25 Nov 2009

Diancam OSA, Selangor Akan Pertahan Khalid

Peguam Yusmadi Yusof yakin rakyat Selangor akan pertahan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pendedahan punca tanah runtuh Bukit Antarabangsa.

Ketika ditemui di Parlimen hari ini, Yusmadi berkata beliau tidak terkejut sekiranya pemerintah mengambil tindakan terhadap Khalid kerana membongkar dokumen Akta Rahsia Rasmi.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yang amat ditakuti oleh BN kerana ia akan membuka pekung di dada”, kata beliau.

Laporan tersebut mendedahkan paip pecah antara punca kejadian tanah runtuh yang menelan nyawa lima penduduk Bukit Antarabangsa.

Kerajaan Persekutuan bagaimanapun bertindak pantas atas alasan dokumen itu dibawah bidang kuasa Kabinet, dan memberi amaran untuk tidak mendedahkan dokumen itu.

Yusmadi menegaskan tindakan Khalid harus disokong dan dipertahankan atas dasar ketelusan dalam pemerintahan.

“Disini kita menunjukkan kita kerajaan yang berkeyakinan tinggi maksudnya kita tidak takut kita dikritik dan kita tidak takut untuk mewar warkan salah laku kerajaan terhadahulu”. – Hadri Yaziz (TVS)


Bukit Antarabangsa: Dilema MB Selangor hadapi risiko OSA

PETALING JAYA, Nov 25 — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyuarakan pendirian untuk mempertahankan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim jika beliau berhadapan dengan tindakan perundangan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana ‘mendedahkan’ rumusan laporan tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa kepada umum minggu lalu.

Khalid berhadapan dengan dilema baru ini menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha minggu ini. Akhir tahun lalu beliau berhadapan dengan isu menyumbang korban sempena Hari Raya Haji kepada penduduk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, yang masih berada dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Yusmadi Yusof, yang juga seorang peguam, yakin rakyat Selangor akan mempertahan Khalid berhubung pendedahan punca tanah runtuh Bukit Antarabangsa.

Difahamkan kerajaan negeri Selangor sudah melantik dua firma untuk mengkaji kemungkinan risiko dikenakan OSA ke atas Menteri Besar.

Yusmadi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata beliau tidak terkejut sekiranya pemerintah mengambil tindakan terhadap Khalid kerana membongkar dokumen “rahsia” kerajaan persekutuan.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yang amat ditakuti oleh BN kerana ia akan membuka pekung di dada”, kata beliau dipetik TVSelangor.

Laporan tersebut mendedahkan paip pecah antara punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan lima nyawa.

Kerajaan persekutuan memberi amaran laporan itu tidak boleh didedahkan kepada umum.

Yusmadi menegaskan tindakan Khalid harus disokong dan dipertahankan atas dasar ketelusan dalam pemerintahan.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Selangor berhubung pendedahan kandungan laporan tersebut berkata, tindakan yang mungkin boleh dikenakan ialah di bawah OSA.

“Itu saya tak pasti. Bahagian perundangan kena tengok. Saya dah bagi tahu pegawai perundangan supaya melihat sama ada apa yang dilakukan kerajaan Selangor itu melanggar peraturan OSA atau sebaliknya.

“Sebabnya Khalid sendiri dah dedahkan banyak benda,” kata beliau yang dipetik Bernama.

Khalid sebelum ini mengumumkan bahawa laporan siasatan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa akan didedahkan kepada umum mulai kelmarin.

Khalid yang mengubah status klasifikasi dokumen itu dengan menggunakan haknya sebagai Menteri Besar mengikut Seksyen 2c OSA berkata orang ramai boleh mendapatkan kandungan laporan berkenaan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Justeru kelmarin Khalid mendakwa kerajaan negeri tidak dapat mengedarkan salinan laporan kejadian itu kepada umum kerana belum mendapat kebenaran Kementerian Kerja Raya. Khalid menangguhkan keputusan mengedarkan salinan laporan siasatan itu.

Shaziman menegaskan, MPAJ perlu memohon kepada Kementerian Kerja Raya untuk mendedahkan kandungan laporan siasatan tanah runtuh itu kepada umum.

Katanya selagi MPAJ tidak mengemukakan permohonan, status laporan itu kekal sebagai rahsia dan kerajaan Selangor tidak boleh mendedahkannya kepada umum.

Beliau berkata kementerian tidak berniat merahsiakan laporan itu tetapi hanya mengehadkan kepada mereka yang hanya mempunyai aset dan kepentingan di Bukit Antarabangsa.

Shaziman berkata laporan itu bagaimanapun tetap boleh didedahkan kepada orang ramai jika MPAJ membuat permohonan, dan jika ada kebaikan kepada semua beliau akan membawa isu itu ke Kabinet untuk dipertimbangkan. -MI




Tiada ulasan: