14 Dis 2009

Konvensyen Blogger PAS Untuk Mem"BTN"kan Blogger?

Menjelang Konvensyen Blogger PAS yang akan diadakan pada 20 hb Disember ini bertempat di Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, ramai yang tertanya-tanya apa pendirian GB.

Konvensyen ini dianjurkan oleh Lajnah Penerangan PAS Pusat yang diketuai oleh Ustaz Idris Ahmad dan idea penganjuran konvensyen ini berlaku beberapa hari selepas para blogger telah tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat itu yang telah "menghentam" Prof Abd Aziz Bari. Malah Idris pernah menamakan dan menyerang para blogger sebagai penabur fitnah di dalam satu seminar di Gopeng.

Senarionya bermula apabila Prof Abd Aziz Bari melakukan kritikan terhadap pimpinan PAS Pusat, dan ianya disanggah hebat oleh Idris yang tidak berlapang dada untuk menerima kritikan. Diperburukkan lagi dengan tulisan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ust Nasruddin Hassan Tantawi yang melabelkan Abdul Aziz sebagai agen musuh.

Di dalam Seminar Memperkasakan Parti yang diadakan pada 7 Nov 2009 pula, keberadaan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut memberikan pandangan di dalam forum, disifatkan oleh Ust Zolkharnain Abidin adalah bias dengan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Tatatertib.

Ketiga-tiga pimpinan PAS tersebut - Idris, Nasruddin Hassan Tantawi, Tuan Ibrahim, telah dikrtik hebat oleh para blogger - termasuklah GB :)

Dan kini ketiga-tiga pimpinan PAS tersebut terlibat secara terus di dalam Konvensyen blogger yang hendak diadakan pada 20 Disember ini yang menurut kenyataan dikeluarkan:

PAS memandang positif kewujudan blog sebagai medium bagi menghadapi peperangan siber disamping menyebarkan dakwah. Namun kebanyakan blogger PAS yang ada, tumbuh meliar tanpa panduan dari peringkat kepimpinan PAS hingga menjadikan dunia blog sebagai medan yang mendatangkan kerugian kepada PAS.

Maka satu konvensyen Blog dicadang untuk diadakan bagi mengenal pasti blogger sebenar PAS dan memberikan perkongsian maklumat serta panduan berguna untuk mereka memberikan sumbangan yang lebih bermakna buat PAS.

Objektif

1. Menghimpunkan dan mewujudkan Kelab Blogger PAS yang aktif
2. Memberikan kefahaman tanggungjawab dan hala tuju Blogger PAS

Tentatif Program

8.00-Pendaftaran Perserta.
8.30-Ucapan Aluan Oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Idris Ahmad
8.45-Ucaptama Perasmian & Pelancaran Kelab Blogger PAS Oleh Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
"Harapan dan Cabaran Buat Blogger PAS"
9.30-Rehat
9.45-Pembentangan Kertas Kerja 1-Ust. Ghani Shamsuddin
"Memahami Potensi Blog dan Media Baru Dalam Gerakan Dakwah dan Politik PAS"
9.45-Pembentangan Kertas Kerja 2-Ust. Nasaruddin Hassan Tantawi
"Blog Sebagai Medan Dakwah Bukan Fitnah"
10.45-Sesi Diskusi kumpulan
11.45-Pembentang Cadangan /resolusi terhadap aktiviti Kelab Blogger PAS
12.45-Makan Tengahari
Bersurai


Jelas bukan? Ketiga-tiga pimpinan yang dihentam para blogger kini cuba untuk menindoktrinasikan pemikiran blogger melalui apa yang dipanggil Konvensyen Blogger yang tak ubah seperti langkah untuk "memBTNkan" mereka supaya patuh, akur dan jangan mengkritik pimpinan dengan alasan ia "merugikan PAS". Sedangkan kebanyakan blogger melihat pendirian dan kenyataan ketiga-tiga pimpinan yang telah dikeluarkan itulah yang telah banyak merugikan PAS.

Konvensyen dikatakan untuk "mengenal pasti blogger sebenar PAS" dan salah satu objektifnya "Memberikan kefahaman tanggungjawab dan hala tuju Blogger PAS".

Persoalan kini mengapa setelah kamu-kamu tidak berupaya menerima kritikan tiba-tiba cuba pula untuk "mengenal-pasti blogger sebenar PAS" dan dengan beralasan untuk "Memberikan kefahaman tanggungjawab dan hala tuju Blogger PAS" supaya ianya seiring hanya dengan pandangan dan pendirian ketiga-tiga pimpinan tersebut yang gagal menghargai kritikan orang lain. Apakah itu yang hendak ditanamkan ke minda para blogger?

Rumusan: GB adalah ahli PAS yang berdaftar, bernombor 2579xx, (telah mengikuti program PAS sejak dibangku sekolah sekitar 60an dan 70an mengikuti ayahanda yang merupakan pengasas dan Ketua Pas Cawangan di tempat GB, tetapi hanya disahkan menjadi ahli berdaftar PAS pada 80an) bererti layak sangat menghadiri konvensyen berkenaan, tetapi GB mengambil keputusan untuk tidak menghadirinya setelah GB gagal untuk melihat adanya kejujuran dan ketulusan di dalam penganjuran konvensyen berkenaan.

Kalau tak terima GB sebagai blogger PAS pun nanti, GB tak berkecil hati. Muga ada yang masih mahu membaca tulisan-tulisan GB.


Ia Tidak Menjamah Sebiji Jua Pun

Tidak lama si pengembara mengambil masa untuk membuat keputusan. Dari raut wajah si penjual ternyata barangan niaganya bukan alat propaganda atau alat untuk menunjuk petah berbicara. Lagipun si penjual, ketika bercerita tentang barangan jualannya, matanya juga turut bercerita, turut sama berbicara. Mata si pengembara ditatap bersahaja, dijalur pandangannya dikirim keikhlasan hatinya, keikhlasan tentang keistimewaan barangan jualannya. Di sinilah hati si pengembara menyerah menyeberangi kepada yang bernama persetujuan. Persetujuan untuk membeli.

Sebagai pengembara, hatinya sangat mengerti bahawa sepohon benih rambutan yang dibeli boleh menambat dirinya dari terus menjadi pengembara. Akan sunyilah lembah dihujung dataran, anak sungainya terus berirama sama, merbuk dan merbah tika menyanyi tidak lagi dari sanubari lagi, kerana akan tiada lagi yang mahu mencecah kaki dan mandi manda di anak sungainya dan lembah di hujung dataran akan suram, sunyi dan sepi. Semuanya kerana pengembara tak akan kembara lagi.

Boleh jadi si helang jantan yang sering mematainya ke mana saja dia mengembara akan terfikir telah tiba masa untuk dirinya mencari helang betina sebagai pasangan dan kemudian beranak pinak di pohon meranti yang tinggi. Tentu sekali Si pengembara membelek-belek benih rambutan yang diberli lalu hatinya tersenyum.

Dia terus mengembara. Tiba di sebuah kampung terpencil, dia membuat keputusan untuk tinggal di situ. Si helang jantan turut berhenti lalu merencanakan hidupnya dan yang seronok hatinya terdapat pula sepohon meranti yang tinggi di kampung permai itu.

Benih rambutan ditanam. Dibajai dan dijaga. Hatinya puas melihat rambutan yang ditanam kian membesar dengan suburnya.

Satu ketika, hujan lebat sekali, angin bertukar menjadi ribut lalu melanda patah beberapa pokok di kampung itu. Satu dari dahan pokok tertimpa rambutan pengembara. Si pengembara melihat kejadian ini dari pondoknya dan dalam suasana hujan ribut itu dia keluar lalu merawat cabang utama rambutannya yang telah terkulai, bersamanya di bawa tali dan pisau lalu dahan utama rambutannya yang telah terkulai itu diikat kembali kepada induknya.

Melakukan rawatan di dalam hujan ribut bukan perkara mudah, seluruh tubuh pengembara kuyup malah matanya juga turut bergenang dek air hujan dan penglihatannya kekadang menjadi pudar. Ketika dia mahu memotong tali sebagai penyudah kerja, dia terpotong jarinya lalu darah membuak-buak keluar. Giginya berketip menahan kesakitan, tapi kerja akhir disudahkan juga tanpa apa-apa reaksi dari hatinya.

Empat hari pengembara terlantar demam. Demam kerana berhujan merawat rambutannya. Ramai jirannya yang datang melawat. Semasa bercerita asal usul demam dan luka di jarinya, si pengembara tidak pernah bersungut menyesali diri dan tiada tanda-tanda sesal langsung terhadap rambutannya yang manja atau cuaca yang gila pada waktu itu.

Rambutan terus membesar. Suatu petang sang kambing bersama pasangannya yang hampir di pondok pengembara lalu terlihat anak rambutan yang subur. Apa lagi dedaun rambutan menjadi pembelai kasih antara keduanya. Kerana terlalu enak, daun-daun rambutan itu habis dimakan oleh kedua pasangan kambing itu. Memang rambutan pengembara daunnya sangat enak, tidak pernah pasangan itu menjumpai daun rambutan yang seenak itu!

Terkejut juga si pengembara melihat, lalu dihalaunya kambing tersebut dari pokoknya. Kambing tidak mahu pergi kerana masih ada sisa-sisa daun untuk dimakan. Si pengembara menolak kambing itu pergi. Akhirnya setelah sedemikian payah menolak, kambing-kambing pun meninggalkan pengembara dengan pokok rambutannya yang telah parah.

Si helang jantan hitam memerhati dari meranti yang tinggi. Hatinya terbakar kerana pengembara tidak memarahi kambing yang memakan anak rambutanny, apa lagi memukul, walau di sekitar si pengembara terdapat berpuluh-puluh kayu yang boleh jadi pemukul.

Lebih dari itu pengembara hanya menolak dengan menggunakan tangannya akan kambing-kambing yang tak punya hati perut itu. Malam itu helang tak dapat tidur. Dia marah kepada si pengembara walaupun bininya mendodoikan pantun seloka yang baik-baik untuknya tapi matanya masih tetap terbuka.

Belajar dari sebuah kejadian, pengembara mencari buluh untuk dijadikan pagar buat memagar anak rambutannya. Dia memotong, membelah dan mengerat buluh dan ketika itu dia teringat akan pesan datuknya bahawa sembilu buluh terlalu berbisa. Jangan lama bermain dengan buluh! Pesan datuknya.

Kata-kata orang tua bukan sekadar pengisi masa! Telapak tangan pengembara diraut oleh buluh. Aduh ! Bisanya! Selumbar buluh menghiris daging telapak tangannya dan kemudian meninggalkan beberapa kerat selumbar di dalam isi daging itu. Sakit sungguh terasa oleh pengembara.

Semasa dia menarik keluar selumbar dari dalam daging telapak tangannya, waktu itulah dunia menjadi kelam, mentari seperti padam. Demikian penangan sembilu buluh.

Meskipun demikian pengembara meneruskan kerja-kerja memagau tanpa menyesali diri, tanpa bersungut-sungut dan tanpa menyumpah-nyumpah akan pasangan kambing yang telah memakan anak pokok rambutannya, atau menyumpah buluh yang buta tak bermata. Dengan telapak tangan yang berbalut, kerja-kerja memagar disudahkan.

Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun meskipun beberapa kali pagar-pagarnya patah dirempuh kambing, meskipun tangannya berkali-kali diraut buluh namun pokok rambutan telah membesar dan sampai masanya untuk berbuah. Dan berbuahlah rambutan itu akhirnya. Buah yang pertama, yang sulung. Terjawablah asasi kelahirannya sebagai rambutan.

Di satu pagi yang cantik, ketika sang helang belum bangun dari tidur, si pengembara mengemaskan barang-barangnya yang tak seberapa, setelah siap dia mengatur langkah meninggalkan pondoknya untuk selama-lamanya kerana dia adalah pengembara.

Ketika langkahnya hampir dengan rambutan kesayangannya dia memerhati puas akan buah-buah rambutan yang sedang masak ranum, matanya silih berganti melihat antara rambutan-rambutan yang masak ranum dengan parut-parut luka di jari dan di telapak tangannya. Berkali-kali dia melakukan sebegitu. Ia tersenyum… lalu melangkah pergi.

Ketika buah masak ranum, ia tak menjamah sebiji pun!


12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya akan pergi sebab nak dengar sendiri dan fikirkan bila balik nanti.Keputusan atas diri sendiri.Apa yang kita tulis pun adalah bertujuan baik dan untuk kepentingan keadilan dan kesejahteraan yang Islam bawa.Dengar tak salah kan? kan?Lagi pun dapat kita lebih mengenali bloggers yg lain.Kalau boleh aku nak kenal juga dgn GB ini...kau dtglah jengok-jengok!

Tanpa Nama berkata...

saya respek akhi GB punya hujjah.
tak terfikir pun sebelum ni.

yang ketara konvensyen ini sebagai langkah untuk "memutihkan" maruah pimpinan yn telah tercemar ekoran perbuatan mereka sendiri.

Ia tidak akan berjaya. masih ada di dalam jemaah golongan yang ikhlas dan yang terang hatinya yang dpt membaca muslihat mereka itu.

C++ berkata...

Bhai..

Walaupun gua ahli PAS (no keahlian 3082**) tapi gua pun sama macam GB.. tak berminat nak pi .. sebab konvensyen nie macam nak menjustifikan sajer..

john berkata...

GB jangan pergi buat sakit hati saja. Tujuan depa dah di ketahui. Tak pergi pun GB akan tahu juga isinya. Yang penting GB teguh dengan pendirian. Jangan jadi seperti orang yang mudah dibeli..rosak.Tak dak harga walau satu sen pun.

Dont be a loser la GB! berkata...

Ek eleh, pengecut ke GB?

Kenapa? Iman kau tak kuat ke? istiqamah kau tak kuat ke sampai boleh berubah bila didoktrin (konon2) oleh mereka2 itu?

Kan ada masa membentang, masa bersoal jawab. Pakai la masa tu untuk membalas hujah. Apa masalahnya?

Ke pengecut sebenarnya? Ke takut berdepan sebenarnya?

Unknown berkata...

:) GB tak ler wat keputusan sembarangan.

Dah istikharah berkali-kali dan GB yakin jawapan yang diberikan olehNya.

Unknown berkata...

GB mahu tanya apa jadi dengan persoalan yang GB kemukakan dulu?

Lembaga Disiplin Ikut Arahan Siapa?

Tanpa Nama berkata...

PAS mengambil tindakan bebal dgn penganjuran seminar blogger ini.

Ia mendedahkan blogger-blogger PAS dikenali oleh golongan yg anti-PAS terutama dari golongan Bukit Aman.

Difahami, ramai SB-SB akan menyamar sebagai blogger yang kononnya simpati kpd PAS akan menyertai seminar ini.

Tujuan mereka untuk mengenalpasti blogger-blogger PAS dan mudah bagi SB-SB ini nanti hendak melakukan kerja-kerja jahat mereka seperti mencekup, menggelidah dan sebagainya bila tiba waktunya.

Berhati-hati.

Tanpa Nama berkata...

