22 Feb 2010

Murugiah Gelar Kaum India Yang Tak Sokongnya Sebagai 'Kambing Hitam'?

Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India hari ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memohon Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dipecat berikutan kenyataannya yang menggelar kaum India yang tidak menyokong beliau sebagai 'kambing hitam'.

Kenyataan Murugiah yang disiarkan dalam akhbar Makkal Osai itu didakwa mengguris perasaan kaum India di negara ini dan menunjukkan beliau tidak mempunyai sensitiviti terhadap kaumnya sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Sivik Malaysia, B Subramaniam, yang mewakili lapan NGO berkenaan, berkata kenyataan Murugiah itu boleh membangkitkan kemarahan kaum India sekali gus menghakis kepercayaan terhadap dasar kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kata-kata Murugiah itu jelas membelakangkan aspirasi 1Malaysia.

"Justeru, kami berharap Perdana Menteri dapat mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan kebiadapan Timbalan Menteri ini yang kononnya mengaku diberikan tugas menjaga hal ehwal orang india tetapi sebaliknya tergamak menghina kaum bangsanya sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Paduka Ghazali Ibrahim, di sini.

Kira-kira 50 ahli lapan NGO berkenaan berkumpul di luar bangunan pejabat Perdana Menteri membantah kenyataan T Murugiah itu.

Jumaat lalu, akhbar Makkal Osai menyiarkan kenyataan Murugiah yang menggelar orang India yang tidak menyokongnya sebagai 'kambing hitam'.

Murugiah dan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas, terbabit dalam pertelingkahan merebut jawatan utama parti berkenaan sejak Mei tahun lalu dan Murugiah kemudian mengadakan EGM yang menyaksikan dia `dipilih' sebagai presiden tetapi Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan Kayveas adalah presiden sebenar.



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1 malaysia rakyat dikambing hitamkan

Tanpa Nama berkata...

perangai najib mencari kambing hitam untuk kepentingan diri sendiri

Tanpa Nama berkata...

Kambing hitam tulah yang disembelih oleh puak yang mengamalkan mazhab black metal kemudian darahnya digunakan untuk semah pentas.