19 Feb 2010

Bekas Tim Menteri BN Yakin Dengan Perjuangan Pakatan Rakyat (updated)

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Kalakau Untol, hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan keanggotaannya dalam Barisan Nasional (BN).

Bercakap dalam sidang media di Tamparuli, beliau melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco).

Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.

Beliau mengumumkan keputusan untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihan raya umum ke-13.

Kalakau berkata, walaupun pemimpin Sabah dari dulu sehingga sekarang melakukan yang terbaik untuk mempertahan hak-hak negeri namun pucuk pimpinan dan sebilangan pemimpin persekutuan tidak serius atau komited dengan saranan dan tuntutan wakil rakyat Sabah mahupun kerajaan Sabah sendiri.

"Saya yakin dengan kesepakatan pimpinan Pakatan Rakyat dalam konvensyen pertama tahun lalu, mereka bersetuju menyemak semula kepentingan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam 20 Perkara untuk Sabah dan 18 Perkara untuk Sarawak.

"... seperti yang telah dipersetujui dalam rundingan pelbagai pihak semasa penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963.

"Perkara dan agenda ini hanya dapat direalisasikan dengan pembentukan sebuah kerajaan persekutuan yang baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan isu pendatang tanpa izin. Pperkara ini berlarutan sekian lama dan tidak akan dapat diatasi kerajaan BN.

"Pakatan Rakyat pada konvensyen itu bersetuju menyelesaikan masalah ini dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Jadi saya bertekad membantu Pakatan Rakyat memberi penjelasan ke seluruh negeri," katanya.

Menjawab satu soalan, Kalakau bagaimanapun, berkata beliau belum menyertai mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat.

Kalakau, yang juga merupakan presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda), juga pernah berkhidmat sebagai Senator sehingga tamat penggalnya pada Dis 2005. Bernama



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenapa Bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Kalakau Untol,mengumumkan keputusan untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat...?

Cerita macam ni tak best langsung..! Macam Tak ada parti lain ke nak joint.. parti katak ke, parti UG ke..?