13 Feb 2010

Pemimpin PR Harus Tempuh Risiko Perjuangan

Seseorang pemimpin berjiwa rakyat harus menghargai sokongan rakyat dan sanggup menerima apa juga risiko termasuk dipenjara, difitnah dan tetap berprinsip apabila di tawar wang rasuah.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap pemimpin mesti mempunyai iltizam untuk membela hak rakyat dan menamatkan kezaliman.

Datuk Seri Anwar malam tadi berucap kepada kira-kira 2,000 orang di Batu Caves Selangor.

Meskipun menghadapi pelbagai kekangan polis, kehadiran begitu ramai orang untuk mendengar ucapan Anwar di sekitar kawasan mencerminkan sokongan kuat untuk beliau.

Anwar berkata beliau peka kepada suara rakyat yang mahukan pemimpin mereka berprinsip dan tidak menjual maruah diri setelah meraih kemenangan pada pilihanraya.

Rakyat mahukan pemimpin yang tidak goyah dalam menghadapi kritikan atau di sogok oleh musuh politik untuk lompat parti.

Wakil rakyat yang bertindak sebaliknya akan hilang maruah dan nilai diri untuk selama-lamanya.

“Ini yang dikatakan lazat dan nikmatnya perjuangan bersama rakyat. Orang itu sudah menang, kena ugut sedikit, dapat wang banyak, dia tinggal rakyat yang derita, korban. Manusia jenis apa ini? “ ucap Anwar.

Anwar berkata, beliau sendiri tabah menghadapi fitnah dan maki hamun pemimpin UMNO-Barisan Nasional.

Ini dilakukan dengan mereka cipta pertuduhan liwat, pecah amanah, selain di labelkan menjadi agen Yahudi.

Anwar berkata semangatnya untuk berjuang demi membela rakyat masih kuat membara walapun beliau keluar masuk mahkamah, selain menghabiskan enam tahun di penjara.

“Keluar masuk penjara, bukan sekali bukan dua, tiga kali,empat masuk lokap, empat lima kali. Kalau saya pilih setelah bebas 2004, bagitahu saya sokong UMNO, saya telah insaf, saya tidak mahu lagi pembangkang, hari ini bukan Datuk Seri Anwar, Tun Anwar Ibrahim. Naib pangkat dirai, rai oleh siapa? Dirai secara rasmi, saya tidak pilih itu” tambahnya lagi.

Yang dipilih adalah misi untuk mempertahankan hak rakyat daripada kezaliman dan menamatkan pemerintahan yang rakus dan zalim.

“Saya kata Wallahil’azim, demi Allah kalau saya ditakdirkan memimpin negera ini bersama dengan rakan-rakan saya, saya akan pastikan sedaya upaya saya islah mastat'tum, perubahan dengan sebaiknya, bela nasib rakyat, pertahankan hak mereka, hentikan kezaliman” kata Anwar.

Walaupun menghadapi perbicaraan terbaru atas tuduhan fitnah liwat, Anwar tetap meneruskan program politiknya selaku ketua pembangkang di Parlimen.

Ini untuk meniupkan kesedaran awam atas pentingnya rakyat menyelamatkan Malaysia daripada penyelewengan kuasa dan pemerintahan rasuah Umno-Barisan Nasional.


Tiada ulasan: