16 Mac 2010

GST: Keikhlasan Kerajaan Pungut Input Rakyat Dipersoal (updated)

Kerajaan Umno BN perlu membuktikan keikhlasan mereka dalam mendapatkan input rakyat berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau sendiri tertanya-tanya sama ada kerajaan benar-benar serius mahu mendapatkan maklum balas rakyat dengan melakukan pungutan suara atau kaedah lain.

“Pelbagai pendekatan harus digunakan untuk mendapatkan maklum balas, pandangan dan juga kritikan supaya ianya tidak membebankan kerajaan sendiri.

“Isu ini sudah menjadi isu terbuka dan akan di debat baik di dalam atau di luar Parlimen. Akhirnya rakyat yang akan membuat penilaian sejauh mana kerajaan ikhlas manu menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hasrat kerajaan tidak jadi membentangkan rang undang-undang perlaksanaan GST kononnya kerana mahu mendapatkan input dari rakyat.

“Tetapi saya tidak tahu apakah kaedah yang akan dilaksanakan..apakah akan dilakukan pungutan suara, penghantaran sms, apakah akan dilakukan borang soal selidik dalam mengenalpasti apakah kesan dari pelaksanaan atau apakah masyarakat benar-benar tidak mahu ia dilaksanakan pada hari ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Umno-BN dilihat bertindak gopoh dengan membentangkan bacaan kali pertama rang undang-undang ini tanpa mendapatkan memperoleh reaksi rakyat.

Ia bagaimanapun ditentang hebat pembangkang kerana perlaksanaannya dilihat hanya akan membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Sivamurugan berkata, sangsi sama ada pandangan masyarakat telah diambilkira sebelum bacaan pertama rang undang-undang ini dibuat dan beliau berpendapat, mereka yang merangka perlaksanaan ini tidak berkomunikasi dengan kumpulan sasar sepenuhnya.

“Dalam konteks ini apa yang boleh dipelajari dalam apa sekalipun pelaksanaan dasar atau usaha merangka agenda bagi kumpulan sasar iaitu masyarakat atau rakyat harus dirunding dan diminta pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat supaya dasar itu tidak menjadi satu dasar yang tidak mampu kita laksanakan dan akhirnya boleh memberikan kesan kepada mana-mana pihak terutama dalam pilihanraya ke-13,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu berwaspada dan mengambil iktibar gelombang tsunami politik pada Mac 2008 sekiranya mahu melaksanakan GST selepas pilihanraya ke-13 kerana rakyat kini semakin matang.

“Jika dilaksanakan selepas pilihanraya ke-13, sudah pasti masyarakat akan membuat penilaian yang sewajarnya. Yang harus diutamakan sama ada pilihanraya ataupun tidak, yang akan dinilai oleh masyarakat adalah apa yang berlaku diantara pilihanraya ke-12 dan 13. Bermakna kerajaan harus prihatin dan berhati-hati dalam apa juga yang mereka lakukan dan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru baik sebelum atau selepas pilihanraya,”katanya.

Tambahnya, Najib juga tidak memerlukan mandat baru dengan mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat jika mahu memulihkan defisit negara.

“Tetapi jika ada tanggungjawab di kalangan semua pihak termasuk masyarakat maka mandat baru tidak diperlukan, yang diperlukan sejauh mana kita mampu melihat apa saja dasar itu sebenarnya memberi kesan kepada rakyat. Pihak pembuat dasar juga harus pelajari bahawa sesuatu dasar itu harus mengambil kira kepentingan keseluruhan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.



Tiada ulasan: