6 Jul 2009

MANEK URAI : PENAMAAN CALON - 10K PAS LWN 4K UMNO

Suasana di persekitaran pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N41 DUN Manek Urai didominasi oleh penyokong PAS apabila lebih 10,000 penyokong mereka berarak dan berkumpul di pusat penamaan calon berbanding hanya 4,000 penyokong Umno.

Namun begitu, proses penamaan calon pagi ini berjalan dengan aman dan lancar walaupun jalan menuju ke pusat penamaan calon dipenuhi ribuan penyokong kedua belah pihak.

PRK DUN Manek Urai akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan Umno.

Pusat penamaan calon diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra (SMK) 1, Kuala Krai.
Tuan Aziz Tuan Mat, yang mewakili calon Barisan Nasional (BN) merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan sejurus selepas pusat tersebut dibuka pada jam 9 pagi diikuti calon PAS selepas beberapa minit kemudian.

Tuan Aziz akan ditentang calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, pada PRK yang akan diadakan pada Julai 14 depan.

PRK DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakub, 22 Mei lepas kerana serangan sakit jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi menewaskan calon BN Mohamed Zulkifli Omar.

Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pengundi pos layak mengundi pada PRK tersebut.

Tuan Aziz merupakan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai adalah lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekas Pengurus Pemantauan Projek Kelantan Selatan (Kesedar).

Manakala Mohd Fauzi, Bendahari PAS Kawasan Kuala Krai, pula merupakan seorang pemborong ikan di pasar Kuala Krai.

Tuan Aziz diiringi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ke pusat penamaan calon dan Mohd Fauzi pula diiringi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, memberitahu sehingga berita ini ditulis tiada sebarang laporan buruk diterima.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya akan menempatkan seramai 3,000 anggota sepanjang tempoh PRK tersebut.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Adnan Hussin, mengumumkan calon bertanding pada jam 12 tengahari. - Mohd Zuharman

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dia pi sikit pun dia pakai sukhoi dan kapal selam, duit komisyen pun banyak, kena berwaspada..

Tanpa Nama berkata...

UMNO/BN bukanlah musuh kita. Musuh kita adalah penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa (abuse of power, nepotisme, favouritsme, pembohongan dan segala mak nenek lagi yang nampak
datang seiring dengan UMNO. Tetapi kalau Islampun dipinggirkan, diabiarkan terpinggir atau tidak diletakkan ketempat yang sepatutnya, saya rasa ini ibu kepada kesemua kepincangan tersebut. Itu satu bahana yang amat besar impaknya kepada orang Melayu, percayalah. Kita nampak sudah 50 tahun UMNO meletakkan kemewahan matabenda (materialisme) dalam "perjuangan" sekularisme dan nasionalisme mengatasi yang lain. Itu kesilapan UMNO yang paling besar dan tidak boleh dimaafkan. Itulah musuh semua rakyat Malaysia. Tidak salah kemewahan dunia dijadikan objektif, tetapi tetapi ia tidak sepatutnya dijadikan matlamat perjuangan nombor wahid - di atas segala yang lain ! Kalaulah itu yang UMNO bawakan untuk kita semua..musnahlah kita di depan Allah nanti! Kita tidak boleh berimamkan UMNO kerana ia tidak membawa kepada matlamat yang hakiki iaitu keredaan dan keampunan Allah.