah pergi ke penjara Sungai Buloh untuk bertemu dengan Azilah dan berbincang mengenai perlantikan saya sebagai peguam.

Sebaik sahaja bertemu, saya rasa pernah melihat dia tapi saya lupa di mana. Tapi setelah Azilah memberitahu bahawa beliau adalah pegawai pengiring Anwar ketika hari pembebasan Anwar baru saya ingat pernah melihat Azilah di mahkamah.

SK : Berdasarkan pemerhatian, bagaimana saudara melihat Azilah.

Semasa pertama kali bertemu di penjara, saya lihat karektor beliau sebagai seorang yang susah nak percaya kepada sesiapa.

Beliau kelihatan murung dan ketakutan.Jadi pertemuan dengan beliau harus dilakukan banyak kali untuk menyakinkan beliau bahawa saya benar2 seorang peguam.

Beliau merasakan bahawa beliau teraniaya dalam kes ini. Kes ini kes besar. Kes bunuh.

Bila seseorang yang dituduh membunuh dan merasakan dia sudah teraniaya, memang susah untuk individu tersebut percaya kepada orang lain kerana dalam fikiran mereka semua orang mahu menganiaya dirinya.

SK : Bagaimana saudara yakinkan Azilah bahawa saudara tiada niat menganiaya beliau?

Saya beritahu Azilah bahawa saya benar2 seorang peguam bukan wakil dari pihak lain yang terus menerus yang mahu menganiaya beliau. Saya beritahu dia saya Zulkifli Nordin, peguam yang turut terlibat semasa perbicaraan Anwar Ibrahim.

Pada awalnya Azilah cuma melantik saya sebagai peguam ketika sebutan pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Selepas itu barulah Azilah melantik saya sebagai peguam beliau untuk perbicaraan kes ini.

Selepas sebutan pertama itu, saya sering bertemu Azilah di penjara Sungai Buloh. Setiap minggu saya akan ke sana bertemu Azilah untuk berbincang dengan beliau dan untuk mengetahui perkara sebenar yang terjadi.

SK : Adakah Azilah menceritakan kepada saudara apa sebenarnya berlaku?

Ya. Segala2nya diceritakan. Biarpun pada awalnya beliau cuma menceritakan secara kasar dan banyak memberikan bukti secara bayangan sahaja tetapi selepas dua atau tiga pertemuan barulah dia menceritakan secara jelas apa yang berlaku.

Sebagai peguam saya perlu mendapatkan maklumat yang lengkap dari anak guam saya untuk memudahkan saya melakukan pembelaan terhadap beliau bila perbicaraan dimulakan. Terlalu banyak perkara yang beliau ceritakan kepada saya.

SK : Apa latar belakang Azilah?

Beliau menyertai UTK pada tahun 1997. Dalam UTK dipecahkan banyak unit. Antara unit2 itu adalah unit keselamatan kepada menteri dan Azilah dari unit keselamatan kepada Timbalan Perdana Menteri. Azilah bertugas sebagai OCBG (Officer in Charge Body Guard) kepada TPM. OCBG adalah ketua kepada unit ini. Sehari sebelum tarikh Altantuya dikatakan dibunuh iaitu pada 18 Okt 2006, Azilah mengiringi TPM di Kuala Lumpur.

SK : Bagaimana sikap keluarga Azilah?

Saya mendapat sokongan sepenuhnya dari keluarga Azilah. Mereka mahukan saya melakukan yang terbaik untuk beliau.

SK : Macam mana dengan orang ramai dan pihak2 lain?

Orang ramai juga memberikan sokongan kepada saya. Mereka sangsi terhadap kes ini. Dari awal lagi orang ramai sudah mengesyaki bahawa kes ini melibatkan pihak lain yang mempunyai kepentingan dalam politik. Jadi mereka mahukan saya membongkar kes ini agar orang yang bertanggungjawab menerima hukuman.

Ada anggota UTK turut memberikan sokongan kepada saya kerana Azilah dari UTK. Mereka tidak mahu nama baik mereka tercemar. Ada anggota UTK menawarkan saya pengawalan peribadi kerana mereka bimbang ada pihak yang akan mencederakan saya dan juga keluarga saya.

SK : Maksud saudara orang ramai dari awal mengesyaki ada pihak lain yang terlibat dalam kes ini?

Ya, kerana mereka tahu UTK hanya akan bertindak jika mendapat arahan. Azilah adalah anggota UTK, dia tidak akan mengeluarkan arahan kepada orang bawahannya jika beliau tidak menerima arahan dari pihak atasan.

Dan bagi orang ramai jika kes ini tidak melibatkan orang yang berkepentingan politik, UTK tidak akan digunakan. Penggunaan bom C4 juga tidak menimbulkan kesangsian pada orang ramai. Semua orang tahu bom C4 hanya digunakan oleh tentera dan bukan UTK. Hanya orang tertentu sahaja yang boleh meluluskan penggunaan bom ini.

SK : Selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan tarikh bicara pada 18 Jun, saudara telah menarik diri. Mengapa?

Saya memutuskan untuk menarik diri dari menjadi peguam kepada Azilah kerana saya tidak bersetuju dengan keputusan beliau mengubah strategi pembelaan di saat akhir dengan menggunakan kaedah pembelaan …….

Sepanjang mengambil kes ini, telah 12 kali saya mengadakan pertemuan dengan Azilah dan pada awalnya dengan seorang lagi tertuduh Sirul (Azhar Umar). Pada mulanya beliau bersetuju untuk menggunakan strategi pembelaan yang saya cadangkan.

Semuanya berjalan baik sehinggalah pada dua pertemuan akhir, saya terhidu sesuatu yang tidak kena. Dalam dua2 pertemuan tersebut, tiba2 Azilah memaklumkan bahawa beliau ingin menukar strategi pembelaan.

Saya mula mengesyaki ada pihak tertentu di belakang semua ini. Beliau memberitahu bahawa beliau kini mempunyai………Dan terperanjat kerana ini tidak dimaklumkan dalam pertemuan sebelum ini. Strategi ini akan merosakkan strategi awal yang telah dipersetujui bersama.

Ia juga akan memberi kelebihan dan perlindungan kepada pihak ketiga. Bagaimana pun sebagai peguam, saya akur dengan kehendak anak guam saya. Oleh itu saya membuat keputusan untuk menarik diri kerana ia bertentangan dengan prinsip dengan ‘gerak hati’ saya.

SK : Siapa pihak ketiga itu?

Itu tidak boleh saya bagitahu.

SK : Apakah insiden seperti pertukaran mahkamah, hakim dan peguam adalah sesuatu yang biasa terjadi?

Bila kita lihat pada kes Altantuya ini, banyak berlaku pertukaran seperti pertukaran mahkamah dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke Mahkamah Tinggi Shah Alam sedangkan pertuduhan dilakukan di Kuala Lumpur.

Insiden pertukaran hakim juga terjadi, dari hakim kanan (KN Segara) ditukar kepada seorang pesuruhjaya kehakiman atau pelatih hakim, Mohd Zaki Md Yassin. Kemudian berlaku juga pertukaran peguam Razak Baginda, daripada Muhammad Shafie kepada Wong Kian Kheong.

Sedangkan semua orang tahu kehebatan Muhammad Shafie berbanding Wong. Wong Kian Kheong merupakan peguam dari firma Tetuan Hishamuddin Hussein dan Hishamuddin merupakan sepupu kepada Najib Tun Razak.

Kali terakhir berlaku pertukaran hakim, mahkamah dan peguamialah dalam kes Anwar Ibrahim, lapan tahun lalu.

SK : Sebagai seorang peguam, apa pendapat saudara mengenai pertukaran pasukan pendakwa dalam kes ini?

Sejak kes pembunuhan Norita Samsudin, Peguam Negara telah menubuhkan satu unit khas yang baru dan dipanggil Unit Kes Terkelas.

Unit ini ditugaskan untuk menguruskan kes2 yang berprofil tinggi. Unit ini diketuai oleh seorang pendakwaraya yang paling kanan (Salehuddin Saidin) dan tumpuan diberikan kepada kes yang berprofil tinggi.

Kes Altantuya ini diuruskan oleh mereka kerana kes ini merupakan kes yang berprofil tinggi.

Bila berlaku pertukaran, kita mengagak pertukaran berlaku di antara pendakwa dari unit pendakwaan, tetapi apa yang berlaku ialah pertukaran dilakukan dengan mengambil pendakwa yang menguruskan bahagian awam (Tun Majid Tun Hamzah). Tidak pernah berlaku pertukaran pihak pendakwa semasa kes berjalan.

SK : Jika seseorang peguam mempunyai pertalian darah hakim, apa yang patut dilakukan?

Sama ada peguam itu akan tarik diri atau hakim tersebut yang akan tarik diri, jika tidak ini mengundang persepsi buruk masyarakat.

Dari segi etika, tidak wajar jika seorang hakim dan peguam yang mempunyai hubungan keluarga menguruskan kes yang sama dalam satu2 masa.

Sedangkan dalam kes Altantuya ini juga, Peguam Negara membuat keputusan menukar pasukan pendakwa Salehuddin Saidin dan Noorin Badaruddin kepada Tun Majid Tun Hamzah dan Manoj Kurup kerana Salehuddin dikatakan pernah dilihat bermain badminton bersama hakim perbicaraan, Mohd Zaki Md Yassin.

Itu cuma bermain badminton ditukar tetapi yang mempunyai hubungan persaudaraan tidak ditukar.

SK : Pendapat saudara mengapa perkara ini berlaku?

Di Malaysia, Peguam Negara terlalu berkuasa hingga melebihi kuasa hakim, dan Jabatan Peguam Negara pula diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sepatutnya kita mengambil contoh negara lain yang meletakkan Peguam Negara di bawah Parlimen.

Jadi kalau ada apa2 perkara yang meragukan seperti kes ini, pihak pembangkang boleh bertanya terus kepada Peguam Negara bukan bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang kadang kala tidak tahu prosedur undang2.


Ulasan GB

GB dedahkan kedua-dua versi pendedahan dari orang yang sama untuk penilaian tuan-tuan.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mana punya ulu , mai nak stabil keadaan pulak bagi pihak nu....

Jebon berkata...

Dah mula nampak kemunafikannya disebalik kopiah yang dipakainya. Tak perlu dilayan orang macam ni cuma kita perlu perhatikan saja apa lagi kebodohan yang akan ditunjukkan seterusnya.

Liza berkata...

katak dah mula panggil hujan almaklumlah cuaca panas sekarang nih... ONGGGG!ONGGG!ONGGG! katak cari publisiti sebab takut pR13 nanti tak dapat jadi calun UBN

Tanpa Nama berkata...

Pantun Berkorek.

Nak rahsia koreklah dari Azilah, korek korek korek

Rahsia bukan sebarangan punya rahsia, korek korek korek

Satu tak cukup Dua pun bolehlah, korek korek korek

Cukup rahsia jumpa tuan yang kena rahsia, korek lagi korek korek korek

Itulah watak manusia yang amat dicuriga selama ini. Patutlah tarik diri.....

Pepatah "kawan yang paling rapat adalah musuh yang paling bahaya"

Tanpa Nama berkata...

apabila seseorang tersebut merasa menyesal kerana menfitnah orang lain, akan timbul kesedaran bahawa beliau tidak mungkin akan bersubahat lagi dengan fitnah tersebut.

Zul meminta maaf secara terbuka, kerana inilah yang terbaik, apatah lagi, dengan keadaan anwar sekarang yang sudah menyimpang jauh dari tujuan asal.

kembara putih berkata...

Betul2 munafik Zulkifli ni. Kenyataan beliau rotate 180 darjah demi sesuap nasi.

Tanpa Nama berkata...

Perjalanan cerita yang amat pelik, Zul nordin ni boleh jadi macam macam seperti sesumpah. lagi satu dia hanya seorang peguam dan peguam setengah jalan pulak tu dan bukan perisik. macamana rakyat malaysia nak percaya cerita dia ni. kalau perisik dia akan kerja sampai satu misi dia siap dan berhadapan dengan situasi sebenar, peguam hanya dengar cakap2 dan dapatkan bukti dan buat strategi kalau boleh bohong, bohong la. jadi macamana orang nak percaya cakap nordin ni. orang tak sekolah boleh la percaya cakap nordin ni. cakap mesti ada bukti dan bukti itu pun belum tentu ia betul 100% kerana orang boleh tipu bukti. jadi aku rasa rakyat malaysia jangan jadi orang tak sekolah. Sesumpah ni boleh bertukar warna.