8 Jan 2010

Umat Islam berhati-hati terhadap tunjuk perasaan anjuran NGO

Beratus ribu umat Islam menunaikan solat Jumaat di Selangor dan Kuala Lumpur di bawah pengawasan polis yang di kerah untuk membanteras sebarang tunjuk perasaan berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh sebuah akhbar Krisitian.

Wartawan TVSelangor Salmiah Drahsin melaporkan bahawa keadaan tenang di Masjid Negara, Kuala Lumpur sungguhpun beberapa kain rentang dinaikan untuk menyatakan pendirian pihak berkenaan mengenai isu itu.

Antara lain kain rentang itu menyebut “Jangan Politikan Isu Kalimah Allah” – merujuk kepada tindakan beberapa pemimpin kerajaan menyokong tunjuk perasaan dikhuatiri boleh mencetuskan keadaan yang tidak diingini.

Dianggarkan satu ribu akan menyertai tunjuk perasaan di sini, menggabungkan pengikut beberapa badan bukan kerajaan seperti Teras, Perkasa, PPIM, Pewaris, Ikim.FM, Macma, PUM, JIM, Darusyifa, PJPIM, IRIMM, AMB dan Kimma.

Dalam pada itu, khutbah Jumaat di Masjid Negara dan masjid-masjid lain berpaksi kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar Krisitian The Herald menggunakan kalimah Allah.

Khutbah itu menzahirkan kebimbangan pihak tertentu menggunakan kalimah Allah untuk mengelirukan orang Islam dan menghina agama Islam.

Iman Masjid Negara meminta jemaah supaya menolak keputusan mahkamah itu yang sudah pun di tangguh perlaksanaannya buat sementara waktu.
Selesai solat jumaat itu, beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan memberi ucapan kira-kira 15 minit mengenai isu itu.

Hanya kira-kira 200 orang mendengar ucapan itu sebelum bersurai.

Sementara itu di Masjid Negeri Shah Alam, ribuan umat Islam turut mengerjakan solat Jumaat dalam keadaan aman dan tenang dengan di pantau oleh polis.

Selesai usai solat Jumaat, pasukan polis berkawal di disekitar pintu masuk masjid.

Wartawan kami, Yusmawati Yusof melaporkan perhimpunan membantah penggunaan nama Allah di adakan dalam dewan masjid.

Perhimpunan yang disertai 500 orang ini dianjurkan Angkatan Belia Islam Malaysia Selangor, Persatuan Ulama, dan Persatuan Imam dan Pegawai-Pegawai Masjid Selangor.

Sebuah kain rentang mengandungi tandatangan membantah penggunaan kalimah Allah direntang berhampiran pintu masuk.

Manakala di Masjid Jamek Kampung Baru, penunjuk perasaan berhimpun dalam perkarangan masjid.

Laungan takbir bergema seusai solat Jumaat, menarik kehadiran jemaah masjid ke perhimpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia ini.

Keadaan aman di Lembah Kelang semasa solat Jumaat itu menyusul tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyerang sekurang-kurangnya tiga gereja Kristian menggunakan bom petrol atau molotov cocktail.

Bagaimanapun tidak ada sesiapa yang cedera dalam serangan ke atas Gereja Metro Tabernacle A/G, di Jalan 4/4C Desa Melawati, Gereja Assumption, Petaling Jaya dan Live Chapel Church di Seksyen 17, Petaling Jaya,

Kejadian berlaku antara tengah malam semalam dan pukul sembilan pagi ini.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menegaskan serangan ke atas gereja itu bukan didalangi oleh ummah yang mengutamakan kesucian agama Islam.

“Islam melarang umatnya daripada merosakan tempat beribadat orang Islam dan bukan Islam. Saya yakin tindakan (serangan) ini adalah perbuatan politik oleh pihak tertentu untuk menangguk di air keruh,” kata Mahfuz. Berita -TVS Foto - BH

2 ulasan:

Jumayatara berkata...

PR perlu lebih berhati-hati...perancangan membakar gereja seperti dirancang dengan teliti...kemungkinan ada orang-orang PR yang sanggup mengaku membakar gereja tersebut....

siapa kita berkata...

Salam,

Allah mana yang AL RAHMAN, memberi rezeki walau kepada si kafir, Allah mana yang AL RAHIM yang mencukupkan rezeki orang mukmin. Bukankah semua nya Dia Belaka? Ada yang lain lagikah?

Kita memberi pendapat dari juzuk mana? sudut dan dimensi mana?

Perlu kita jelas supaya tak jadi campur aduk dan menyebabkan kita saling bertelagah dan akhirnya iblis dan nafsu ambil kesempatan.
www.nuruliman.com.my