20 Dis 2009

Gerakan Lawan UMNO Rebut Jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin Umno negeri supaya jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang kini dipegang oleh Gerakan, diserahkan kepada parti berkenaan.

Koh, yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang berkata jawatan itu disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun.

"Jadi kenapa perlu kita membangkitkannya semula apabila amat jelas bahawa apa jua perubahan tidak akan dipersetujui oleh Gerakan," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Kem Latihan Kepimpinan Remaja Pulau Pinang di sini pada hari Sabtu.

Koh mengulas gesaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa jawatan Pengerusi BN Negeri perlu diserahkan kepada pemimpin Umno memandangkan hanya wakil Umno yang memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di negeri itu pada pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, Koh berkata Gerakan telah pun menyandang jawatan itu sejak sekian lama dan parti itu akan membantah sebarang cadangan untuk melakukan perubahan.

"Aturan berhubung jawatan Pengerusi diperakukan sekali lagi pada pertengahan tahun ini oleh Dewan Tertinggi BN dan perkara ini tidak seharusnya dibangkitkan lagi," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menggesa para pemimpin Umno supaya tidak membangkitkan lagi isu itu memandangkan ia mungkin merosakkan imej BN dan Umno.

"Langkah ini tidak akan membawa manfaat kepada mana-mana parti dengan membangkitkan lagi isu berkenaan, sebaliknya ia mungkin merosakkan imej BN di mata masyarakat di Pulau Pinang, malah di mana saja. Kami akan membantah jika perkara ini dilakukan," katanya.

Semalam, Ahmad Zahid yang mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri, berkata permintaan untuk jawatan Pengerusi itu bukan untuk kepentingan mana-mana personaliti tetapi demi parti itu yang telah memenangi 11 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk BN dalam pilihan raya umum lepas.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berharap hasrat Umno Pulau Pinang untuk mengambil alih jawatan Pengerusi BN negeri akan dipertimbangkan oleh pemimpin BN di peringkat pusat. - Bernama


UMNO Pulau Pinang mahu jawatan Pengerusi BN

GEORGETOWN - UMNO Pulau Pinang memutuskan untuk menuntut jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang kini dipegang oleh Gerakan dalam usaha mengukuhkan kedudukan BN di negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, permintaan itu adalah munasabah kerana hanya wakil UMNO memenangi semua kerusi yang dikuasai BN di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Parti komponen lain tidak ada satu kerusi pun di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini, kelmarin.

Untuk rekod, jawatan pengerusi BN Pulau Pinang tidak pernah dipegang wakil UMNO dan jawatan itu kini dipegang Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berharap hasrat UMNO Pulau Pinang itu dapat dipertimbangkan pemimpin BN di peringkat Pusat.

“Kita berhasrat menjalankan tugas untuk BN dan bekerjasama dengan parti komponen lain bagi mengukuhkan BN.

“Kita yakin bahawa sebagai sebuah parti, adalah mustahil untuk kita menang (pilihan raya) tanpa sokongan parti komponen lain,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, UMNO Pulau Pinang juga berharap jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) tidak diberikan kepada wakil Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu, katanya, hasrat tersebut akan disuarakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membolehkan ia diperkenankan.

Menurutnya, UMNO negeri bertegas tidak mahu mana-mana pemimpin PKR mahupun Pas memegang jawatan tersebut.

“Kami tidak akan membenarkan jawatan tersebut dipegang PR tetapi biarlah pihak selain daripada mereka,” katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat kira-kira tiga jam itu ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim, dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan.

Zahid berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang juga mengadakan rombongan untuk menemui Yang di-Pertuan Agong.

Jawatan YDP Maipp kini dipegang oleh Shahbudin Yahaya yang juga ADUN Permatang Berangan, akan tamat pada 31 Disember 2009 ini. -SH





2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

baguslah tu... umno ni dengan sesama pasukan pun tak boleh nak bersatu, tamak betul ya.... apa lagi dengan pasukan lawan, jadinya kalau umno cuba nak memecahbelahkan PR jgnlah kita pedulikan mereka. SEKARANG ALLAH DAH TUNJUKKAN SIKAP TAMAK ORG UMNO... APA YG PENTING PENCAPAIAN DIUTAMAKAN - Pencapaian poket dia orang lah tu.....

Tanpa Nama berkata...

Elok sangatlah parti Gerakan keluar dr BN, masuk Pakatan lebih baik daripada duduk dlm BN yang tak reti menghormati kawan mahupun lawan! Biar tinggal UMNO sorang2 dlm BN. Bukankah 1UMNO didahulukan, rakyat didungukan?