23 Dis 2009

PAS Kelantan Kaji Semula Calon Luar

Pas Kelantan akan mengkaji sama ada akan terus menerima calon yang bukan anak negeri untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas dan Pesuruhjaya Pas Kelantan, berkata bahawa dalam Islam, tidak ada perbezaan antara orang dalam atau luar.

"Tetapi jika nampak orang luar tidak perlu lagi tolong Kelantan, kita boleh mencalonkan pemimpin anak negeri ini untuk bertanding dalam pilihan raya umum nanti," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau diminta mengulas saranan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud Iraqi, yang mahu anak Kelantan dicalonkan dalam pilihan raya umum akan datang.

Antara pemimpin luar yang kini menjadi Anggota Parlimen di Kelantan ialah Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa (Bachok), Naib Presiden Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Bendahari Dr Hatta Ramli (Kuala Krai).

Mengenai keputusan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, melepaskan jawatan, Nik Abdul Aziz berkata: "Ikut dialah, itu masalah peribadi."

Semalam, Rosli mengumumkan peletakan jawatan dalam parti kerana tidak mahu namanya dikaitkan dengan Pas ekoran masalah peribadi selepas beliau diperintah oleh Mahkamah Syariah di sini tinggal berasingan sementara dengan isteri keduanya setelah tersebar berita mengenai kesahihan pernikahan mereka.

Rosli adalah juga orang yang meminta menantu Nik Aziz, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman supaya segera meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata : "Berapa kali nak ulang benda tu. (Orang) nak kata apapun, katalah. Cukuplah, (kita) dah tutup fail. Mari datuk mana sekalipun, saya kena dengar keputusan daripada (Pas) pusat."

Ulasan GB

Kemungkinan TG Nik Aziz berasa sedih apabila ada calon luar yang diberikan tempat untuk bertanding di Kelantan kemudian bertindak tidak membantu malah mengusutkan iklim politik Kelantan.

3 ulasan:

sb dehlawi berkata...

SALAM PAKATAN RAKYAT

Jika direnungi, luahan TGNA itu, ketika akan menemui banyak kebenaran. Paling nampak ialah isu royalti minyak. Perjuangan Kelantan untuk mendapat royalti minyak hanya dipandang sepi oleh Datuk presiden dan Tim Presiden. Pada hal Kelantan negeri dibawah Pas, yang tertakluk di bawah arahan diperingkat Pas Pusat. Mengapa tiada komen dari pemimpin tertinggi Pas Pusat? Dalam hal ini, Anwar Ibrahim, Salahuddin Ayob, mahfuz Omar, khalid samad, hatta ramli saifuddin nasution lebih menonjol dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai satu jemaah dalam Pakatan Rakyat.

MANSOR JUNUS berkata...

sepertimana UMNO dalam era Pak Lah, begitulah PAS dalam Era kedua2 Presiden dan Timbalannya sekarang. Memang mereka tahu ramai yang kurang selesa dengan mereka. Tetapi siapakah yang sanggup tinggal kerusi empuk. kalau tiada TGNA dan DSAI PR akan hanyut.

Anak PR SXelangor berkata...

Kesangsian kita kepada dua insan ni memang berasas seolah olah mereka bukan Presiden dan Timbalan Presiden PAS.

Kenapa ye jadi begitu???

Sendiri kena faham..

Tapi dalam masa yang sama saya juga dalam dilema kerana saya sangat sayang kepada Tok Guru Tuan Presiden.

Aduhhh..