Terasa gatai pulak nak beri komen. Jika melihat dari aturcara dan pembentangnya pun para blogger dah tahu apa keputusan dan halatuju akhir konvensyen ini. Kalau dulu hentam blogger pastu jemput blogger pulak. Kemuadian tak tak kasi siar pandangan dalam blog seperti sindiran sesetengah pimpinan kepada blog TGNA. Apa sebenarnya yang koorang mahu nie? Tak cukup dengan blogger PAS, dijemput juga blogger penyokong PAS. Tak jemput sama ke blogger2 UMNO sepertimana jemputan yang pernah dibuat oleh Hasan Ali dan Nasa? Seperti yang sedia maklum kebanyakan blogger tidak diketahui identiti mereka atas sebab-sebab dan maslahah tertentu. Saya tak pasti adakah golongan yang bergiat di belakang tabir ini akan muncul dalam konvensyen seperti ini. Peranan mereka sangat besar dalam menjatuhkan UMNO/BN tetapi tahap kewaspadaan mereka juga perlu diambil kira dalam menjalankan sesuatu program. Bagi saya adalah lebih baik PAS mengadakan kursus-kursus bagaimana untuk menghasilkan blog kepada ramai pimpinan dan AJK PAS disemua peringkat yang kebanyakannya masih buta tentang internet dan dunia maya ini. jadikan medan maya ini sebagai senjata yang ampuh untuk menghancurkan UMNO/BN dan golongan2 yg ingin "berselimut" dengan UMNO/BN. Pada hemat saya yang kurang arif, mengajipun tak seberapa... sepatutnya medan maya ini digunakan untuk menipu UMNO/BN dan sekutu-sekutunya. Bukankah ada hadis mengatakan peperangan itu satu tipudaya? Kalau lurus bendul macam sesetengah blogger, macam mana nak tipu puak-puak UMNO ini? Hehehe... Yang lebih haru apabila ada blogger2 PAS yang menceduk bulat-bulat maklumat dari blog2 musuh (musuh dalam selimut) seperti agendadaily, MSO dll. Tak tahu nak beza mana intan mana kaca! Lepas tu ambil kenyataan2 dari suratkhabar Utusan Meloya dan Berita Hairan seperti kes Nasa komen Nga pasa isu peruntukan masjid. Pemimpin pun boleh kena tipu.... Alahai... berapa kali mau kena tipu ni? Kalau lebih dari 2 kali namanya BODOH. (Org mukmin tak boleh masuk lubang yang sama 2 x - semua org tau hadis ni.) Untuk pengetahuan Ketua Pemuda PAS AlTantawi, sebenarnya kes pimpinan PAS nak tubuh Kerajaan Perpaduan ni bukannya fitnah, tetapi kenyataan!!! Masih tak percaya lagi ke? Pi tanya Ustaz Ahmad Awang (mantan PJ Perak) dan pi jenguk blog tokguru nik aziz dan blog ustaz Ahmad Awang. (Takkan mereka bohong kot?) Aku percaya depa 100%. Hampa semua aku tak tau lah....

Tanpa Nama berkata...

"Kan ada masa membentang, masa bersoal jawab. Pakai la masa tu untuk membalas hujah. Apa masalahnya?"

Masa membentang? Bila masa Tn Ibrahim dan Idris Ahmad ada membentang?

Kedua-dua tu amik peluang nanti masa berucap merasmikan konvensyen dan tidak ada lansung diberi ruang untuk menyoal-balas.

Kami berdiri teguh bersama GB.

MALAYSIABARU berkata...

Malaysiabaru.com said,

Salam semua blogeers yg di rahmati allah sekelian,

Tahniah kpd GB, TB, TP dan semua bloggers yg telah selama ini bersusah payah memberi rakyat malaysia satu platform untuk meluahkan perasaan dan informasi yg kita tak pernah terfikir..

Prinsip GB harus di hormati. Demi menjamin pemikiran kita tidak di brainwash oleh pemimpin politik tertentu danmungkin sogokan di belakang tabir oleh merea ni. MAka harus kita jgn hadir di konvensyen tersebut.

Para pemimpin lupa jasa para bloggers dan jasa pengkritik undang-undang aziz bari dalam menaikan imej mereka sehingga di tuduh musuh apabila kita menegur pemimpin. Prangai pemimpin PAS ni dah macam org UMNO. elok benarlah kalau Kerajaan PErpaduang menjadi kenyataan.

Akhir kata, demi menegakan prinsip kita, eloklah jgn hadir konvensyen tersebut walaupun sekadar nak dengar. Telinga dah buka, hati dah terbuka , last last, poket danbeg terbuka untuk di hulur segala suapan kpd semua bloger. DAna suapan sudah munkin di tubuhkan untuk di beri kpd bloger2 pas.

hati-hati

alauwalam.

Tanpa Nama berkata...

saya ingin mengajak sdr merenung kembali isu penajaan Muktamar PAS oleh syarikat kepunyaan UMNO. Siapakah yang membawa mereka kalau bukan geng perpaduang yg direstui oleh presideng dan timbalan presideng?

kini konvensyen blogger. geng perpaduang masih berjalang.