14 Feb 2010

Bala Bimbang Diperangkap SPRM

Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam menolak cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekod keterangannya di kedutaan Malaysia di Singapura berhubung misteri pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, kerana bimbangkan keselamatannya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin berkata Bala mungkin dalam dilema untuk menerima cawangan itu kerana ia mungkin satu perangkap.

Peguam Bala, Americk Sidhu sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya memang tidak akan berkompromi dalam hal membabitkan keselamatan Bala.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan itu dilema Balasubramaniam. Saya cadangkan diskusi ataupun keterangan ini direkodkan di tempat yang neutral. Di tempat yang bebas. Di Asean Sekratariat di Jakarta sebagai contoh” kata Shamsul.

Ujar Shamsul, wujud perjanjian ekstradisi antara Singapura dan Malaysia yang membolehkan SPRM melakukan tindakan luar jangka termasuk menahan Bala.

Bala sebelum ini diberitahu, SPRM sedia merekodkan keterangan beliau di mana sahaja tapi kemudian menetapkan untuk berbuat demikian di kedutaan Malaysia di Singapura.

“Antara Singapura dan Malaysia ini ada perjanjian ekstradisi yang pada saya, itu yang merisaukan Bala dari segi keselamatan beliau. Dalam hal ini saya merasakan SPRM harus memahami perkara ini dan tidak cuba menangguk di air yang keruh” katanya lagi.

Bala berada di luar negara sejak setahun lalu selepas membuat akuan bersumpah mengenai kaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya pada 2006.

Akuan bersumpah itu bagaimanapun dinafikan Bala melalui akuan bersumpah kedua sehari kemudian, sebelum beliau menghilangkan diri.

Baru-baru ini, Bala muncul kembali dan menegaskan akuan bersumpah pertama sahih manakala akuan bersumpah kedua dibuat atas paksaan individu yang rapat dengan Najib dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

“Isu yang sebenarnya ialah sejauh mana SPRM itu dan kalau mereka bersedia dengan sesungguhnya, saya percaya tidak ada masalah untuk mencari tempat yang agak bebas bagi mereka merekodkan keterangan Balasubramaniam" tambah beliau lagi. -TVS



1 ulasan:

Jebon berkata...

Dia orng ingat rakyat malaysia sekarang masih bodoh macam tahun 70 - 80an dulu?