5 Jan 2010

Kes MAZA Ajar Tanpa Tauliah Ditangguh 3 Mei

Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini menangguhkan perbicaraan kes bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah, kepada 3 Mei depan bagi menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad, menangguhkannya berikutan permohonan semakan semula oleh pendakwaan berhubung keputusan beliau yang menolak permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

"Selepas mendengar keterangan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mengenai isu pemindahan ke Mahkamah Tinggi yang kini sedang disemak, mahkamah membenarkan penangguhan ini.

"Penangguhan ini dibuat supaya dapat diselesaikan dengan segera dan baik demi kebaikan umat Islam secara keseluruhannya," katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Ketua Pendakwa, Syarie Abdul Shukor Abdul Hamid, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan semakan kehakiman pada 10 Disember lalu berhubung keputusan hakim Mahkamah Rendah Syariah itu.

"Pihak kami memohon kepada mahkamah supaya dapat menangguhkan perbicaraan ini sementara menunggu keputusan daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam, manakala esok notis bantahan awal yang dikemukakan oleh pembelaan juga akan didengar," kata Abdul Syukor.

Asri yang diwakili peguam bela, Kamar Aniah Kamaruszaman, tidak membantah perkara itu.

Pada 18 November lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin, menolak bantahan secara lisan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dengan berpendapat bahawa Mahkamah Rendah Syariah mempunyai kuasa yang diperuntukkan untuk memutuskan apa jua keputusan.

Asri, 38, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman beralamat No 2 Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang Daerah Gombak, antara 8.10 malam dan 9.45 malam, pada 1 November lalu.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau dibebaskan dengan bon jaminan RM3,000 dengan dua penjamin. - Bernama

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nabi Muhammad s.a.w juga tak dapat tauliah mengajar agama dari abu jahal.

Tanpa Nama berkata...

sewaktu asri jadi mufti, perlis pun mengajar agama perlu tauliah?

Tanpa Nama berkata...

mengajar agama dan jadi imam bertauliah adalah warisan kerja UMNO nak sekat pembangkang dengan memepergunakan majlis agama islam negeri-negeri