25 Dis 2009

PAC Perlu Siasat Segera Projek MECC!

Dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa kerajaan memperolehi nilai terbaik (value for money) bagi "pertukaran’ tanah seluas 62.5 ekar dengan bangunan Pusat Ekspo dan Konvensyen Matrade (MECC) bernilai RM628 juta, sukar dipercayai.

Dalam satu pembahasan di MITI baru-baru ini, menteri berkenaan, Datuk Mustapha Mohamed mendakwa kerajaan memperolehi nilai terbaik dengan pertukaran itu kerana nilai tanah dianggarkan RM197 juta atau RM3.15 juta se ekar.

Menurut Ahli Parlimen DAP – Petaling Jaya Utara, Tony Pua, adalah sesuatu yang melucukan apabila Mustapha memberitahu kerajaan mendapat bangunan MECC itu secara percuma. Katanya, "kerajaan membuat penilaian yang sangat rendah terhadap tanah tersebut iaitu RM3.15 juta sahaja se ekar, sedangkan penilaian dari pakar-pakar perunding hartanah menganggarkan tanah seluas 62.5 ekar itu bernilai di antara RM970 juta hingga RM1.5 bilion atau di antara RM15 juta hingga RM24 juta se ekar.

"Di mana "value for money" yang disebut-sebut oleh Mustapha itu," soal Tony, merujuk kepada projek MECC yang diserahkan pembinaannya kepada syarikat Naza TTDI Sdn Bhd di Jalan Duta, Kuala Lumpur itu.

Beliau kesal kerana Perdana Menteri Najib Abdul Razak berjanji mana-mana aset kerajaan akan melalui proses tender terbuka sedangkan Mustapha mengaku memberi tanah itu kepada Naza TTDI secara rundingan terus.

Naza TTDI dalam kenyataannya baru-baru ini mengumumkan akan membangunkan kawasan itu dengan hotel, pusat membeli-belah, bangunan pejabat pencakar langit, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM15 bilion dalam tempuh 10 tahun, di samping MECC.

Elvin Fernandez, dari syarikat penilai Khong & Jaafar, berkata nilai tanah di kawasan itu ialah sebanyak RM222 satu kaki persegi. Ada sumber mendakwa nilai tanah di kawasan itu ialah di antara RM350 hingga RM500 satu kaki persegi. Beberapa bidang tanah seluas

dua tiga ekar di Jalan Ipoh di jual pada harga lebih RM600 satu kaki persegi pada tahun ini.

"Jika keseluruhan projek di atas tanah seluas 62.5 ekar itu dimajukan dengan nilai GDV RM15 bilion, bermakna kawasan itu akan mengalami kepadatan yang amat tinggi," kata Fernandez.

Dalam satu kenyataannya, Tony berkata beliau akan terus mendesak supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat perkara-perkara berikut:

kajian kemungkinan yang dijalankan oleh MITI
*kajian pasaran perbandingan, berbanding prestasi pesaing-pesaing dalam dan luar negeri
*bagaimana kos pembinaan MECC mencapai RM628 juta
*bagaimana nilai RM197 juta ke atas tanah seluas 62.5 ekar dicapai
rasional kelulusan oleh Kementerian Kewangan melalui rundingan terus dan bukan tender terbuka
*cadangan proses penilaian audit oleh MITI dan Kementerian Kewangan
*keperluan kerajaan untuk menceburi bidang perniagaan pusat ekspo dan konvensyen

"Adalah penting PAC menyiasat perkara-perkara ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya projek mega seperti ini tidak terbengkalai dan tidak boleh diselamatkan lagi seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang dan landasan berkembar keretapi elektrik Ipoh-PadangBesar," tegas beliau. -FMT

Tiada ulasan: