19 Feb 2010

Malaysia Bakal Terpinggir Dan Dipulaukan - AMK

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa semua pihak, terutama Pemuda Umno, menghentikan demonstrasi bagi membantah sokongan masyarakat dunia supaya memastikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat keadilan.

“Sebaliknya mereka perlu memberikan tumpuan dan berusaha untuk memastikan negara mampu menjadi warga dunia yang bertanggungjawab dengan keadilan ditegakkan dan mahkamah tidak diperalatkan,” kata ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin (gambar).

Bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam ketika menghadiri perbicaraan tuduhan liwat terhadap Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau berkata, “Tindakan tidak ambil peduli terhadap tuntutan dan bantahan masyarakat dunia ini memberi impak yang akan menjejaskan kedudukan Malaysia di mata dunia.”

Shamsul menegaskan, “tuntutan agar negara-negara lain tidak ambil peduli dengan segala kezaliman yang berlaku di Malaysia akan mengasingkan Malaysia daripada komuniti demokratik dunia.

“Risikonya Malaysia mungkin terjerumus ke dalam kelompok negara-negara yang terpinggir dan dipulaukan,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan perjalanan ‘kangaroo court’ yang membicarakan kes Anwar ini secara tidak langsung menyebabkan kredibiliti sistem kehakiman negara terjejas dengan teruk.

Kesannya, syarikat-syarikat asing tidak yakin untuk melabur dan berurusan dengan Malaysia sekiranya tiada keyakinan mereka boleh mendapat perlindungan yang adil dari mahkamah-mahkamah.

Menurut beliau, perbicaraan terhadap Anwar dan skandal pelantikan hakim dalam kes V K Lingam menimbulkan kepercayaan bahawa mahkamah di Malaysia boleh dimanipulasi dan diperkudakan mengikut telunjuk pemerintah.

“Lihat sahaja keterangan tidak masuk akal yang dilemparkan serta usaha menghalang Anwar daripada mendapatkan bukti dan senarai saksi menyebabkan bukan sahaja rakyat malah dunia melihat perbicaraan tersebut sebagai sandiwara atau ’sham trial’.

“Maka masyarakat dunia yang berpegang kepada nilai keadilan akan terus mengecam kezaliman dan menuntut dihentikan,” jelas beliau.

Beliau berkata, “ini dapat dilihat apabila ulama terkenal, Dr Yusof Qaradawi mengkritik perbicaraan yang penuh dengan fitnah ini.

Ahli-ahli Parlimen Australia menuntut perbicaraan ini dihentikan.

Pengerusi Jawatankuasa Senat Amerika Syarikat, John Kerry menuntut Anwar diberi keadilan yang sewajarnya.”

Shamsul turut menyifatkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional cukup terdesak kerana terpaksa mengharapkan fitnah dan konspirasi untuk terus bergayut kepada kuasa di negara ini.



Tiada ulasan: