2 Dis 2009

Isu BTN : Nazri Bidas Ahmad Maslan

Isu kursus BTN terus menimbulkan kecelaruan di kalangan anggota kabinet dari Umno apabila berlaku percanggahan pendapat mengenai kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Nazri Aziz.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan mendakwa kurikulum BTN tidak dirombak, sebaliknya dibaikpulih sedikit.

“Ia cuma akan melalui proses “penambahbaikan’ minimum. Kita tambah baiklah…dalam ceramah kita tambah sebut 1Malaysia, lagu kita tambah,” kata timbalan menteri yang bertanggungjawab atas BTN.

Ahmad Maslan bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sekadar berkata beliau yakin Nazri tidak menyampaikan mesej tepat mengenai kursus BTN.

“Saya tidak yakin dia kata begitu, saya rasa dia maksudkan, (kursus BTN) harus diperbaiki,” tambah beliau.

Kenyataan Ahmad Maslan itu disanggah oleh Nazri di lobi parlimen petang semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata hakikat ialah kursus BTN selama ini disalah guna untuk mempromosi pemimpin kerajaan tertentu.

Justeru, tegas beliau, kurikulum BTN harus dirombak, dan bukan sekadar di tambah baik.


Nazri berkata Maslan bertindak salah dalam cuba menafikan sebuah keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri.

Nazri berkata semua pihak harus akur bahawa barisan pemimpin pembangkang yang dahulunya dalam kerajaan, arif tentang isi kandungan dan matlamat kursus-kursus BTN.

Justeru, kata beliau tidak ada guna untuk menafikan kurikulum BTN harus dirombak dan disesuaikan dengan keadaan semasa.

Ulasan GB

Isu kontroversi BTN mendedahkan satu gejala baru, pertentangan di antara kumpulan Najib dan Muhyiddin di dalam kabinet dan UMNO.

Nazri berdiri di belakang Najib dengan gagasan 1Malaysianya. Manakala beberapa pemimpin UMNO Johor termasuk Ahmad Maslan dan Hishammuddin Hussein terpaksa mempertahankan kenyataan TPM Muhyiddin Yassin yang telah melakukan pembelaan tiga suku mati terhadap BTN.

3 ulasan:

Unknown berkata...

mereka tak sebulu rupanya.

mosabit berkata...

semoga doa TGNA dimakbulkan Allah...aminnnn

Tanpa Nama berkata...

apakah ini lakonan belaka2, seolah2 mereka ini mencari publisiti, supaya akan ada org yang menyokong dgn tindakan mereka ni.... tambahan pulak rakan2 mereka yang duduk atas pagar, akan terus lompat balik kepada mereka, inilah apa yg saya faham dgn mainan politik bee end - umno. pada saya, walaupun apa sandiwara yang dibuat oleh bee end ni... SAYA TAK KAN PERCAYA...