31 Jan 2010

Zahrain, Guan Eng seperti ‘pengantin baru’

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran berkata, perbezaan pendapat antara pemimpin dalam Pakatan Rakyat bukanlah satu perkara luar biasa sebaliknya satu proseskematangan politik.

“Kami di PR ini seperti ‘pengantin baru’ mesti ada sedikit masalah dalam rumah tangga, namun tidaklah sehingga mahu bercerai. Saya percaya ianya dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Krisis Pakatan Rakyat (PR) semakin serius apabila menyaksikan satu demi satu pemimpin gabungan parti itu mengkritik secara terbuka antara satu sama lain di mana menunjukkan antara mereka seperti tiada persefahaman.

Walaupun Lembaga Disiplin PKR masih belum memutuskan keputusan terhadap Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mengkritik hebat Ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad, kini sekali lagi PR berdepan den:gan satu lagi masalah iaitu antara Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim dan Menteri Besar Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Kelmarin, Guan Eng dikritik keras oleh Zahrain yang melabelkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai pemimpin diktator, chauvinis dan berpemikiran komunis.

Malah, Zahrain mendakwa, Guan Eng menjadi bebanan kepada PR Pulau Pinang jika dia terus memerintah dengan gaya diktatornya, malah menggesa PR berhenti bertolak ansur dengan beliau yang gagal melaksanakan janji yang ‘ditabur’ pada pilihan raya umum lalu.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali pula menganggap media sengaja mensensasikan isu tersebut kononnya menunjukkan PR adalah bermasalah antara parti gabungannya.

“Walaupun isu itu disensasikan oleh media tidak akan menjejaskan perpaduan dan persefahaman antara parti gabungan PR,” katanya.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, PKR Pulau Pinang untuk menyelesaikan perkara itu memandangkan ia membabitkan masalah di peringkat negeri. -SH


Zahrain, Dua lagi MP PKR Nafi sertai BN

Tiga orang daripada sekumpulan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Datuk Seri Zahrain Hashim, yang disebut-sebut akan meninggalkan parti itu untuk menyokong BN, menafikan khabar angin sedemikian.

Ketiga-tiga wakil berkenaan – masing-masing dari Bayan Baru, Pulau Pinang, Merbok, Kedah dan Indera Mahkota, Pahang menyangkal spekulasi mereka sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR.

Wakil rakyat Merbok dan Indera Mahkota juga mengesahkan akan menghadiri mesyuarat khas PKR di ibu negara pagi ini.

Zahrain tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR Selasa lalu dan hari keesokannya mengeluarkan kenyataan mengecam kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Beliau tidak dapat dihubungi sejak empat hari lalu.

Bagaimanapun dalam temu bual dengan Sinar Harian hari ini Zahrain berkata “belum terlintas” untuk keluar PKR.

“Walaupun saya kurang senang dengan perkembangan yang berlaku dalam PKR, saya belum terlintas untuk keluar parti kerana masih mahu menjayakan agenda perjuangan,” kata beliau.

“Saya akan bersama PKR walaupun banyak perkara yang saya tidak setuju.

“Saya harap akan berlaku perubahan dalam PKR seperti yang dijanjikan kepada rakyat,” kata Zahrain lagi.

Semalam Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Dr Mansor Othman mengesahkan beliau ada mendengar tiga hingga empat ahli Parlimen akan keluar PKR.

“Tidak betul, tidak betul,” kata Ahli Parlimen Merbok Datuk Rashid Din ketika dihubungi The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan mengenai desas-desus itu.

Semasa dihubungi malam tadi beliau dalam perjalanan ke ibu negara untuk menghadiri mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat PKR pagi ini.

Ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang tawaran daripada Umno dan BN, Rashid berkata, “tidak, tidak.”

Dengan ketawa besar beliau memberitahu; “Saya ada jawatan, saya ada keluarga, saya ada anak isteri, apa lagi saya mahu.”

Dalam pada itu Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail juga menolak tanggapan sedemikian.

“Ia mengarut, tak berasas (spekulasi) sama sekali, sampah,” kata beliau ketika dihubungi.

Beliau juga mengesahkan akan menghadiri mesyuarat khas pagi ini yang bermula pukul 10 pagi.

Ditanya apakah spekulasi itu dikaitkan dengan keputusannya melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Azan memberitahu, beliau telah menjelaskan bahawa ia tiada kaitan dengan kedudukannya di peringkat pusat.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini saya mahu memberi tumpuan di pusat, jadi tak timbul isu saya akan keluar parti,” kata beliau yang berulang kali mengatakan desas-desus itu “mengarut”.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof berkata beliau perlu meneliti laporan media sebelum ini membuat sebarang kenyataan.

“Saya baru balik dari luar negara (persidangan di Filipina) dan kurang sihat, saya akan membuat kenyataan kemudian,” kata beliau.

Tiga hari lalu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa beliau tiada hasrat untuk keluar PKR.

Beliau yakin dapat menerangkan kepada lembaga disiplin tentang keputusannya membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad.

Zulkifli akan disiasat oleh lembaga itu dalam tempoh sebulan.

Desas-desus beliau akan keluar PKR sudah kedengaran sejak akhir 2008.- Malaysian Insider


Tiada ulasan: