25 Nov 2009

Ahli Hindraf Sertai Mogok Lapar Di KLCC

Seramai 18 orang ahli Hindraf hari ini mengadakan mogok lapar tepat jam 9.15 pagi di hadapan pintu masuk Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan, S.Jayathas berkata, 18 individu berkenaan mewakili 18 permintaan masyarakat India kepada kerajaan yang dibuat pada dua tahun lalu namun masih belum mendapat sebarang jawapan.

Mereka berhimpun seawal jam 9 pagi di perkarangan menara KLCC. Bagaimanapun, pada jam 10.15 pagi berlaku kekecohan apabila polis cuba menghalang tiga orang peserta mogok lapar dari menghampiri pintu masuk mercu Negara itu.

Bagi mengelakkan polis menahan mereka dibawah Akta Polis yang melarang perhimpunan lima orang dan lebih, kumpulan Hindraf ini berpecah kepada beberapa kumpulan kecil tidak melebihi empat orang di serata KLCC.

Tepat jam 1.20 petang, Pemimpin Hindraf, P Utayakumar dan Pengerusinya M. Manoharan datang bersama 10 kanak-kanak untuk menyampaikan bunga kepada 18 peserta mogok berkenaan.

Pemogok-pemogok ini disuraikan secara aman pada 1.45 petang.

Uthayakumar berkata perhimpunan ini adalah bagi memperingati 18 tuntutan yang dikemukakan Hindraf kepada kerajaan Malaysia.

Tuntutan itu menuntut pemerintah untuk tidak menindas masyarakat India kelas bawahan.

Menurut Uthayakumar, Hindraf akan menyampaikan memorandum kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak di Putrajaya menggesa kerajaan duduk semeja dan berdialog bersama mereka.

“Saya minta Najib untuk memanggil kami bagi mengadakan dialog. Kami tiada memorandum lagi kepadanya dan kami minta dia mengadakan sesi dialog. Kami hendak tahu apa tindakannya terhadap 18 permintaan kami,” katanya.

M Manoharan, yang juga Adun Kota Alam Shah berkata masyarakat India juga berhak kepada hak-hak kewarganegaraan sepertimana yang kaum lain di Negara ini.

Beliau meminta kerajaan sedia ada memberi perhatian khusus kepada kesan kegagalan pemerintah sebelum ini memberi perhatian kepada maslahat masyarakat tertindas.

“Kami hendak tahu kenapa masyarakat India dilayan dengan teruk oleh kerajaan. Itu tujuannya, perit untuk melihat masyarakat India menderita,” katanya. -TVS



Tiada ulasan: