3 Dis 2009

BTN : Ahmad Maslan Terus Dikecam

Pendedahan yang makin banyak dibuat oleh orang ramai yang pernah menyertai kursus BTN, betapa ia dipenuhi dengan sentimen yang keji, menempelak penafian yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (TPM) Ahmad Maslan (gambar) yang bertanggungjawab ke atas program BTN.

Turut terkena tempiasnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi peminpin pertama menafikannya sebaik Selangor mengumumkan pengharaman kakitanga n dan pelajar miliknya menyertai kursus yang penuh dengan unsur perkauman dan memecahbelahkan rakyat.

Beberapa mahasiswa dan orang ramai yang pernah mengikuti program BTN, mengakui apa yang didedahkan oleh Kerajaan Selangor adalah hakikat yang pastinya membuka kesedaran orang ramai akan kejujuran kerajaan yang melaung-laungkan slogan 1 Malaysia.

‘Kami ditunjukkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang rakyat Amerika. Jurulatih memberitahu kami yang beliau seorang pengkhianat kepada negara kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orang Amerika’.

Itulah antara isu-isu yang dibangkitkan sewaktu program pembinaan negara dijalankan oleh Biro Tatanegara (BTN), yang pernah diikuti seorang pelajar tahun empat jurusan ekonomi, Fakhrul Zaki Fazial seperti dilaporkan dalam Malaysiakini.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, fokus kursus tersebut adalah mengenai bangsa Melayu tetapi apa yang diajarkan ialah mengkritik pembangkang dan menganggap kritikan mereka sebagai patriotik.

Ketua pelajar Universiti Malaya, Mohd Ridzuan Mohammad, pula berkata terdapat ceramah yang mendakwa bahawa kaum lain menjadi ancaman kepada orang Melayu.

Menurutnya, yang pernah menghadiri program BTN pada 2004, tidak seharusnya mereka membangkitkan sentimen perkauman yang akan mencetuskan perpecahan kaum.

“Ini kerana program tersebut boleh mempengaruhi sesetengah pelajar yang hadir berhubung ideologi perkauman tersebut,” katanya.

Chin Shin Liang, seorang bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menghadiri program BTN pada Disember 2008, turut berkongsi pengalamannya.

“Kami ditunjukkan klip video perhimpunan Bersih dan kemudian gambar negara Palestin yang dilanda perang dengan keterangannya: Apakah ini yang kita mahukan?… Kita juga ditunjukkan seorang pemprotes (tidak dikenalpasti) membaling batu,” katanya

Twrdahulu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai yang menyertai program Biro Tatanegara pada tahun 2004 menceritakan pengalamannya yang menyifatkan betapa kejinya taktik kerajaan Umno-Barisan Nasional menanam kebencian melalui biro itu.

Beliau turut menceritakan pengalaman diarah memberi kuliah subuh berdasarkan teks yang telah dirangka oleh pihak BTN.

Kandungan teks tersebut menjelaskan bahawa penangkapan tanpa bicara dan penyeksaan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah halal di sisi Islam.
Apa yang dijamah oleh peserta-peserta BTN adalah cerpen yang mendakwa parti-parti pembangkang adalah ekstrem dan kolot.

Nik Nazmi menjelaskan beliau tidak menafikan bahawa perlu ada program kenegaraan untuk mahasiswa namun perkara yang dikesalkan beliau adalah modul politik sempit dan kebencian yang ditawarkan kepada peserta.

“Kita tidak menafikan bahawa kita boleh adakan program kenegaraan, bahawa kita perlu tahu sejarah, kita perlu tahu masalah-masalah yang membebani masyarakat kita pada hari ini. Tetapi ia harus dibuat dengan suasana yang lebih terbuka, kurang partisan,” katanya.

Beliau menambah, unsur kepartian tidak harus dicampuradukkan dengan program BTN yang menjadi salah satu syarat kepada pegawai kerajaan dan pemegang biasiswa.

Beliau turut mencadangkan kajian perlu dibuat secara lebih intensif dengan menubuhkan suruhanjaya diraja yang terdiri daripada ahli akademik untuk memantau modul program BTN supaya kembali ke matlamat asal.

Isu BTN menjadi fokus dan menimbulkaan kekecohan selepas Selangor diikuti Pulau Pinang mengharamkan pegawai kerajaan negeri dan pelajar universiti menyertai kursus berkenaan kerana kurikulum yang diunjurkan boleh memecahbelahkan rakyat.

Sebelum ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan kursus BTN dirombak untuk memastikan ia tidak menggugat perpaduan kaum dan selaras dengan konsep 1Malaysia yang dibawanya.
Minggu lalu, Muhyiddin menafikan kurikulum program BTN tidak langsung berbau perkauman.

Namun dua kenyataan yang bercanggah di antara sama lain telah dibuat oleh Ahmad Maslan yang menyatakan ia tidak dirombak manakala Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin mendakwa cadangan merombak modul dan pendekatan BTN sudah lama dibincang.

Ahmad Maslan mendakwa kurikulum BTN tidak dirombak, sebaliknya dibaikpulih sedikit.
Belaiau mendakwa Nazri tidak bermaksud dirombak, sebaliknha diperbaiki.

Khaled pula mendakwa keputusan untuk merombak kurikulum BTN bukan disebabkan kerajaan akur dengan desakan pembangkang.

“Perkara itu berlaku secara kebetulan kerana kabinet sebelum ini pernah membincangkan cadangan untuk merombak kurikulum kursus berkenaan agar selari dengan peredaran masa, ” katanya. -fmt

Tiada ulasan: