16 Mac 2010

8 Senator Ikrar Sokong Anwar, Gobind Kembali Ke Dewan Rakyat

Lapan senator menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.

Senator Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan menegaskan perikatan parti pembangkang tetap utuh meskipun empat wakil rakyat mereka isytihar keluar parti.

"Kita melahirkan keyakinan kami kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengepalai Pakatan Rakyat sebagai Ketua Pembangkang," kata Senator Dr Syed Husin Ali kepada media, selepas Yang Di-Pertuan Agong merasmikan persidangan Parlimen hari ini.

"Kita adalah saksi bahawa Pakatan Rakyat semakin kuat sebagai satu gagasan. Di peringkat akar umbi, sokongan semakin membuak-buak. Kita bukan sahaja lebih bersatu, bahkan lebih ramai," tegas beliau.

Pendirian yang sama turut disuarakan Senator Mumtaz Mohd Nawi dari Kelantan dan Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim dari Pulau Pinang.

"Kita sentiasa bersama Anwar kerana pengalaman luasnya dalam kerajaan," tegas Mumtaz.

"DAP menyokong penuh kepimpinan Anwar. Sepertimana di Pulau Pinang, PR semakin kuat dan bersatu," tambah Tunku Abdul Aziz.

Deklarasi lapan senator ini menyusuli solidariti Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang.

Sementara itu, wakil rakyat bebas Zulkifli Noordin yang dipecat Parti Keadilan Rakyat minggu lalu atas masalah displin akan menyerang bekas ketuanya dalam sesi Parlimen akan datang.

Beliau akan membawa usul memecat Anwar selaku Ketua Pembangkang.

Dalam perkembangan yang sama, jagoan Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang digantung 12 bulan dari menghadiri persidangan sejak 12 Mac tahun lepas akan kembali beraksi di sesi Dewan Rakyat kali ini. -TVS



Tiada ulasan: