5 Nov 2009

Permohonan Nizar Untuk 11 Hakim Ditolak Tanpa Alasan

Perbicaraan kes Menteri Besar Perak di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini mengundang pelbagai spekulasi.

Permohonan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Nizar Jamaluddin merayu korum 11 hakim untuk mengadili kes ini ditolak tanpa alasan oleh pihak mahkamah.

Hakim Datuk Alauddin Mohd Sharif yang mengepalai panel 5 hakim dalam perbicaraan ini seraya mengarahkan perbicaraan diteruskan dengan segera.

Nizar melalui peguamnya, bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan memfailkan permohonan tersebut melihat kepada kepentingan kes ini.

“Saya rasa patut dilakukan yang penting ini mahkamah sepatutnya tidak menolak sebab untuk mengelak sebarang unsur dilihat mahkamah ini ada unsur berat sebelah dan sebagainya, sebaiknya semua korum 11 itu mendengar kes ini, sebab ini juga pernah dicadangkan oleh Tun Salleh Abas dalam buku dia Media Book Justice, sebab tu masa Umno dulu dia menetapkan 11 korum supaya tidak ada lagi timbul orang mengatakan bahawa ketua hakim ni menentukan korum dia. Kalau semua dengar kes, tidak adalah timbul siapa yang menentukan korum ni”, kata Datuk Ambiga.

Selain Alauddin, empat hakim lain dalam perbicaraan ini adalah Tan Sri Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Peguam Hanipa Maidin berkata pasukannya akan bertungkus-lumus memastikan kemenangan berpihak kepada Nizar.

Apa yang lebih penting adalah, kata Hanipah, prosiding hari ini membuktikan Sultan tidak mempunyai kuasa mutlak.

“Semua hakim kena dengar kes kita. Kami merasakan bagaimanapun mahkamah dah buat keputusan, kita akan teruskan, kita rasa hujah pada pagi ini menunjukkan secara jelas bahawa apa yang kita nak tonjolkan bahawa Sultan ini dari segi sejarahnya, dari segi bahasa dalam Perlembagaan, menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai kuasa mutlak hatta dalam Perlembagaan Perak sendiri menyatakan bahawa Sultan itu sendiri jika dia gagal hadir dalam sidang dewan negara boleh dianggap telah kosong, maknanya dia punya jawatan boleh dianggap telah terlucut. Tapi dalam kes Menteri Besar tidak ada peruntukan yang sama, kalau sekiranya ada peruntukan yang sama dan tentu diletak dalam perlembangaan itu, membolehkan Menteri Besar itu sekiranya dia tidak meletak jawatan, dia dianggap letak jawatan”, katanya.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebelum ini digulingkan Barisan Nasional setelah beberapa wakil rakyat Pakatan menyertai Barisan Nasional sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat kekurangan kerusi untuk mengekalkan kerajaan.

Datuk Seri Nizar diwakili sekumpulan peguamnya yang diterajui oleh peguam kanan, Sulaiman Abdullah manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pula diwakili oleh peguam kanannya, Cecil Abraham. -MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Tiada ulasan: