8 Mac 2010

“Kalau PPSMI tak mansuh, kita akan demo lagi” - A Samad Said

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menegaskan iltizamnya bahawa hal pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjelang 2012 itu hanya penangguhan dan bukan pemansuhan.

"Jadi, kalau tidak dimansuhkan juga, kita tak akan teragak-agak untuk melakukan demonstrasi sekali lagi," katanya sempena pelancaran buku esei Budayawan Bertindak untuk menyokong perjuangannya selama ini.

Bercakap di Muzium Shah Alam kelmarin, A Samad Said berkata, pihaknya merakamkan rasa terima kasih terhadap Pas dan Harakah yang banyak membantu dalam usaha menggerakkan seluruh masyarakat untuk berhimpun dalam kejadian setahun yang lalu.

"Tanpa Pas dan bantuan Harakah untuk menyebarkan maklumat berhubung PPSMI, nescaya perjuangan memansuhkan PPSMI tidak berlaku seperti yang kita lihat pada hari ini," tambah beliau lagi.

Pengarang novel Salina yang terkenal itu berkata, kehadiran beliau selama ini sebenarnya cuma mengisi kesusasteraan Melayu dan tidak lebih daripada itu.

"Saya bukan 'organization man', jadi mengapa seorang sasterawan negara yang tugas sebenarnya mengisi gerbang kesusasteraan, akhirnya telah turun ke jalan raya?" kata beliau membangkitkan soalan.

Ketika membangkitkan kenangan lalu, dalam peristiwa 7 Mac tahun lalu, beliau berkata, pihak polis pernah memujuk Hassan Ahmad bersurai, tapi hal itu ditangani rakannya itu dengan bijaksana sekali.

"Dalam keadaan polis meminta Hassan memujuk demonstran agar menyuraikan perhimpunan itu, beliau dengan warasnya telah memberitahu bahawa tugas pihak polis ialah untuk mengamankan perhimpunan itu.

"Tetapi, ada yang tersirat di situ yang tidak diluahkannya kepada pihak polis, iaitu tugas kamilah pada hari itu yang menggelorakan perhimpunan tersebut," kata beliau, lalu disambut ketawa hadirin.

Sementara itu, berucap dalam majlis yang sama, Pengerusi GMP, Datuk Hassan Ahmad dengan bergurau berkata, perhimpunan menyerahkan memorandum itu tidak sepatutnya diganggu oleh pihak polis.

"Mula-mula mereka beri permit perhimpunan, kemudian tarik balik, jadi kita tiada pilihan, apa yang kita nak beritahu kepada orang-ramai kalau mereka bertanya?

"Lagi pun, ini sebenarnya demonstrasi, atau perhimpunan demonstrasi, tetapi ia macam suatu perarakan saja, ia seolah-olah macam perarakan untuk menyambut Maulud Nabi, salahkah?" kata beliau, disambut ketawa orang-ramai.

Majlis itu diakhiri dengan penyampaian hadiah daripada Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad kepada keluarga demonstran; Ismadei Sahnam bersama isterinya, Nur Asyikin Ahmad Saibi, empat anak mereka; Nur Isma Dalilah, Mohd Isma Danish, Nur Isma Dania, dan Mohd Isma Danial.

Keluarga Ismadei Sahnam adalah antara keluarga yang mana setiap anggotanya telah turun semuanya untuk menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI tersebut. -erapakatan

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

teruskan perjuangan menentang ISA dan PPSMI, tumbangkan UMNO/BN