23 Nov 2009

AMK Perlis Mahu Polis Bertanggungjawab Di Atas Kematian Tawfiq

AMK Negeri Perlis ingin menarik perhatian terhadap satu laporan berita yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada 16/11/2009 dalam ruangan Jenayah di mana diberitakan kematian adik Mohamad Tawfiq Noorzan mati ditembak oleh pihak polis, demikian dinyatakan di dalam satu kenyataan mdia yang dikeluarkan oleh Ketua AMK perlis hari ini.

Daripada laporan berita berkenaan, termasuk kenyataan keluarga mangsa apabila diziarahi oleh jawatankuasa AMK Negeri Perlis hari ini, kami berpendapat bahawa kematian adik Mohamad Tawfiq Noorzan adalah satu kejadian bunuh oleh pihak polis.

Mangsa dikatakan digari oleh pihak polis untuk dibawa ke balai selepas mangsa membuat kenyataan ingin membunuh rakan-rakan yang meninggalkannya di Alor Setar sehingga menyebabkan mangsa terpaksa berjalan kaki pulang ke rumahnya di Arau, Perlis sejauh lebih kurang 60KM.

AMK Negeri Perlis tidak nampak sebarang alasan yang kukuh untuk polis menembak mangsa, meskipun dikatakan polis berkenaan berniat menembak di bahagian kaki. Dalam keadaan mangsa telah digari selepas keluarga sendiri mengizinkan mangsa diambil pihak polis, tindakan menembak mangsa adalah satu tindakan melampau. AMK Negeri Perlis turut diberitahu oleh keluarga mangsa bahawa terdapat kesan tembakan di bahagian dada mangsa, tambah kenyataan tersebut.

Zamri Safar, Ketua AMK Perlis mengaskan, AMK Negeri Perlis mahu pihak polis mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini dan meletakkannya di bawah kategori jenayah di mana anggota polis terbabit mesti dikenakan hukuman keras di bawah tuduhan membunuh dengan sengaja.

AMK Negeri Perlis ingin menegaskan bahawa sekiranya pihak polis gagal menangani kes ini dengan wajar, kes ini boleh menisbahkan profesyen polis sebagai satu bentuk jenayah berlesen atau gangster beruniform.

AMK Negeri Perlis percaya bahawa institusi polis tidak wajar membiarkan persepsi negatif orang awam terus berlaku akibat kelemahan, kecuaian dan keangkuhan kuasa yang ada.

AMK Negeri Perlis juga menggesa pihak polis untuk menerima Suruhanjaya Bebas Tentang Salah Laku dan Maklum Balas Terhadap Polis (IPCMC) sebagaimana digesa Kaukus Parlimen berkaitan Hak Asasi Manusia dan Urus Tadbir Kerajaan Yang Baik bagi meningkatkan keberkesanan pihak polis sendiri dalam menggunakan kuasa yang diizinkan perlembagaan.

Akhir sekali AMK Negeri Perlis mendesak kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bebas menyiasat kes kematian adik Mohamad Tawfiq Noorzan, Kugan, Teoh Beng Hock serta mangsa-mangsa yang lain agar lunas-lunas keadilan dapat ditegakkan.

Tiada ulasan: