16 Dis 2009

Konvensyen Blogger: Usah Nafikan Kebenaran Itu

Tulisan GB yang mempersoalkan apakah konvensyen blogger PAS hendak MemBTNkan Blogger menjadi perhatian dan menerima ulasan dari banyak pihak.

GB hairan pula masih ada rupa-rupanya tahap pemikiran ahli-ahli kita masih di takuk lama, dalam ertikata enggan untuk menerima kepelbagaian dan kerencaman pandangan dan persepsi dan terus-terusan melabel "orang yang tak sehaaluan pandangan" dengan pelbagai panggilan, gelaran malah cacian dan makian.

Berbalik kepada isu Seminar Blogger PAS, sungguhpun sebelum ini GB menyatakan tidak akan hadir namun tidak pernah pula menghalang kepada sesiapa yang ingin hadir.

Salah seorang penganjur seminar, Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat di dalam satu tulisannya pagi ini menyatakan:


Benarkah ini konvensyen MemBTNkan Blogger?

Kita tidak menghalang sesiapa pun berblog dan menulis apa sahaja mengikut gaya mereka. Tapi bila sampai satu tahap mereka membawa imej parti maka, tulisan mereka juga kenalah sesuai dengan imej parti PAS. Sama juga adabnya bila kita pi kerja kat pejabat ada adabnya dan imejnya. Kalau pi ziarah rumah kawan-kawan pun kita kena beradab. Kalau kita pi luar negara dan bawa imej Malaysia pun kenalah ikut adab orang Malaysia, bukannya berubah hingga hilang identiti.

Saya memahami bahawa tidak semua orang boleh ikut peraturan walaupun peraturan itu baik. Allah larang mencuri, tapi ramai juga mencuri atas nama kebebasan. Allah larang menipu dan memfitnah tapi buat juga sebab seronok dan atas nama kebebasan bersuara. Jadi terpulanglah. Mungkin mereka rasa lebih bijak dari Allah.

Nak kata ini program nak mem'BTN'kan blogger. Bagi saya, itu pandangan peribadi beberapa rakan blogger. Hanya kerana ingin mendidik blogger ahli PAS, mereka sudah samakan program ini seperti BTN...kelakarkan. Kenapa tak sebut Usrah PAS sebagai Program BTN, begitu juga dengan ceramah-ceramah politik PAS sebagai ceramah BTN sekaligus.

Pada saya, itu hanya pandangan orang-orang yang kecewa. Dan mungkin mereka tak pernah rasa atau memang gagal jadi mak bapak yang baik pada anak-anak. Seorang mak bapak yang baik, mereka akan didik anak mereka, bagi panduan, tunjuk apa yang baik apa yang buruk. Mak bapak yang baik juga sentiasa buka ruang bertemu dengan anak-anak dan bagi ruang anak-anak bersuara secara direct. Dan pendidikan sebegitu tidak boleh disamakan sebagai program BTN.

Malanglah mak bapak yang didik anak-anak mereka melalui blog. Nak ajar anak makan, kena suruh anak itu baca blog mak dia, nak ajar anak berjalan kena suruh anak itu tengok blog bapak dia. Ada masanya kita berjumpa, ada masanya kita tak jumpa secara terus kat alam siber sahaja. Saya cakap ini kepada ahli PAS sahaja.

Saya melihat Konvensyen ini sebagai tempat bertukar-tukar pandangan jadi kita boleh beri pandangan kalau tak puas hati atau rasa ada idea yang lebih baik. Yang penting datang. Kalau kita asyik bincang tentang cara bawa kereta yang betul, tapi tak masuk dalam kereta dan hidupkan enjin dan masukan gear kemudian tekan minyak, maka sampai bila-bila pun kita hanya bercakap sahaj tapi tak bergerak ke mana-mana


GB menyatakan sebelum ini kecurigaan mengenai seminar ini berpunca dari kenyataan Ketua lajnah Penerangan sendiri yang telah dikecam oleh para blogger lantaran tidak menghargai "pandangan orang luar" terhadap parti dan kepimpinan parti.

GB ingin bertanya di sini, peraturan apa yang dimaksudkan yang hendak dikenakan kepada blogger? Apakah peraturan supaya semua para blogger perlu menyokong tindakan pimpinan dan jangan mengkritik pimpinan sekalipun tindakan dan kenyataan pimpinan itu merugikan parti seperti kenyataan Ketua Penerangan PAS tempohari yang mengundang kebencian orang luar terhadap parti?

GB menyebutkan tiga orang dimana kenyataan-kenyataan mereka bias dan tidak menguntung parti. Mereka adalah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Idris Ahmad dan Ketua Pemuda PAS Pusat, ust Nasruddin Hassan Tantawi.

Ketiga-tiga pimpinan ini dilihat sebagai golongan yang telah mengecam kenyataan Prof Abdul Aziz Bari, cuma kenyataan Datuk Tuan Ibrahim dilakukan secara berlapik tetapi kesannya sama: "Naib Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tanggapan atau persepsi salah terhadap parti dan pimpinan mestilah dicegah supaya ianya tidak merebak menjadi besar dan merosakkan perjuangan parti itu sendiri."

Dan ketiga-tiga pimpinan ini terlibat secara terus di dalam Konvensyen Blogger yang bakal diadakan. Kebetulan?

Dan apabila GB menyatakan ia untuk memBTNkan blogger?, ia merupakan satu pertanyaan. Apakah hasrat ketiga-tiga pemimpin itu hendak menindoktroninasikan blogger dengan hanya menerima pandangan mereka untuk membebalkan sekalian blogger daripada berfikir secara kritikal dan kreatif?

Jika dikatakan "Konvensyen ini sebagai tempat bertukar-tukar pandangan jadi kita boleh beri pandangan kalau tak puas hati atau rasa ada idea yang lebih baik", maka tidak perlu masa dibuangkan dengan ucapan-ucapan atau pembentangan dari mana-mana tiga orang pimpinan yang telah menjadi sasaran kecaman blogger sebelum ini.

Apatah lagi ucapan aluan, ucapan perasmian tidak ada perbahasan! Dan apabila tiada perbahasan mengenainya, di mana ruang untuk bertukar-tukar pandangan? Semasa pembentangan Kertaskerja? Sedang ruang masa untuk membahas kertas-kerja itu sendiri terlalu terhad inikan pula untuk membahaskan ucapan perasmian dan aluan!

Justeru itu GB melihat ia tidak ubah dari sebuah program BTN yang kita sendiri telah tentang tetapi kita menggunakan taktik yang sama kepada ahli-ahli kita.

Nak menyatakan pandangan GB sebagai "pandangan orang-orang yang kecewa. Dan mungkin mereka tak pernah rasa atau memang gagal jadi mak bapak yang baik pada anak-anak", pandangan kamu kamu punya pasal. Kecewa tentang apa? Gagal terhadap anak GB yang mana?

Sungguh kesasar!

Perjalanan GB di alam siber sejak di era reformasi lagi, alhamdulillah tidak pernah putus asa sekalipun sekali-sekala mungkin ada terkilan dengan sikap parti dan pimpinan parti yang jarang mengambil berat kebajikan ahli parti. Mungkin ada ujian dari Allah s.w.t. di sepanjang perjuangan GB, namun GB tak sekali-kali mengkhianati parti dan jemaah. Tidak pernah menyertai kumpulan apa yang dahulu dinamakan UG yang telah menyebabkan perpecahan hebat di dalam parti. Malah GB penentang yang paling awal dan insyaAllah konsisten sampai kiamat menentangnya jika ia datang menjenguk lagi.

"Allahumma, arinal haqqa haqqaan, warzuqnuat-tiba'ah
wa arinal batila batilaan, warzuqnaj-tinaabah"


Ya Allah, perlihatkanku kebenaran itu kebenaran, dan bimbinglah aku untuk mengikutinya
dan perlihatkanku kebatilan itu kebatilan, dan bimbinglah aku untuk menjauhinya.

Justeru itu, usah dinafikan kebenaran itu tatkala Allah telah menunjukinya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alaaa GB, hal kecik jer tu.
lagipun konvensyen tu untuk blogger2 baru

GB pun faham ramai blogger2 baru menulis dengan penuh maki hamun dan sebagainya. Yang ini patut hadir. Sdgkan blogger yang ada syaksiah Islamiah yang telah menerima tarbiah rasanya dah tahu apa yg baik apa yg tidak baik di dalam penulisan.

Mungkin belum terlewat untuk ana ucapkan salam takziah GB kerana kematian bunda.

Akhukum fillah

- MJ

john berkata...

Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat di dalam satu tulisannya pagi ini menyatakan:
"Ada masanya kita berjumpa, ada masanya kita tak jumpa secara terus kat alam siber sahaja. Saya cakap ini kepada ahli PAS sahaja."
Ayat ini.... "Saya cakap ini kepada ahli PAS sahaja." menceritakan sikap dan pemikiran Pas yang masih ditakuk primitif dan tak sedar. Kalau nak hanya pikir tentang ahli saja seperti pandu kereta kurang minyak la. Alih-alih boleh pi takat depan rumah saja.Tak kemana walau dah tahu tekan minyak. Pas perlu pikir semua rakyat ahli atau bukan ahli.Janganlah menghadkan kepada ahli saja. Pas sampai bila nak pakai pakaian lapuk ni.Adakah 50 tahun lagi.. kita tunggu dan lihat saja.